MENU| Home | Facebook

Friday, 30 August 2013

Niat beriqtiqaf di 40 masjid dan gangguan pontianak

Gambar hiasan sahaja
Kira-kira 7 tahun dahulu, dalam pengembaraan ku untuk mengenal diri, aku bermusafir dari satu masjid ke satu masjid dengan berjalan kaki seorang diri. Mana-mana masjid tempat aku bersolat maghrib akan menjadi hotel ku sebagai tempat menumpang tidur untuk malam itu. Objektif ku ketika itu untuk iqtiqaf di 40 buah masjid dalam jangkamasa dua minggu.
Berbagai-bagai pengalaman telah ku tempuh dengan pertolongan ALLAH semata-mata. Kepayahan banyak mengajar erti sebuah kehidupan. ‘Setiap kesusahan ada kesenangan.’ surah Al Insyirah. Aku kenal erti tawakal yang sebenarnya dalam pengembaraan itu. Aku mengerti perkataan sabar dengan rasa.
Kisah ini ku tulis untuk menjana pemikiran semua supaya bertambah bijak dan matang. Pada satu hari yang cerah, aku telah tiba disebuah masjid dalam keadaan yang penat, berpeluh dan berdebu setelah berjalan lebih kurang 7 kilometer dari masjid tempat aku bersolat asar. Kalau aku berlari lebih cepat sampai, tapi aku tidak mahu terlalu banyak berpeluh memandangkan baju hanya ada dua helai sahaja.
Setelah membersihkan diri, aku solat maghrib berjemaah dengan penduduk setempat. Selesai solat maghrib, aku berjumpa dengan Pak Imam untuk memperkenalkan diri dan meminta izin menumpang bermalam di masjid kampung itu.
‘Tak Boleh! Awak ingat masjid ni hotel percuma ke? Entah dari mana awak datang, nak mengotorkan masjid pulak. Awak ni orang tabligh ke?’ Masih ku ingat jerkahan Pak Imam tersebut. Marah sungguh dia pada ku.
‘Tapi..masjid ni kan rumah ALLAH. Saya hanya mahu menumpang iqtiqaf dan berehat di rumah ALLAH ini untuk malam ni saja. Esok, selepas subuh, saya keluarlah. Saya musafir yang sedang berjalan untuk mengenal diri.’
‘Pasal ini rumah ALLAH lah saya tak benarkan. Rumah ALLAH bukan hotel. Selepas Isyak awak keluar dari masjid ini.’ Tegasnya kepada ku.
Perasaan ku berbaur antara marah dan sedih.
‘Apalah dangkal sangat orang ini? Kalau tetamu datang ke rumah kita, sudah tentu kita akan raikan dan berikan tempat tidur yang selesa, inikan pula rumah ALLAH yang Maha berkuasa lagi Maha mengetahui. Lagipun, ini bukan rumah dia, ini rumah ALLAH!’ Hatiku berperang untuk melawan. Tapi ku tahan mulutku dari mengeluarkannya.
‘Baiklah pakcik, saya minta maaf.’
Dan aku pun keluar selepas solat isyak dengan iringan kata-kata manis dari Pak Imam itu, ‘Entah kutu berahak mana nak mencuri duit masjid. Pegikut ajaran sesat lah ni.’
Aku bersangka baik. Mungkin sudah pernah berlaku kecurian di masjid satu ketika dulu. Aku berjalan menuju ke depan di malam yang gelap. Terasa juga ada pontianak sedang mengintai di balik2 pokok getah itu. Tapi kalu berani dia menjerkah ku, akan ku jerkah dia balik lalu ku seligi kepalanya dan ku pakukan tengkuknya biar jadi bini aku (Mesti macam Maya Karin agaknya) kerana hatiku sedang membara ketika itu. Perasaan ku begitu sedih dan pilu sekali.
“Ya ALLAH..aku sedang belajar untuk mencintai Mu maka perkuatkanlah aku.’
