MENU| Home | Facebook

Thursday, 1 August 2013

Diganggu Penunggu Hitam


Setiap hari menghadap buku-buku pelajaran, ke kelas tutorial dan sebagainya memang agak memenatkan. Sebab itulah setiap kali tibanya cuti semester, seliap pelajar lazimnya mempunyai agenda tersendiri untuk mengembalikan kesegaran minda.

Begitu juga dengan Ekin dan Ita. Mereka memilih untuk bercuti di rumah kakak Ita yang terletak berhampiran ibu kota dan ini akan memudahkan mereka untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik di ibu negara.

Setelah membuat segala persiapan, mereka bertolak meninggalkan kampus dan lebih kurang pada pukul lapan malam, mereka tiba di rumah kakak Ita yang sudah berkeluarga, namun belum di kurniakan cahaya mata ini. Kedatangan mereka disambut mesra oleh kakak Ita dan abang iparnya.

Apartmen milik kakak Ita ini terletak kawasan perumahan yang baru di buka dan masih ada banyak rumah kosong yang masih belum didiami. Suasananya agak sunyi serta mendamaikan. Namun Ekin seronok melihat reka bentuk rumah di sini yang menarik.

Sebaik selesai membersihkan diri dan makan malam, mereka mengambil keputusan untuk tidur awal kerana kepenatan, lebih-lebih lagi Ekin yang memandu kereta sepanjang perjalanan yang mengambil masa lebih kurang lima jam. Bagaimanapun tidur mereka terganggu apabila lampu kalimantang di dalam bilik tersebut menyala dan berkelip-kelip sedangkan sebelum tidur, suis lampu tersebut telahpun di matikan.

Tanpa memikirkan yang bukan-bukan, Ita bangun untuk menutup kembali suis lampu tersebut. Bagaimanapun langkahnya terhenti apabila secara tiba-tiba sahaja dia terdengar pintu bilik air di tutup dengan kuat. Pun begitu Ita kuatkan semangatnya dan setelah menutup suis lampu dia kembali untuk menyambung tidur.

Bagaimanapun dia sekali lagi terperanjat apabila terdengar pintu bilik air berdentum dengan lebih kuat. Malah Ekin juga terjaga dan mereka berdua berpelukan ketakutan kerana bunyi tersebut semakin kuat dan semakin menghampiri katil mereka. Bagaimanapun bunyi tersebut akhirnya hilang begitu sahaja, namun secara tiba-tiba telefon bimbit Ekin pula berbunyi. Apa yang lebih mengejutkan mereka ialah nombor yang tertera di skrin telefon bimbit Ekin tersebut adalah nombor telefon Ita.
Semua itu mustahil kerana telefon Ita diletakkan di atas meja soiek dalam bilik tersebut. Mereka mula menjerit ketakutan, namun suara mereka seolah-olah tersekat di kerongkong. Dan sebaik sahaja telefon bimbit Ekin berhenti, Ita terus mencapainya dan Cuba menelefon kakaknya di bilik bersebelahan. Sekali lagi, jantung mereka seolah-olah tercabut kerana talian mereka tiba-tiba sahaja

tidak ada liputan. Nak lari keluar, kaki mereka bagaikan terkunci dan kaku.Dalam masa yang sama mulut Ekin tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang diingati. Mereka juga turut terlihat cahaya halus memasuki ruang pintu bilik mereka. Suasana yang agak panas tiba-tiba menjadi dingin. Ita pula semakin erat memeluk Ekin sambil menangis. Setelah beberapa ketika berada dalam keadaan tersebut, barulah mereka boleh keluar dari bilik tersebut menuju ke ruang tamu. Sebaik sahaja memasang lampu di ruang tamu, Ita terus mengetuk pintu bilik kakak dan abang iparnya.

Ita menceritakan apa yang berlaku di bilik mereka sebentar tadi dan wajah abang iparnya sedikit berkerut kerana terkejut dengan cerita seram adik iparnya itu. Untuk mengelakkan perkara tersebut berulang Ita dan Ekin dinasihatkan menyambung tidur di ruang tamu sahaja, namun mereka berdua tidak mampu lagi untuk memejamkan mata dan mengambil keputusan bermalam di rumah sepupu mereka di Kajang. Walaupun sudah jauh malam, namun mereka nekad untuk ke Kajang sahaja. Namun sebelum mereka menuju ke kereta, kakaknya sempat berpesan supaya berhati-hati menggunakan lif kerana pada waktu-waktu begitu lif selalu rosak.

Sebaik sahaja berada di dalam lif, mereka berdoa agar tidak ada apa-apa yang berlaku. Walaupun perjalanan turun lif tersebut agak lambat, namun mereka akhirnya selamat sampai ke bawah tanpa sebarang 'usikan'. Mereka terus menuju ke kereta, namun baru beberapa langkah, sekali lagi mereka diuji. Kali ini Ita menjerit ketakutan apabila terlihat seorang lelaki berambut panjang, berbaju hitam dan tinggi mengekori mereka. Mereka berdua terus membuka 'langkah seribu' menuju ke kereta dan seterusnya memecut keretanya menuju ke jalan utama, dan dalam masa yang sama dia terlihat satu objek hitam melayang di udara seperti mengekori kenderaan mereka, tetapi hilang begitu sahaja.

Mereka selamat tiba di Kajang tanpa menceritakan apa-apa kepada sepupu Ita. Keesokan harinya kakak Ita datang ke rumah sepupunya di Kajang dan menceritakan bahawa rumah dan kawasan yang didiaminya itu sememangnya mempunyai 'penunggu' kerana tempat tersebut dicerobohi untuk dijadikan kawasan perumahan. Namun menurut kakaknya, dia masih mampu bertahan tinggal di situ kerana sehingga kini, mereka belum lagi diganggu seperti mana yang berlaku kepada Ita dan Ekin.

Sumber: Remaja 15 Februari 2007

No comments:

Post a Comment