MENU| Home | Facebook

Friday 3 May 2013

SIHIR PELALAU : HILANG NAFSU KAHWIN



SOALAN:

Umur saya hampir 30 tahun. Bercinta entah berapa kali, tetapi berakhir begitu sahaja. Mula berkenalan, bercinta betul-betul rancak, tetapi akhirnya lesap tidak berpenghujung. Itulah hidup saya. Gagal bercinta, gagal nak kahwin seumpama makan tosei di kedai mamak. Rasa tak nak makan lagi, tapi minggu depan pergi makan.

Pernah ketika saya setuju berkahwin, pasangan saya enggan. Ketika dia bersedia hendak kahwin, saya rasa bosan. Apabila kedua-duanya setuju, muncul orang ketiga dalam keluarga menghalang. Entah berapa kali saya mandi bunga dan limau. Tertanya-tanya dalam hati, seolah-olah saya tidak yakin kepada qadak dan qadar. Saya ada bersembahyang istikharah di tengah malam, tetapi keadaan tetap sama. Saya terlalu risau dengan masa depan saya. – Dara.

JAWAPAN :

Seseorang itu sama ada lelaki ataupun perempuan sukar mendapat jodoh, terhalang daripada mendapat jodoh, ataupun langsung tidak mendapat jodoh tidak semestinya berlaku akibat pelalau.

Banyak faktor menyebabkan berlakunya demikian, yang boleh dikaitkan dengan diri orang berkenaan, dengan faktor luaran ataupun kedua-duanya sekali. Manusia normal yang mempunyai akal dan berupaya berfikir menggunakan akalnya, mempunyai nafsu dijadikan oleh Allah mempunyai hasrat berumah tangga.
Bagi seseorang Islam, berkahwin itu adalah salah satu daripada sunah Rasulullah s.a.w yang perlu dilakukan. Dalam keadaan tertentu, manusia, baik lelaki ataupun perempuan tidak mustahil boleh terhalang daripada berkahwin akibat daripada sihir, iaitu perbuatan manusia yang dibantu oleh jin jahat yang selalunya terdiri daripada syaitan. Itulah dinamakan “pelalau”.

Akibat sihir pelalau, seseorang itu boleh hilang nafsu berkahwin. Terhalang daripada berkahwin. Adakalanya apabila pihak lelaki setuju hendak berkahwin dengan perempuan tertentu, pihak perempuan menolak. Begitulah sebaliknya boleh berlaku. Adakalanya pasangan ini telah bersetuju berkahwin, tetapi ibu bapanya tidak setuju. Selalunya si ibu akan membantah keras perkahwinan yang dirancang tanpa sebab jelas.

Si ibu mungkin mengancam akan membunuh diri kalau perkahwinan diteruskan, tidak mengaku anak, menuduh anak derhaka dan sebagainya. Mungkin seseorang itu bertunang selama dua tahun, tetapi apabila hampir hari perkahwinan, rasa benci itu lahir pada diri si perempuan menyebabkan rancangan itu dibatalkan. Tidak ada sebab jelas berlakunya perubahan itu selain kerana rasa benci kahwin. Hilang nafsu hendak berkahwin dan sebagainya.

Si perempuan mungkin masih ada rasa ingin kahwin, tetapi perasaan itu dikuasai oleh perasaan atau pengaruh luaran yang tidak dapat dijelaskan menyebabkan rasa benci kahwin itu menguasai dirinya. Boleh juga berlaku di mana pihak lelaki ketika bertemu dengan perempuan yang hendak dijadikan isteri itu melihat wajahnya dengan wajah yang hodoh, menakutkan akibat sihir tadi menyebabkannya terus memberhentikan hasratnya setakat itu sahaja, tetapi perempuan tersebut sebenarnya seorang yang cantik.

Terlalu banyak perbicaraan ataupun contoh memperlihatkan ataupun bukti menunjukkan bahawa sihir pelalau itu boleh berlaku. Biar apa yang berlaku antara pasangan yang hendak berkahwin itu, akhirnya ia akan menjurus kepada keputusan yang satu, iaitu terhalang untuk berkahwin, menyebabkan seseorang itu sukar berkahwin atau bertemu jodoh untuk selama-lamanya.

Walaupun demikian, apa yang perlu diterapkan dalam pemahaman kita, kegagalan mendapatkan jodoh tidak semestinya akibat sihir seperti dijelaskan tadi. Banyak sebab kenapa amalan sihir ini boleh berlaku. Mungkin seseorang itu pada satu ketika pernah bercinta dan berjanji untuk berkahwin dengan seseorang.

Apabila berpindah, menemui pasangan lain, dia meninggalkan kekasih lamanya. Hal yang sama boleh berlaku kerana rasa hasad dengki, sakit hati dan sebagainya. Biarpun sihir itu merupakan satu rahsia yang tidak diketahui umum, melahirkan natijah-natijah mencarik adat ataupun luar biasa seperti yang dijelaskan, melahirkan natijah-natijah yang tidak dapat difikir oleh akal, bagaimana hal demikian boleh berlaku, namun Allah tetap memperlihatkan tanda-tanda membuktikan seseorang itu terlibat dengan sihir.

Di antara tanda-tanda yang lumrah berlaku ialah adanya gangguan ketika tidur, sama ada ketika hendak terlena, ataupun ketika nyenyak tidur. Seseorang itu mungkin diganggu mimpi mengerikan, seolah-olah mendengar letupan kuat, merasa ditikam, dilanggar sesuatu objek besar sebaik-baik hendak terlena. Ia mungkin bermimpi dengan mimpi melihat ular, harimau, anjing hitam besar yang menakutkan ketika sedang tidur. Dikejar oleh lembaga-lembaga yang menggerunkan, menyebabkannya lari tercungap-cungap dan terjaga dalam keadaan berpeluh badan. Mimpi-mimpi seperti ini selalunya berlaku berturut-turut, sama ada pada malam yang sama, atau malam-malam lain yang boleh berlakunya gangguan kesihatan.

