MENU| Home | Facebook

Sunday, 19 May 2013

3 lembaga penuh azimat


 Sebaik saja sampai di halaman rumah Cikgu Hassan saya merasa seram sejuk tidak menentu. Tetapi saya tidak memberitahu kepada Cikgu Kassim mengenai keadaan diri saya. Kami datang ke rumah Cikgu Hassan adalah untuk melawat keluarganya yang sakit.


Saya diberitahu isteri Cikgu Hassan tiba-tiba tidak sedar diri. Dia kemudian bercakap merepek-repek. Cikgu Hassan telah membawanya ke hospital tetapi diberitahu isterinya dikatakan kena hysteria. Pihak hospital juga tidak dapat mengubatinya.

Apabila isterinya dibawa balik ke rumah anak gadis Cikgu Hassan berumur kira-kira 15 tahun pula terkena sakit yang sama. Malah bertambah teruk lagi anak gadis Cikgu Hassan itu kerana dia sentiasa buang air kecil.

Cikgu Hassan baru saja ditukarkan ke kampung itu kira-kira empat bulan. Keluarga Cikgu Hassan mengesyaki ada orang yang dengki terhadap keluarga Cikgu Hassan di kampung itu. Sebab itu mereka mendesak Cikgu Hassan buat sementara waktu berpindah balik ke kampung. Bagaimanapun Cikgu Hassan tidak dapat menurut kehendak keluarganya, kerana masalah mahu bertugas.

“Kita cubalah berubat di kampung ni dulu” katanya memujuk ayahnya yang datang sebaik mendengar menantu dan cucunya diserang penyakit tersebut.

“Benar pak cik, kita cuba berubat di sini dulu” ujar Cikgu Kassim. “Kalau boleh kita minta tolong pada ustaz ni. Saya dapat tau ustaz kita ni pun dukun juga” jelasnya sambil mengerling ke arah saya.

“Hisss, saya bukan dukun “ sahut saya tersinggung juga dengan kata-kata Cikgu Kassim itu. “Saya ni cuma guru agama, tidak lebih dari itu” saya mengingatkan. Maklumlah dikampung orang kalau terlebih cakap buruk padahnya. Memang aruah Pak Tua Mahat saya mengingatkan supaya tidak bersikap menunjuk-nunjukkan diri bila di kampung orang. Dia tidak mahu saya mendapat musuh banyak kalau bersikap demikian.

Cikgu Hassan sudah memanggil Lebai Hitam untuk mengubati isteri dan anak gadisnya. Lebai Hitam memang seorang guru agama yang terkenal di situ. Orang-orang kampung memberitahu Cikgu Hassan, memang Lebai Hitam banyak menolong orang. Dia tidak pernah menuntut bayaran apabila Berjaya mengubati penyakit.

Tetapi seperti saya katakana tadi Lebai Hitam ini juga tidak mahu dirinya dipanggil bomoh. Dia mempunyai surau sendiri di kampung itu. Hari-hari dia akan menghabiskan masanya di surau tersebut.

Sebenarnya saya sudah beberapa kali menemui Lebai Hitam ini. Memang saya akui dia tidak layak dipanggil bomoh. Seorang bomoh hanya percaya kepada kekuatan jampi menteranya saja, tetapi Lebai Hitam bukanlah seorang bomoh. Dia tidak percaya kepada jampi mentera, tetapi kudrat dan iradat Allah saja yang mempunyai kuasa atas segala-galanya.

Lebai Hitam seorang ahli agama. Tidak heranlah apabila seorang penduduk di situ mengundang dia datang ke rumah membaca doa selamaty, dia datang hanya membaca do selamat saja. Kemudian dia balik dengan tidak menjamah pun makanan yangh dihidangkan. Tidak lama selepas itu seorang penduduk lain telah memberikannya wang sepuluh ringgit sebagai tambang bas kerana penat lelah Lebai Hitam datang ke rumahnya mengubati anaknya.

Apabila balik dari Jerantut ke kampungnya tambang bas kira-kira 80 sen saja, tetapi dia telah memberikan ke semua sepuluh ringgit itu kepada kondakter bas. Apabila sampai ke simpang masuk ke kampungnya, dia mengayuh basikal yang ditumpangkan di kedai dinding papan sebaris di situ.

