MENU| Home | Facebook

Wednesday, 28 August 2013

Misteri Di Hotel Di Kawasan Masjid India


Saya Halil, dan ingin sekali berkongsi pengalaman yang berlaku lima tahun yang lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, di kawasan Masjid India. Begini ceritanya...

Hari itu hari Sabtu, kami tiba di KL Central Kuala Lumpur dari Singapura jam 3 petang dengan menaiki keretapi. Kami terus menaiki teksi dan menuju ke Masjid India untuk bermalam di sebuah hotel di sana. Hotel ini boleh dikatakan popular di kalangan pengunjung2 dari Brunei & Singapura. Kami ditempatkan di salah sebuah bilik di tingkat tujuh hotel itu. Malam itu saya baru saja balik ke hotel dari membeli barang di salah sebuah kedai di kawasan Masjid India seorang diri. Pada awalnya saya tidak mengikuti isteri, kedua2 anak saya yang berusia 3 & 5 tahun bersama anak saudara saya, yang telah pergi berjalan-jalan terlebih dahulu.

Setibanya saya di pintu bilik hotel dan belum sempat saya masuk, isteri saya bertanya, "Bang... Ada nampak botol susu Hafiz tak?" Saya menjawab, "Haa...? Mana saya tahu, sayakan baru balik ni. Kenapa, lupa nak bawa ke?" "Takde... Tadi ada sekarang dia tak tahu mana dia letak..." kata isteri saya. Saya pun bertanya pada anak saya yang berusia 3 tahun itu, "Mana Hafiz letak... Hafiz main campak2 ke?" Anak saya jawab, "Takuttt..." Dalam hati saya itulah kali pertama saya dengar dia cakap perkataan "takut". Saya pun mencari dan akhirnya terjumpa botol susunya di bawah katil. Botolnya betul2 berdiri tersembunyi di kaki hujung kepala katil. Dalam hati saya tertanya, "Macamana botol ni boleh berada di sini, dahlah di hujung, sempit pulak tu..."


Saya pun mencapainya dan memberi kepada isteri saya yang sedang mengandung tujuh bulan anak ketiga kami. Saya beritahu isteri itulah kali pertama saya dengar anak saya Hafiz berkata "takut". Kemudian saya mandi dan setelah itu saya dapati semuanya telah lepak. Saya kata pada isteri, "Siang dah nak tidur...??? Baru pukul berapa ni...???" Isteri saya jawab, "Dah penatlah bang... Budak-budak pun dah penat, tadikan kita dah jalan-jalan..." Memandangkan semuanya dah nak tidur, saya pun membancuh kopi panas dan menonton televisyen. Selalunya kalau berwisata, sayalah yang selalu tidur paling lewat. Jadi sedang saya terus menonton televisyen, tiba-tiba kedengaran suara. Suara itu datang dari tandas dan bunyi suara itu seperti seekor itik.

Saya terus mendengar lagi kalau-kalau bunyi itu kedengaran lagi, tapi tak ada pula. Saya terus bangun dan menuju ke tandas. Saya periksa di dalam dan saya selak juga bidai ruang mandi di dalam tandas tapi tak ada apa-apa pun. Saya pun keluar dan matikan lampu tandas. Saya duduk semula menonton televisyen dan saya mula berfikir, "Takkan ada itik di sini???" Saya berfikir dan bila saya teringat yang mak saya ada cakap, kalau bunyi itik malam-malam tu tandanya itulah Cik Kak! Meremang bulu roma saya! Saya pun terus bangun dan hidupkan semula lampu tandas kami. Saya tutup pintunya dan sambung menonton televisyen. Kurang dalam 10-15 minit kemudian saya pun membaringkan badan saya di atas katil.

Baru saja saya letakkan kepala saya di atas bantal, tiba-tiba seluruh bulu roma saya berdiri. Saya terasa macam sesuatu yang ingin memeluk saya. Terasa badan saya dipeluk kuat sehinggakan saya susah hendak bernafas. Saya meronta-ronta sambil membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an. Saya cuba mencuit isteri saya yang sedang tidur tapi gagal. Disebabkan pelukan dan tekanan yang sangat kuat, berpeluh-peluh saya, habis basah kuyup satu badan. Saya terus cuba melawan meronta-ronta dan akhirnya berjaya juga setelah hampir setengah jam bergelut dengan benda yang saya pun tak tahu apakah ia.

Tercungap-cungap saya macam nak semput pun ada. Saya mencapai segelas air di tepi televisyen, rasa haus tak terhingga. Saya terpinga-pinga mencari jawapan. Benda apa yang saya bergelut tadi??? Tapi saya tak tahu jawapannya. Tak lama selepas itu saya terus baring dan merengkan badan saya ke kanan. Alangkah terperanjatnya saya berderau jantung apabila saya dapati ada seorang perempuan sedang duduk, seperti duduk tahiyat dalam solat, di depan mata saya. Dia seperti perempuan yang sedang solat dengan telekung putih. Tapi saya tak nampak mukanya.

Saya terus memejamkan mata saya dan berpaling ke kiri semula. Dalam hati saya tertanya siapa perempuan ini? Saya mencuit-cuit isteri saya tetapi isteri saya tak bangun-bangun. Saya perlahan-lahan berpaling lagi ke kanan. Perempuan itu masih ada di situ dengan keadaannya seperti patung yang tak bergerak-gerak. Menggigil saya. Tak pernah saya berhadapan seperti ini. Saya memalingkan semula pandangan saya ke kiri dan baca ayat-ayat suci Al-Qur'an dan saya terus berkata dengan suara yang menggigil, "Siapa kau niii... Apa kau nak dengan aku??? Aku tak jemput kau pun di sini. Pergilah kau dari sini... Jangan ganggu aku dan keluarga aku..." Saya terus baca bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an dan memberanikan diri saya. Dengan perlahan2 saya memaling semula ke kanan dan saya dapati perempuan itu telah tiada!

Berpeluh-peluh saya, sambil mengucap "Alhamdulillah" berulang kali. Saya bangun dan duduk di atas katil sambil melihat isteri, anak2 dan anak saudara saya. Semua nyenyak tidur. Saya tak kejutkan mereka semua dan keesokannya barulah saya ceritakan pada isteri saya. Niat di hati nak bermalam selama dua hari tapi kami batalkan dan terus "check-out" dan bermalam di rumah saudara isteri saya. Sampai sekarang saya tak tahu benda apa itu. Kalau ada sesiapa yang boleh beritahu saya, tolong beritahu saya

Read more: http://seram-giler.blogspot.com/2013/04/misteri-di-hotel-di-kawasan-masjid.html#ixzz2dHdjpMze

No comments:

Post a Comment