Ada orang yang berada dalam keadaan normal ketika ia tidak memikiri tentang jodoh. Ia mungkin hanya bersahabat biasa, tetapi apabila persahabatan itu menjadi serius dan berazam untuk bertunang, ia akan mengalami mimpi-mimpi yang menakutkan, berulang kali dalam kekerapan tertentu, timbul rasa benci terhadap pasangannya tanpa sebab yang jelas, mengamuk dan sebagainya, akhirnya hubungan mereka terputus. Saya bersimpati dengan masalah yang saudari hadapi. Saudari perlu memahami masalah ini dengan yakin agar saudari tabah menghadapi dan akhirnya berupaya menghadapi hidup seperti orang lain.

Dalam al-Quran jelas tersebut tentang adanya sihir, begitu juga daripada keterangan hadis-hadis. Kerana itu kewujudan amalan sihir itu adalah sesuatu yang hak, yang benar-benar berlaku dengan izin Allah s.w.t. Iktikad saudari tidak rosak, kerana mempercayai adanya sihir, kerana ia sesuatu yang jelas, yang disebut dalam al-Quran dan hadis-hadis, malah Rasulullah sendiri pernah terkena sihir.

Orang yang tidak mempercayai adanya sihir secara langsung atau tidak langsung menafikan kandungan al-Quran. Kesilapan yang besar dalam hal yang berkaitan dengan sihir atau jin ini ialah keyakinan tentang berkuasanya makhluk-makhluk ini mempengaruhi kehidupan manusia yang boleh mendatangkan kesenangan ataupun kesusahan. Dengan demikian timbullah rasa takut dalam diri manusia, menyebabkan timbulnya pelbagai pantang larang yang berkaitan dengan tempat-tempat yang dianggap berjin, timbulnya rasa hormat, menyebabkan lahirnya pelbagai adat istiadat ataupun upacara yang berkaitan dengannya, seperti upacara memberi makan jin-jin yang diistilahkan sebagai membuang ancak, bela kampung, semah dan sebagainya.

Apabila seseorang itu berkeyakinan bahawa makhluk ini boleh mendatangkan kecelakaan, seperti penyakit, kemalangan, kematian ketika makhluk ini marah, akibat perbuatan manusia yang melanggar pantang larang, ataupun menyebabkan seseorang itu sembuh apabila makhluk ini dipuja, melalui rangkaian jampi, mentera ataupun serapah dengan ungkapan-ungkapan kata biasa juga dengan pelbagai sajian yang diberi, maka manusia itu sebenarnya mempercayai bahawa pada makhluk ini ada kuasa (qudrah), pada hal zat yang mempunyai qudrah ialah Allah sahaja, yang qadim.

Dengan demikian, secara tidak langsung orang berkenaan telah menyamakan qudrah Allah dengan apa yang dianggap “kuasa” atau keupayaan memberi kecelakaan atau keamanan kepada manusia pada jin-jin tadi. Orang yang berbuat demikian melakukan perbuatan syirik, yang dinamakan “musyrik”. Kalau ramai, mereka ini dinamakan “musyrikin” atau musyrikun.” Allah s.w.t. tidak mengampunkan dosa syirik.
Orang Melayu menggunakan bunga, dimasukkan dalam air mandi dalam usaha mencari jodoh. Bunga selalunya cantik, malah lambang kecantikan. Setiap orang sukakan bunga. Sempena dengan kecantikan bunga dan kegemaran manusia melihatnya, bunga dicampur dalam air mandi agar orang lain gemar kepadanya. Apabila dimasukkan dalam air mandi, diharapkan, orang juga suka kepada mereka yang mandi menggunakan bunga tadi. Amalan ini tidak salah atau boleh merosakkan akidah.

Kesilapan timbul apabila seseorang itu berkeyakinan bahawa air mandi bunga itu mempunyai kuasa atau kekuatan untuk menarik orang yang melihatnya lalu datang meminang, pada hal bunga itu adalah merupakan objek tumbuh-tumbuhan biasa semata-mata.

Kesilapan lain ialah apabila bunga tadi dijampi atau dipuja dengan menggunakan kalimah-kalimah yang dilarang oleh Islam, yang mengandungi puja-puja terhadap jin-jin, mengandungi kalimah-kalimah syirik, mengandungi kata-kata yang tidak difahami maknanya, kalimah-kalimah yang tidak boleh ditafsirkan, mengandungi nama berhala, juga melibatkan amalan sihir yang melibatkan jin-jin.

Saudari berada dalam keadaan seperti yang saudari jelaskan. Apabila saudari mencari punca sebenar kepada masalah sekarang, ini tidak bererti bahawa saudari tidak percaya kepada qadak dan qadar Ilahi. Saudari menderita sakit, lalu berubat, ini bukan bererti saudari tidak percaya qadak dan qadar Allah s.w.t.

Sembahyang istikharah dilakukan apabila seseorang itu sukar untuk melakukan pilihan yang terbaik. Manakala sembahyang hajat untuk memohon sesuatu daripada ihsan Allah. Merujuk kepada kes saudari, kalau saudari benar-benar terkena sihir pelalau, seperti yang didakwa oleh teman-teman, saudari sewajarnya berusaha untuk melepaskan diri daripada cengkaman sihir, membolehkan saudari hidup seperti manusia biasa. Semoga Allah memberkati usaha saudari. Insya-Allah.

Mingguan Malaysia 20 May 2007
Contoh: Penulis: Dr Amran Kasimin

No comments:

Post a Comment