Bagaimanapun saya lebih yakin dengan doa Lebai Hitam ini untuk mengubati penyakit isteri Cikgu Hassan. Saya sendiri membisikkan kepada Cikgu Hassan supaya mencuba Lebai Hitam itu. Sebelumnya Cikgu Hassan memanggil Bomoh Ali. Sudah tiga kali naik Bomoh Ali mencubanya tetapi tidak berjaya. Akhirnya dia memulangkan semula pada Cikgu Hassan, kerana tidak sanggup mengubat.

Ketika saya datang itu sudah masuk minggu kelima isteri Cikgu Hassan dan anak gadisnya mengalami sakit ganjil tersebut. Anak gadisnya tidak berhenti-henti buang air kecil hingga berhelai-helai kain digantikan. Dia jaga dalam keadaan kebingungan tidak tahu apa yang berlaku.

“Tidak datang lagi Tuan Lebai?” saya bertanya kepada Cikgu Hassan.

“Belum lagi ustaz…” beritahu Cikgu Hassan lemah. “Katanya lepas maghrib dia datang” jelasnya perlahan ketika mempelawa saya dan Cikgu Kassim naik.

Saya lihat tubuh Cikgu Hassan kurus sedikit, sementara pipinya nampak cengkung. Dia sudah lama tidak cukup tidur akibat isteri dan anak gadisnya diserang penyakit ganjil itu.

“Insya Allah,  kita cubalah doa Tuan Lebai tu” ujar saya macam menyuruh dia bersabar.

Cikgu Hassan hanya mengangguk. Saya tahu memang dia sudah lama bersabar. Kalau tidak sabar sudah tentu dia tidak sanggup menghadapi suasana demikian. Sudah tentu dia terpaksa membawa isteri dan anak-anaknya balik ke kampung seperti yang disarankan oleh ayahnya.

Sehingga masuk maghrib Lebai Hitam tidak juga datang. Saya terpaksa menunaikan maghrib di rumah Cikgu Hassan saja. Heran juga saya mengapa Lebai Hitam tidak datang, walaupun  sudah hampir Isya. Masakan dia memungkiri janji setelah memberitahu akan datang selepas maghrib.

Tetapi mengapa dia berjanji selepas maghrib? Biasanya hanya bomoh saja yang menetapkan jajnji untuk datang pada waktu-waktu tertentu. Saya difahamkan seorang ahli agama tidak pernah menetapkan waktu-waktu tertentu kalau meminta doanya bagi mengubati penyakit seseorang.

“Dia cakap dengan Cikgu akan datang?” saya bagaikan tidak sabar lagi lalu bertanya pada Cikgu Hassan.

“Dia Cuma kata insya Allah saja…” sahutnya perlahan.

“Cikgu terangkan maksud cikgu?” tanya saya lagi.

“Iya, tapi dia tak kata mahu mengubatnya” terang Cikgu Hassan.

Terbayang kekesalan diwajahnya bila menyebut Lebai Hitam tidak bermaksud datang untuk mengubat. Dia memberitahu akan datang kerana dipelawa oleh Cikgu Hassan melihat isteri dan anaknya sedang sakit. Bagaimanapun memang saya demikianlah sikap Lebai Hitam, kerana dia tidak akan bercakap lebih dari kemampuannya.

Kira-kira hampir masuk isya barulah Lebai Hitam datang. Sampai saja di rumah Cikgu Hassan dia terus masuk melihat isteri dan anak gadis Cikgu Hassan yang sakit. Kemudian dia keluar semula tidak bercakap sepatah pun.

“Cikgu ni minta tuan lebai doakan sikit anak dan isterinya yang sakit…” Cikgu Kassim merapati Lebai Hitam.

“Hah, berdoalah sendiri. Doa sendiri lebih diterima Allah” sahutnya keras.

Bagi orang yang tidak mengenali Lebai Hitam ini memang nampak sikapnya kasar. Tetapi sebenarnya kekasaran itu hanya pada lahirnya saja. Inilah yang tidak difahami oleh mereka yang melihat dari segi lahiriah.