Sekonyong2nya, berhentilah sebuah motosikal honda kapcai buruk yang berlampu malap. Rupa2nya, Tok Siak masjid tadi yang menunggangnya. Dia memberi salam kepada ku dan mengajak ku ke rumahnya. Aku menolak dengan cara yang baik tapi dia bersungguh mempelawa ku ke rumahnya.
Aku menolak dengan mengatakan bahawa niat ku bermusafir ini untuk beriqtiqaf di sebanyak masjid yang sempat aku kunjungi. Lalu dia mempelawa aku untuk makan malam dirumahnya dan kemudian dia akan hantarkan aku ke sebuah masjid yang lain malam itu juga.
Aku bersetuju dan membonceng motosikal buruknya itu. Setelah makan malam bersama keluarganya, iaitu isterinya, anak teruna dan dua orang anak lelakinya yang masih bersekolah rendah, dia mengajak ku berbual2 seketika.
Dia mengatakan yang dia sudah terdengar perbualan ku dengan Pak Imam tadi dan meminta maaf atas sikap Pak Imam itu. Katanya, Pak Imam itu bekas askar lalu aku menyatakan padanya bahawa aku pun askar gaks. Baru sahaja gagal kursus komando.
‘Patutlah..muka macam budak baru keluar pusat pemulihan dadah. Rupa tak semenggah. Pak Imam dah tersalah sangka dengan awak. Maafkanlah dia. dia tak tahu.’ Kata Tok siak.
‘Tapi tujuan awak bermusafir ini sangat bagus. Pakcik setuju dan suka sangat dengan cara awak ini.’ Dia diam seketika lalu menyambung.
‘Awak tak nampak ke ada pontianak sedang mengintai awak kat pokok getah tadi?’ Tanyanya serius.
‘Saya dapat rasa benda tu..cuma saya tengah sedih sangat la tadi pakcik.’
Tok siak bertanya, ‘ Apa yg nak disedihkan? Takkan seorang komando pun sedih?’
Aku tersengih mendengar pertanyaannya itu.
˜Saya telah gagal untuk jadi seorang komando. Tak cukup fit dan cukup mental untuk habiskan kursus. Itu perkara yang menyedihkan buat saya kerana ianya adalah cita-cita saya dan saya telah berusaha sedaya upaya untuk berjaya. Ada orang yang dengki dan tidak mahu saya berjaya. Saya telah digagalkan dengan sengaja.’
˜Takpelah’ ada hikmahnya. Hikmah yang terbesar sekali, adalah keinginan untuk mengenal diri. Perasaan itu adalah imbalan yang terlalu besar atas kegagalan tadi. Sedikit sekali manusia yang dianugerahkan dengan perasaan itu.’
Aku terpegun mendengar pernyataan Tok Siak itu. Rupa-rupanya dia adalah dikalangan orang-orang yang mengetahui. Tak ku sangka, orang yang sebegini alim (berilmu dan memahami) hanya menjadi seorang siak masjid sedangkan orang sebegitu dangkal menjadi seorang Imam. Terbaliklah pulak.
˜Apakah kesudahan pencarian saya ini pakcik?. Adakah saya dapat mengenal diri saya nanti?’ tanyaku jujur.
˜Cerita sebegini elok sangat diterangkan di masjid. Apa kata kalau kita iqtiqaf di masjid kampong ini? Boleh kita sama-sama qiam (qiamulail).’
˜Tapi, Pak Imam dah tak bagi saya iqtiqaf kat situ pakcik, nanti dia marahkan pakcik pulak.
˜Hai..sayakan siak masjid..saya penjaga masjid itu. Itu bukan rumah dia, itu rumah ALLAH. Awak sedang menjadi tetamu ALLAH di salah sebuah rumah Nya yang berjuta2 diserata dunia kerana awak adalah musafir yang sedang mencari Nya. Saya wajib memberi makan kepada awak dan melayan awak dengan penuh penghormatan.’ Bersungguh Tok Siak menerangkan kepada ku.
