Pada malam pertama sekitar pukul 1.45 pagi saya beritahu pembantu rumah saya supaya matikan lampu dan tidur. Dia tak mendengar apa yang saya katakan dengan jelas jadi dia pun lalu di depan bilik saya sambil bertanya, "Ma'am bilang apa?" Dia berdiri di depan pintu bilik tidur saya sambil saya memberitahunya agar lampu dimatikan dan terus masuk tidur. Tiba-tiba kami berdua terus senyap dan tercegat. Saya tanya, "Kenapa Nurul (nama pembantu saya)?" Dia cuma katakan, "Ma'am malam ni bisa saya tidur di bilik Ma'am?" Saya pun cakap, "Boleh..." Jadi pada malam itu kami semua tidur di bilik saya termasuk anak-anak saya.
Pada keesokan harinya saya tanya padanya, "Kamu ada rasa apa-apa tak semalam?" Dia beritahu malam semalam apabila dia berdiri di luar bilik tidur saya, dia rasakan seperti ada benda lalu di belakangnya seperti berangin. Pada malam kedua, anak saya pula yang nampak. Ketika waktu Maghrib, anak lelaki saya yang berusia tujuh tahun berkata dia ternampak lembaga hitam lari dari dapur masuk ke bilik tidur saya dan sewaktu ia terjadi, saya berada di dalam bilik. Dia lari sambil menangis sekuat-kuatnya dan berkata, "Mummy... Mummy... Mummy... There is a ghost in your room!" Saya terperanjat. Saya beritahunya bahawa di rumah tiada hantu dan mungkin dia penat agaknya.
Pada malam ketiga saya baru balik dalam pukul tiga pagi, anak saya bangun dan menggesa agar saya tidak meninggalkannya seorang diri dalam bilik. Saya tertanya-tanya dalam hati, kenapa budak ni berkelakuan macam ni? Saya langsung ke dapur nak ambil air dan anak saya ikut sambil berjalan nak masuk bilik balik, dia terus pekik sekuat-kuatnya. Saya angkat anak saya dan tutup blik tidur. Saya pun tanya dia kenapa dia berkelakuan sebegitu? Dia beritahu saya bahawa dia ternampak lembaga putih tanpa kepala lalu di belakang saya ke hulu ke hilir.
Saya langsung hidupkan lampu bilik dan pada malam itu saya dan pembantu tak tidur langsung!
Selepas dua minggu kemudian sekitar pukul sepuluh pagi dan saya masih tidur, saya tersedar kerana saya terdengar seperti ada seorang budak perempuan yang berbisik ke telinga saya, "Mak nak susu..." kata budak itu. Yang hairannya saya boleh tercakap dengan dia, "Tanya Nurul..." Entah macamana saya rasa terperanjat lalu tersedar dari tidur dan saya ternampak seorang budak perempuan di dalam bilik saya, sambil berdiri di hujung katil, sedang memerhatikan saya. Badan budak itu kotor sekali! Seluruh badannya, penuh dengan lumpur yang separuh kering. Dia merenung saya, apalagi saya lari sampai tersungkur sambil memekik nama pembantu rumah saya.
Pada hari itu saya tak masuk dalam bilik langsung. Selama dua hari selepas kejadian itu, rumah saya senyap tak ada benda pun yang mengganggu kami. Tetapi pada malam Jumaat, semasa saya hendak masuk tidur sambil terlayang, saya rasa seperti ada benda memegang kaki saya. Saya tepis dan pusing ke kanan. Kaki saya masih rasakan seperti ada benda yang memegang. Kali ini ibu jari saya ditarik. Saya cuba hidupkan lampu tepi katil dan pada ketika itulah saya ternampak sosok lembaga hitam di tepi saya dengan matanya yang merah dan suaranya yang garau.
Saya terus pekik dan lari dari bilik tidur saya. Ini bukan sahaja gangguan yang pernah berlaku ke atas diri saya, pembantu rumah saya pun diganggu, kadang-kadang pada pukul empat pagi pembantu saya akan mengetuk pintu bilik saya sambil bertanya, "Ma'am mau apa?" Saya pula akan menjawab bahawa saya tidak memanggilnya. Dia kata dia dengar suara saya memanggilnya. Selalu juga bila tiba waktu malam, kami semua akan mendengar bilik tamu saya semacam ada orang sedang membuang barang, seolah-olah sedang melemparkan sesuatu di dinding. Kadangkala kedengaran seperti ada benda yang pecah, tetapi apabila kami periksa pada keesokan harinya, kami lihat tidak ada apa-apa pun yang pecah.
Rumah ini baru setahun saya duduk di sini. Jiran di sebelah hujung saya memberitahu saya bahawa jiran sebelah saya terjun diri kira-kira seminggu sebelum saya berpindah ke sini. Kadang-kadang macam-macam benda boleh didengar, cuma saya kuatkan saja iman. Ini rumah saya, saya takkan mengalah. Cuba bayangkan tiap-tiap malam ada sahaja yang terjadi di rumah ini.
Read more: http://seram-giler.blogspot.com/2013/05/pengalaman-di-rumah-baru-di-hougang.html#ixzz2UDavjnRx
No comments:
Post a Comment