“Maksudnya begini tuan…” saya cepat-cepat mencelah. “Kalau dapat tuan sama-sama mendoakan. Memang cikgu ni pun berdoalah, tetapi minta tuan sama-sama doakan agar isteri dan anaknya cepat sembuh” ujar saya tersengih-sengih.

“Cepat atau lambat sembuhnya tu bukan kuasa kita” Lebai Hitam berpaling kepada saya.

Memang sesiapa pun mula-mula bertemu dengan Lebai Hitam akan mudah tersinggung dengan kata-katanya. Bagaimanapun dia tidak berminat mahu menyinggung sesiapa. Dia hanya bercakap mengikut pengetahuannya saja. Sebab itulah harus memahami akan pengetahuan yang hendak ditekankannya itu.

Orang seperti Lebai Hitam  ini melihat duniawi tidak sama seperti kita yang masih memerlukan duniawi. Dia lebih menyerahkan segala-galanya kepada urusan Allah. Manusia tidak akan dapat menyempurnakan segala sesuatu kalau tidak ada keizinan Allah, sekalipun berusaha bersungguh-sungguh.

Sebab itulah pada mulanya Cikgu Hassan keberatan jug apabila saya mengusulkan kepadanya supaya memanggil Lebai Hitam. Saya berjanji kepadanya biarlah saya uruskan yang selebihnya, kalau Lebai Hitam bersetuju untuk datang. Saya tahu sekiranya orang lain yang datang menemuinya, tentu dia akan bertanya mengapa tidak keluarga pesakit yang datang menemuinya.

“Macam mana pun kami ni minta tuan sama-samalah doakan” kata saya perlahan.

“Ustaz ni…” dia merenung muka saya tajam-tajam. “Ustaz ni lebih tinggi pengalaman dari saya, patut doa ustaz didahulukan” Lebai Hitam tersengih-sengih.

“Ini bukan perkara pengalaman, ini perkara hendakkan doa tuan. Itu saja” cepat-cepat saya memotong cakapnya.

“Saya fikir sakit ni bencana sihir…” Lebai Hitam mula merendahkan suaranya. “Kalau kita doakan samalah macam menghalau dia, tentulah dia pergi, tapi dia akan datang lagi bila kita semua balik” ujarnya sambuil mendongak memerhati lampu.

Walaupun dia bercakap menyebut perkataan ‘doa’, tetapi tidaklah sama dengan membaca doa tatkala kenduri atau majlis-majlis tertentu. Doa yang dimaksudkan oleh Lebai Hitam itu ialah membacakan ayat-ayat tertentu dai Al Quran yang sering digunakan oleh ulama-ulama terdahulu.

Bagi mereka yang tidak memahami menyangka bahawa doa yang dibacakan oleh Lebai Hitam itu samalah seperti jampi serapah sahaja. Tetapi sebenarnya adalah berbeza. Pembacaan jampi serapah adalah dengan penuh konsentrasi yakni memusatkan perhatian kepada pesakit, sedangkan doa dari ayat-ayat Al Quran dengan penuh tawakal dan menyerahkan diri kepada Allah.

Selepas berfikir sejenak Lebai Hitam menepuk paha saya, “Sekarang kita mulakan. Ustaz pun sama-samalah, kerana dalam perkara ini ustaz lebih berpengalaman dari saya”.

Dia terus masuk semula ke dalam. Beberapa orang kampung yang datang menziarah juga ikut sama masuk ke dalam di tengah induk rumah. Saya duduk di hujung kaki anak gadis Cikgu Hassan, sementara Lebai Hitam di kepala isteri Cikgu Hassan.

Saya dengar Lebai Hitam membaca ayat dari Surah Yassin dengan jelas, kemudian diikuti dengan bacaan ayat Surah Kursi. Dia membaca dengan suara yang nyaring tetapi tidaklah begitu lantang. Selepas itu dia menyambung dengan As Saffa. Ketika dia membaca ayat Surah Kursi saya melihat isteri Cikgu Hassan mengelia-geliat seperti orang dalam kesakitan. Anak gadis Cikgu Hassan merengek-rengek lalu memaki Lebai HItam.