Aku merasa amat gembira sekali dengan pernyataannya itu seolah-olah ianya adalah berita yang paling menggembirakan dalam hidup ku. Tak ku sangka, rupa-rupanya, ada manusia yang memahami dan mempunyai pemikiran yang selari dengan pemikiran ku.
˜Atau..awak sebenarnya kecut nak lalu jalan yang ada pontianak tadi?’ duganya sambil tersenyum lebar.
Aku tergelak mendengar pertanyaannya itu. Aku tak terfikir pun pasal pontianak itu. Setiap kali aku teringat pasal pontianak, aku teringat Maya Karin. Tentu nikmat agaknya kalau dapat kahwin dengan pontianak yang secantik Maya Karin.
˜Takde lah pakcik. Saya tak hairan sangat dengan benda tu. Saya dok kusut memikirkan tentang diri saya dan ALLAH. Itu saja.’
˜Sedang elok dan memang cantik! Kalau begitu, mohlah kita ke masjid.’ Ajaknya dengan segera.
Maka aku pun mengangkat beg dan mengucapkan terima kasih kepada isteri Tok Siak yang telah menghidangkan nasi berlaukkan gulai lemak pucuk ubi, ikan keli goreng (aku makan dua ekor plak tu), sambal tempoyak dan ikan masin. Aku begitu berselera sekali sehingga makan dua pinggan nasi tanpa sedar. Takde malu-malu lah. Lagi pun, aku baru saja selesai menjalani latihan lasak. Jadi selera ku memang tinggi apatah lagi masakan dari dapur seorang isteri. Biar pun isteri orang.
Kami tiba dimasjid lebih kurang pukul 11 malam. Pontianak tadi hanya bertenggek sahaja di atas dahan pokok getah. Kami selamba saja lalu dan sempat juga aku mengenyit mata kepadanya. Entah dia nampak entah tidak. Tapi dia tak menunjukkan sebarang reaksi. Naik juga bulu roma tengkuk aku. Ingatkan berani sangat. Yelah.. perasaan seram itu tetap ada tapi hati aku tak terusik dengan kehadirannya itu.
Aku rasa tak sabar nak mendengar cerita dan penerangan selanjutnya dari Tok Siak. Oh..ya..namanya, Ibrahim. Nama yang menunjukkan kebijaksanaan. Nama seorang Nabi yang bijaksana dan gagah. Pak Ibrahim ini telah menjadi salah seorang dari guru-guru ku yang mengajar erti ISLAM kepada ku dalam pengembaraan 14 hari 15 malam ku itu.
Sebaik tiba ke kawasan masjid, aku segera ke tandas yang berada di luar masjid, untuk menunaikan hajat yang terqada. Selesai urusan, aku keluar untuk berwuduk supaya lekas dapat aku solat sunat tahiyatul masjid dan sunat iqtiqaf. Sebaik saja aku keluar dari tandas, aku terdengar suara perempuan menangis. Sedih sekali bunyinya. Macam perempuan kematian anak. Mengongoi-ngongoi macam bunyi musang. Meremang bulu tengkuk ku.
Berdasarkan pengalaman yang dahulu, sah la, itu memang bunyi pontianak. Aku rasa dia nak mengorat aku. Tak pun, memang dia kenal Pak Ibrahim. Malangnya, aku tidak berminat untuk berkenalan dengan dia kerana hati aku sedang bercelaru. Tapi kalau dia cari pasal dengan aku, memang sungguh akan ku pakukan tengkuknya walau dengan ranting kayu sekalipun.
Aku berdiri di pintu tandas sambil merenung ke arah suara itu. Tiada apa yang kelihatan dalam gelap itu. Hanya pokok-pokok getah sahaja di depan.
