MENU| Home | Facebook

Friday, 24 May 2013

KRU PENYINGKAP FAKTA

Lazimnya pesakit dan keluarga amat bermurah hati menjelaskan bayaran dikenakan oleh hospital pakar biarpun berjumlah ribuan ringgit.   

Ternyata, ilmu diraih oleh doktor pakar bertahun lama di universiti begitu tinggi nilainya. Namun dalam beberapa situasi tertentu, sebilangan doktor biarpun tidak dihebahkan berkata ...

"Elok juga sekiranya pesakit ini dibawa berubat mengikut kaedah tradisional"

Saya yakin, ramai pembaca pernah mendengar cerita dari mulut ke mulut berhubung kenyataan itu tatkala pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memulihkan pesakit, gagal.

Maka keluarga pesakit bergegas membawa pesakit ditimpa musibah bertemu bomoh atau pawang. Tidak dapat dinafikan kekadang kaedah rawatan diguna  membabitkan mentera tidak diketahui maksudnya. Mentera dibaca tidak langsung kedengaran bunyinya seperti ayat dipetik daripada kitab suci Al-Quran.

Namun keluarga dan pesakit berada dalam keadaan tertekan, membiarkan rawatan itu berlangsung. Malah ada waktunya, keris pusaka diasap, limau purut dihiris dan  kemenyan dibakar untuk mengiringi jampi serapah.

Kita sudah biasa mendengar, sebilangan bomoh mengenakan pengeras samada dalam bentuk barangan pelik atau wang tunai sebelum rawatan dimulakan. Berikutan itu, keluarga pesakit kemudian terpaksa memenuhi permintaan itu dengan harapan pesakit mampu dipulihkan dengan kadar segera. 



Segelintir bomoh, tidak diketahui latar belakang mereka, menuntut bayaran ratusan dan ribuan ringgit daripada artis dan orang kenamaan. 

Dilaporkan, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2011, mangsa kerugian lebih 7 juta ringgit berbanding peningkatan lebih  12 juta ringgit dalam tempoh sama pada tahun 2012,  akibat ditipu dek bomoh.

"Disebabkan yakin dengan kehebatan bomoh, ada orang sanggup membayar ribuan ringgit untuk mendapatkan nombor ekor atau mengubati penyakit menggunakan kaedah jampi serapah atau pembedahan batin yang belum pasti berkesan menyembuhkan penyakit," kata Datuk Syed Ismail Syed Azizan.

Datuk Syed Ismail, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman. 

Klik di sini untuk membaca laporan penuh. 

Kebelakangan ini, ramai lebih cenderung cuba berikhtiar mengubati penyakit menggunakan kaedah perubatan Islam.

"Jika berjumpa doktor pakar dan bomoh, sebilangan pesakit sanggup  membayar ribuan ringgit. Dari pandangan Islam, bagaimanakah konsep sebenar pengiraan upah untuk rawatan?," soal saya kepada Ustaz Zaharuddin Zainal.



"Terdapat hadis tidak begitu dimasyhurkan. Seorang lelaki berikhtiar mengubat pesakit.  Dengan izin Allah, pesakit itu sembuh. Selepas itu dia pergi bertemu Rasulallah dan memberitahu baginda bahawa dia telah menerima upah 40 ekor kambing. Lalu Rasulallah bersabda, berikan aku seekor," jelas Ustaz Zaharuddin.

"Maksudnya? Upah sebegitu dibenarkan?," soal saya.

"Ya, jika kadar upah itu dipersetujui oleh kedua belah pihak," jawab beliau.

Ustaz Zaharuddin, graduan lulusan Universiti Al-Azhar Damanhur, Mesir dan kini bertugas sebagai imam dan guru.

Malangnya, saya dimaklumkan oleh rakan lain, sebilangan daripada mereka mempraktikkan kaedah rawatan Islam untuk membantu pesakit sering menerima upah tidak langsung berpadanan.

"Katakan, pesakit berada di Pahang. Perawat tinggal di Melaka dan dia memandu sendiri untuk ke lokasi. Setelah membuat rawatan lebih daripada 3 jam, sewaktu beredar, dia hanya diberikan upah RM20 sahaja. Bukan mereka hendak berkira tetapi duit minyak dan tol untuk balik ke Melaka tidak lepas," ujar kenalan.

Berita sebegitu terlalu kerap kita dengar.

"Kalau diperhatikan, rumah boleh dipagar menggunakan besi keluli tetapi apakah antara kaedah digunakan untuk 'memagar' rumah daripada gangguan sihir dan penghuni disantau? Bagaimanakah pula untuk membuang saka?," soal Ustaz Zaharuddin.

Saya terdiam.

Ustaz Zaharuddin mula membantu pesakit dengan mengamalkan kaedah rawatan Islam sejak beliau berusia 16 tahun, sehingga kini. Ilmu, pengalaman serta kepakaran dimiliiki beliau digunakan untuk membantu orang ramai.

Klik di sini untuk membaca contoh kes.

"Kita berikhtiar dengan berdoa dan dengan izin Allah, gangguan jin mampu dihindarkan," tambah perawat berusia 33 tahun itu.

Lazimnya, ramai ahli keluarga bak kehilangan punca untuk mencari perawat sebegitu ketika berada dalam situasi terdesak.

"Pada masa sama, kru Penyingkap Fakta akan bersama ustaz untuk menjalankan kajian menggunakan peralatan elektronik sewaktu rawatan dijalankan,"  celah Razali Harun.  

Gambar dirakamkan di lokasi, identiti pesakit dan ahli keluarga, DIRAHSIAKAN.

Klik di sini untuk melihat gambar disahkan asli.


No comments:

Post a Comment