“Bangsat kau orang tua…” anak gadis itu meludah. Tetapi Lebai hitam tidak memperdulikan. Dia terus membacakan ayat-ayat tersebut dengan tenang.

“Buat apa kau kacau aku hah!” pekik anak gadis mahu melompat, tetapi cepat-cepat ditangkap oleh Cikgu Hassan.

Bila melihat anak gadis Cikgu Hassan sudah meronta-ronta beberapa orang jiran yang lain pun menerpa ke arah isteri Cikgu Hassan. Mereka juga turut sama memegangnya supaya tidak meronta,

“Sekarang …..!” Lebai Hitam meninggikan suaranya. “Allah lebih berkuasa dari kamu. Kalau dengan ayat-ayat Allah kamu tidak bleh bertahan, lebih baik sekarang jangan kau ganggu keluarga ini”  dia memerhatikan isteri Cikgu Hassan meronta-ronta dipegang oleh jiran-jiran.

“Kau yang ganggu aku …” bentak anak Cikgu Hassan.

Setiap kali dia membentak air kencingnya sentiasa mengalir keluar sepeti tidak dapat disekat sekat. Bagaimana pun menurut Cikgu Hassan anak gadisnya itu tidak banyak minum. Inilah yang mengherankan dia, dari manakah puncanya air kencing yang sentiasa mengalir itu?

“Kalau kamu degil, aku akan bacakan lagi ayat-ayat Allah” Lebai Hitam mengingatkan.

”Kau jangan ganggu aku!” anak gadis itu memekik sekuat hati.

“Aku tak peduli, aku mesti ganggu setan, kerana setan itu musuh manusia” sahut Lebai Hitam seolah-olah dia sedang berbicara dengan anak gadis Cikgu Hassan. “Kalau dengan Adam kau tak mahu sujud, sudah tentulah dengan kami kau mahu tunjuk sombong kau, tetapi kau mesti tahu ilmu manusia tidak ada batasan. Tidak macam ilmu setan yang dihadkan oleh Allah…” kata Lebai Hitam memberi amaran.

Pada zahirnya memang kelihatan Lebai Hitam berbicara dengan anak gadis Cikgu Hassan, tetapi sebenarnya jiwa anak gadis itu sudah dikuasai oleh sihir syaitan. Biasanya yang melakukan sihir syaitan ini adalah manusia sendiri, yang mengamalkan ilmu-ilmu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Ustaz…” tiba-tiba Lebai Hitam berpaling ke arah saya. “Inilah masa ustaz pula” katanya memberi isyarat dengan kepala.

Saya mengangguk. Memang saya faham apa yang dikehendaki oleh Lebai Hitam.

“Saya nak tidurkan ustaz…” ujarnya memanggil saya.

Memang saya sudah bersedia kalau diminta oleh Lebai Hitam ditidurkan. Sebenarnya jarang dia melakukan cara pengubatan demikian, kalau difikirkan tidak begitu perlu. Tetapi dia memerlukan bantuan saya, bererti dia juga menyedari perlunya dimusnahkan sama sekali punca datangnya ilmu sihir tersebut. Sekiranya dilakukan dari segi lahir, mungkin dia mengalah buat sementara. Selepas itu dia akan datang mengganggu dengan lebih berat lagi.

Setelah saya ditidurkan oleh Lebai Hitam, saya diperintahkan supaya keluar dari tubuh yakni jasad. Saya dikehendaki melihat apa yang ada di sekeliling isteri dan anak gadis Cikgu Hassan. Ketika ini jelas kepada saya dua lembaga yang hitam meriba isteri dan anak gadis Cikgu Hassan. Manakala ada seorang lagi berdiri di sisi dua lembaga tadi.

Lembaga itu bertubuh hitam tetapi tidak jelas rupa parasnya. Di tubuhnya penuh dengan tangkal azimat. Bagaimanapun sebahagian dari tubuhnya sudah melecur seperti dibakar api. Saya tahu bekas melecur itu adalah bekas terbakar akibat ayat-ayat Quran yang dibacakan oleh Lebai Hitam.

