MENU| Home | Facebook

Sunday, 26 May 2013

Gangguan Di Dusun Durian

Pertamanya, izinkan saya menggunakan samaran saya, iaitu Jelutupi @ Jelu, berasal dari Sarawak dan pernah mengirimkan sebuah cerita (Kisah mengkebumikan mayat) suatu ketika dulu. Saya ada sebuah lagi cerita seram / misteri yang diceritakan oleh rakan saya. Beliau meminta untuk dirahsiakan namanya. Begini ceritanya…

Ada sebuah dusun durian yang dikongsikan oleh beberapa buah rumah panjang, yang dipanggil ‘dusun kongsi’ (merupakan dusun yang dahulunya ditanam oleh datuk nenek moyang dan tidak diketahui pemilik sahih, oleh itu ianya diisytiharkan perkongsian beberapa keluarga yang berasal dari keturunan yang sama). Dusun itu terletak betul-betul di kaki Bukit Begunan. Sejarah Bukit Begunan memang cukup dikenali oleh penduduk Sri Aman khasnya, kerana setiap tahun, AKAN ADA terjadinya kemalangan yang meragut nyawa manusia. Dikatakan kawasan itu menuntut darah manusia setiap tahun.

Kebetulan pada masa cerita ini berlaku, waktu itu tengah musim durian. Jadi, saya dan beberapa penduduk kampung yang lain, lebih kurang enam orang kesemuanya, bersiap-sedia untuk bermalam di dusun tersebut untuk memungut buah durian yang sudah masak untuk dijual. Di sini, kalau musim durian, memang laku. Kadang-kadang dapat keuntungan hingga ratusan ringgit sehari. Kami berenam, empat daripada kami agak muda, ditemani oleh dua orang lelaki yang agak berusia, setelah sampai di dusun tersebut, mula membersihkan ‘langkau’ (pondok) yang memang telah lama berada di situ. Kami mula membersihkan ‘langkau’ tersebut yang akan dijadikan tempat kami bermalam. Masing-masing mula menjalankan tugas sendiri. Ada yang mencari kayu api, ada yang menyediakan tempat memasak, ada juga yang sudah mula mencari buah durian yang sudah jatuh.

Keseraman bermula apabila malam menjelma. Bayangkan kawasan hutan, yang jauh dari segala hiruk-pikuk, tiada bunyi kereta, tiada lampu jalan, hanya ditemani unggas dan juga cengkerik dan segala jenis bunyi di malam hari. Kami berterusan bercerita antara satu sama lain. Seorang lelaki yang agak berumur, saya panggil dia Pak Jubang (bukan nama sebenar), tidak menyertai perbualan kami. Dia hanya berbaring di satu sudut, berbantalkan lengan. Sikap azali beliau memang begitu, tidak berapa campur dengan budak-budak muda, mungkin kerana usianya yang agak tua sedikit. Sedang kami berlima tengah rancak berbual, tiba-tiba kami terdengar bunyi semak seperti digoncang, seolah-olah seperti ada sesuatu yang sedang bergerak. Kami terdiam, ingin mengetahui apakah benda tersebut. Kemudian terdengar lagi bunyi seperti orang sedang berjalan, seperti menyeret kaki di sekitar ‘langkau’ kami. Bunyinya begitu nyata sekali kerana di kawasan‘langkau’ tersebut dipenuhi dengan daun-daun yang kering.

“Skreeeeeepppp skkreeeeeettttt skkreeeeeeeppp”, agak-agak begitulah bunyinya.

‘Langkau’ kami, diperbuat daripada kayu, berdindingkan dan beratapkan daun nipah, hanya berlantaikan kayu. Lampu kami pada malam itu hanya lampu minyak tanah. Kedengaran lagi bunyi kaki diseret dan kali ini ditambah pula seperti seolah-olah ada benda meletakkan tangannya di dinding ‘langkau’ kami dan menyeret dari hujung ke hujung. Tiada siapa yang berani keluar pada masa itu. Kami hanya berpandangan antara satu sama lain. Tiba-tiba,

“Taaaammmmmmmmm!!!!!!”

Lantai kayu kami dipukul dari bawah. Kami semua terkejut! Masalahnya, ‘langkau’ tersebut dibuat bertiang, tetapi ruang di antara lantai papan kami dengan tanah tidak sampai pun satu meter, macamana boleh ada sesuatu masuk ke bawah dan memukulnya sekuat hati hingga hampir tercabut papan tersebut? Kami mula panik. Langsung saling berpandangan (nasib tidak berpelukan). Tiang ‘langkau’ kami kemudiannya seperti digoncang dari luar. Kami semakin ketakutan. Orang tua yang sedang berbaring tadi, setelah mendengar bunyi lantai dipukul, turut terbangun. Pada masa itu beliau bersuara sambil menggosokkan mata,

“Nama utai nya? (Apa benda tu)” kata beliau.

Kemudian beliau memerhatikan kami, dan saat itu juga beliau seolah-olah tahu apakah yang sedang terjadi. Kemudian beliau bingkas bangun dan mencapai parangnya seraya berkata,

“Heeiiisshhh… Ngacau mai utai tok (kacau betul lah benda ni)”.

Beliau kemudian terus keluar dari ‘langkau’, kedengaran seperti beliau sedang membaca sesuatu dan terus meletakkan parang beliau ke atas tanah betul-betul di depan pintu. Kemudian, dengan selambanya beliau naik semula ke atas, dan menghidupkan api rokoknya. Serentak dengan perbuatannya sebentar tadi, gangguan tersebut terus hilang. Berhenti seolah-olah api yang disiram air.

Kami mulai tenang, dan kami berlima mula bertanya dengan beliau, apakah benda yang mengganggu kami. Beliau menjawab, itu adalah ‘hantu koklir’, atau ‘kulir’, yang memang suka mengganggu manusia. Mungkin hantu ‘kulir’ ini adalah Pontianak dalam versi Iban.
Sekian, terima kasih...

No comments:

Post a Comment