Memang benar, bahawa setan atau siapa saja yang mengamalkan ilmu sihir tidak akan dapat bertahan apabila dibacakan ayat-ayat Quran. Setan akan terbakar hangus, manakala orang yang mengamalkannya akan merasa dirinya seperti duduk di atas bara api.

Apabila melihat saya tiba-tiba berdiri di depannya, lembaga yang berdiri itu merapati saya. Tetapi setiap kali dia cuba mendekati, dia terpelanting bagaikan ditolak rebut kencang. Tercungap-cungap dia setiap kali terguling.

“Wah, tinggi ilmu awak…” kata lembaga itu macam menyindir saya. “Tapi awak jangan ingat boleh lawan kami. Awak tahu kami bertiga dah berumur tiga ribu tahun” dia ketawa berdekah-dekah.

“Awak pun jangan lupa, Huwa auwalu wala khiru walza hiru wal batinu, wa huwal sami’ul alimsaya menghembuskan ke dadanya.

Dia memekik kesakitan. Tetapi dia memekik itu buat sementara saja, selepas itu dia berpura-pura seperti tidak mengalami apa-apa kesakitan.

“Awak nak berpura-pura ye!” saya pula mengejek. “Umur awak tiga ribu tahun saja, tetapi ilmu Allah telah ujud, sedia ada sejak segala yang baharu belum ada” saya lihat dia mula dalam keadaan gelisah.

“Kenapa awak ganggu kami?” lembaga yang duduk memangku anak gadis Cikgu Hassan mendongak ke arah saya. Suaranya boleh difahami tetapi menggunakan bahasa Jawa Kuno. Sementara lembaga yang berdiri tadi bahasanya seakan-akan bahasa Siam.

“Sebab awak setan. Awak menganggu keluarga Cikgu Hassan!” sahut saya keras.

“Kami tak ganggu awak” lembaga yang memangku isteri Cikgu Hassan pula mencelah.

“Saya tak peduli samada awak ganggu atau tak ganggu saya. Asal awak cuba ganggu orang tak bersalah maka saya akan musnahkan awak “ saya mula menunjukkan kata-kata yang mengancam.

“Kami berjanji tak ganggu awak….” Lembaga yang berdiri itu memberi jaminan.

“Saya tak mahu berjanji dengan setan, sebab setan tak boleh dilayan berjanji. Sekarang saya perintahkan awak tinggalkan perempuan ini, samada awak suka atau tidak” suara saya semakin lantang.

Kemudian saya nampak lembaga yang berdiri itu memuja-muja tangkal azimatnya. Dari tangkal azimatnya muncullah ular sebesar kepala unta mahu menerkam saya. Sekonyong-konyongnya saya mendengar Lebai HItam berbisik ke telinga saya supaya membacakan ayat : lanar jumanakum walaya massanakum minna azabun alim.

Tiga kali saya hembuskan ke arah ular sebesar kepala unta itu, keluarlah anak-anak panah dengan api menyala seperti bukit menerjah kepala ular berkenaan. Sekaligus lembaga yang tegak berdiri itu terhumban sambil menekup dadanya yang ditembusi panah berapi. Dia memekik-mekik meminta saya supaya tidak membacakan lagi ayat tersebut.

“Kalau awak tak tertahan dengan ayat Allah, awak mesti tinggalkan perempuan ini…! “ perintah saya.

Lembaga-lembaga itu berundur sedikit. Dua lembaga yang memangku isteri dan anak Cikgu Hassan itu pun melepaskan mangsanya ikut sama berundur. Kemudian tiga lembaga berkenaan bersatu menjadi satu lembaga saja yang lebih besar. Seluruh tubuhnya disalut dengan tangkal azimat beratus-ratus.

“Kami tau ilmu awak tinggi” suara lembaga yang sudah bercantum menjadi satu cukup mengerunkan. “Tapi awak belum ada pengalaman, sedangkan kami sudah berumur tiga ribu tahun. Awak berani nak lawan kami?” lembaga berkenaan mengugut.

“Umur tiga ribu tahun buat apa…” saya mengejek dia. “Kalau umur sudah tiga ribu tahun buatlah kebajikan, janganlah buat kejahatan!” ujar saya memerhatikan gerak geri lembaga itu, kerana saya tahu dia sedang mencari helah.

“Awak jangan cuba melawan kami” serunya memberi amaran.

“Kalau awak mau dipanah petir, tunggulah” kata saya mengejek. Saya membaca Surah Al Ikhlas tiga kali. Ketika ini guruh berdentum kuat dengan kilat menyambar ke arah lembaga berkenaan. Dia terpelanting dengan kesan-kesan terbakar di segenap tubuh.

‘Nanti …. ” suaranya terketar-ketar menahan kesakitan. “Jangan baca ayat tu lagi” dia meminta belas kesihan.

“Kalau tak mau tersiksa tinggalkan perempuan ini, aku tak peduli umur kau berapa tahun pun” tegas saya.

Tiba-tiba saya dapati kawasan di situ menjadi gelap gelita. Lembaga itu juga hilang entah ke mana. Kemudian disusuli oleh angin kencang yang bertiup dari segenap penjuru. Saya hampir lemas menghadapi suasana demikian. Tetapi Lebai Hitam yang memandu saya terus membisikkan supaya saya membaca Surah Waddhuha.

Selepas saja saya membaca Surah Waddhuha keadaan kembali tenang. Angin kencang berhenti tidak semena-mena. Saya dibawa oleh tiga lembaga ke satu kawasan lapang yang dipenuhi oleh belukar anak-anak kayu.

“Aku tak lepaskan awak !” saya mengherdik kepada tiga lembaga yang memakai tangkal azimat itu. Mereka telah kembali kepada keadaan asal iaitu tiga lembaga.

Saya dapati lembaga yang bercakap seperti orang Siam itu lebih garang dari dua orang sahabatnya yang bercakap dalam bahasa Jawa Kuno. Tetapi kegarangan sudah mula mengendur bila dibacakan ayat-ayat Quran kepadanya. Dia semakin terseksa bila setiap kali ayat-ayat Quran itu dihembuskan ke arahnya.

Memang menghadapi tiga lembaga yang memakai tangkal azimat satu pengalaman berat bagi saya. Mereka mempunyai berbagai-bagai kepandaian. Kadangkala dia menukarkan dirinya menjadi asap, kadangkala menjadi kabus, kadangkala menjadi hujan.

Bagaimanapun dia tidak dapat menghampiri saya kerana bacaan ayat-ayat Quran itu. Bagi mengatasi kelemahannya mereka terpaksa menukar diri dalam berbagai bentuk yang mengelirukan. Tetapi mereka tidak dapat mengelirukan selagi ayat-ayat Quran menjadi senjata memerangi kekuasaan syaitan.

Setelah berjuang secara batin berhempas pulas akhirnya tiga lembaga itu terpaksa mengakui bahawa mereka tidak dapat mengalahkan ayat-ayat Allah. Mereka semakin menderita kalau digagahi juga mahu melawan. Tidak ada perisai yang boleh melindungkan diri mereka. Di mana saja bersembunyi mereka dapat dikesan.

“Kami sebenarnya diupah…. ” lembaga yang bersuara seperti orang Siam itu menjelaskan. “Aku terpaksa minta tolong dari kawan-kawanku semua, kerana ini kerja besar” katanya merintih-rintih.

“Bodoh punya setan!” bentak saya menyindir. “Umur dah tiga ribu tahun mahu ikut makan upah, bodoh!” ejek saya selanjutnya.

Mereka terdiam tidak berani mengangkat  muka. Sudah terbayang kepada saya bahawa mereka sudah semakin lemah. Tetapi keadaan demikian tidaklah boleh dipercayai sangat. Perjuangan menentang syaitan mestilah berhati-hati, kerana mereka mempunyai helah.

Kadangkala mereka berpura-pura tidak sanggup lagi melawan, tetapi apabila kita terlalai mereka akan melawan balik. Mereka mencari peluang untuk menyerang balas. Sebab itulah perjuangan menentang syaitan ini terlalu rumit kalau tidak penuh dengan kesabaran.

“Berapa upah yang kamu terima?” desak saya.

“Tiga ribu… “ jawapnya serentak.

“Hus, bodoh betul awak ni jadi setan, kenapa tak mintak upah tiga puluh ribu” ujar saya menyakiti hatinya.

“Minta banyak-banyak dia tiada wang” sahut lembaga yang bercakap seperti orang Siam.

“Kalau tak ada wang jangan mengacau anak bini orang!” bentak saya menyindir.

Lembaga berkenaan tidak berani lagi menyahut. Saya lihat tangkal azimat yang menyaluti tubuhnya sudah habis terbakar. Mereka menjadi lembaga yang sudah tidak mempunyai apa-apa kekuatan.

“Sekarang awak semua balik, beritahu guru awak suruh dia sendiri datang” perintah saya.

Ketika ini lembaga-lembag berkenaan melayang-layang ke udara. Kemudian hilang tidak tahu ke mana. Selepas semua keadaan menjadi reda, saya dengar suara Lebai HItam memanggil nama saya. Dia menyuruh saya balik semula masuk ke dalam tubuh. Apabila saya merasai diri saya masuk ke dalam tubuh, saya pun terjaga dari tidur.

Lebai Hitam menghembus kepala saya tiga kali, kerana saya merasa badan saya kebas. Beberapa minit kemudian barulah tenaga saya pulih semula. Cikgu Hassan datang merapati saya bertanyakan apakah yang saya lihat sewaktu ditidurkan oleh Lebai Hitam.

Saya diberitahu oleh Cikgu Hassan semasa saya tidur anak gadisnya yang paling teruk meronta-ronta dan menjerit-jerit. Segala pertengkaran saya dengan lembaga yang bercakap seperti orang Siam dapat didengar oleh orang-orang yang melihat di situ melalui anak gadis Cikgu Hassan. Bagaimanapun mereka tidak tahu apakah yang saya soalkan.

Disebabkan ada masalah peribadi maka saya tidaklah memberitahu Cikgu Hassan secara berterus terang. Melalui pertengkaran saya dengan lembaga berkenaan maka terbukalah tembelang Cikgu Hassan selama ini, bahawa dia sudah berkahwin seorang lagi dengan gadis dari Kedah. Saya dapat tahu keluarga isteri mudanya itulah yang mengupah seorang bomoh Siam melakukan perbuatan sihir menganggu isteri dan anak gadis Cikgu Hassan.

Perkara itu sengaja tidak saya terangkan supaya tidak timbul perbalahannya dengan isteri tuanya. Hanya beberapa hari selepas itu baru saya bertanya samada benar dia ada berkahwin seorang lagi. Cikgu Hassan mengaku dia pernah berkahwin seorang lagi, tetapi telah menceraikan isteri mudanya tidak lama kemudian.

Malam tersebut selepas saja saya bangun dari dari ditidurkan oleh Lebai Hitam, isteri Cikgu Hassan mulai sedar. Fikiran pulih semula. Sementara anak gadisnya tidaklah kerap sangat buang air kecil. Perubahan itu amat mengembirakan dia.

Bagimanapun hampir sebulan  juga selepas itu barulah keadaan pulih betul. Saya sendiri mengesyurkan kepada Cikgu Hassan supaya datang mengunjungi Lebai Hitam bagi mendalami pelajaran agama.

“Itulah pengalaman aku…” kata sepupu saya seorang guru agama ketika menceritakan kepada saya semasa mengajar di Pahang. “Kalau mahu belajar ilmu, belajarlah ilmu agama iaitu ilmu Allah. Jangan belajar ilmu setan yakni sihir” dia mengingatkan saya.

Sepupu saya ini memang tahu sikap saya terlalu suka menemui orang tertentu kerana bertanyakan ilmu kebatinan. Dia juga sama seperti nenek saya, tidak mahu saya terjebak oleh keghairahan mahu belajar sehingga mempelajari ilmu-ilmu yang salah.

“Mintalah pertolongan semata-mata kepada Allah… ” katanya mengingatkan saya berulang kali..

SELESAI.

No comments:

Post a Comment