Apabila terdetik saja perasaan seram dihati, segera aku bacakan doa, ˜Bismillahhi lazii la yadhurru maasmihi syaiun pi ard walaa pi samaa, wahuawal aliyul azim.’ Sedang aku kyusyuk membaca doa itu 3 kali, tiba-tiba jer Pak Ibrahim sudah berada disisi ku sambil merenung ke arah yang sama. Terkejut ˜dog’ aku!
˜Pergh’ Kurus semangat’, sambil aku mengurut dada. Pak Ibrahim gelak kecil.
˜Jom kita tangkap pakcik! Boleh saya buat bini.’ Secara spontan aku tergerak bercakap seperti itu.
˜Dia minat kat kau ni.. tu pasal dia ikut kita. Sudah, abaikan dia. Dia adalah ujian buat kau.’ Pak Ibrahim memotong stim ku.
˜Dia kira dah mengganggu kita. Jom kita setel kan dia ni dulu.’ Rupa-rupanya, masih ada lagi semangat juang dalam diri ku ini. Aku geram kerana di ganggu. Itu pun sebab ada Pak Ibrahim, kalau sorang-sorang, belum tahu lagi.
˜Bukan ke itu kerja dia untuk mengganggu orang-orang macam kita. Cuba halusi peristiwa ini, elok-elok kau berniat nak iqtiqaf dan beribadat di masjid ini, sekarang sudah terpesong untuk menangkap pontianak. Takde nya dia tu boleh secantik Maya Karin kalau ditangkap. Hodoh lagi menakutkan ada laa. Sudah, jangan dilayan.’ Potongnya sambil menarik tanganku.
Aku memandang tepat ke wajah Pak Ibrahim. Macamana dia boleh tahu yang aku menyamakan pontianak ni dengan Maya Karin, bukan ke perkara itu adalah rahsia hatiku dilubuk paling dalam. Memang pelik betul Pak Ibrahim ni. (seminggu kemudian barulah aku memahami apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘kasyaf’ seperti yang diterangkan oleh seorang lagi guru yang ku temui di masjid lain)
Melihatkan aku berat nak bergerak, Pak Ibrahim mengambil seketul batu lalu dibalingnya ke arah suara tersebut. Terdengar seperti bunyi kucing mengiaow kesakitan lalu senyap.
˜Haa..dah setel dah. Kucing je tu! Dah moh kita ke dalam.’ Pak Ibrahim mula melangkah ke kolah masjid.
Aku terpaku lagi. Macamana pulak boleh bunyi macam kucing ni. Hai..pontianak..pontianak..jibam..jibam, tak fasal-fasal aku sibuk memikirkan hal kau. Hilang semua sedih aku tadi.
Aku bukannya sedih sebab gagal kursus komando. Tahun depan boleh ambik lagi. Aku sedih sebab akhlak Pak Imam masjid ni sebenarnya. Aku juga sedih bila terasa seolah-olah ALLAH halau aku keluar dari rumah Nya sedangkan aku sedang mencari kecintaan terhadap Nya.
Ibarat kena halau dari rumah boyfriend atau girlfriend yang kita minat. Sedih sangat rasanya. Seperti, ˜Keluar kau dari rumah Ku, kau tidak layak untuk tidur di sini.’ Seperti itu yang ku rasa. Bayangkan kalau ALLAH halau kita keluar dari rumah Nya melalui mulut Pak Imam tu.
Tapi bila dipujuk balik oleh Pak Ibrahim, hati ku gembira semula. Pak Ibrahim seolah-olah mengatakan bahawa bukan ALLAH yang menghalau aku, tapi Pak Imam itu yang menghalau, kerana Pak Imam itu sedang dalam keadan salah sangka terhadap ku.
Maka timbul angan-angan untuk jadi seorang tua seperti Pak Ibrahim ini, yang tinggi lagi dalam ilmunya tetapi rendah hati dan berakhlak mulia. Bukan saja dia meminta maaf bagi pihak Imam, memberi ku makan, menghiburkan hatiku yang sedih, menyedarkan ku tentang ujian pontianak itu dan mengajarku ilmu tauhid serta tasauf secara terperinci pada malam itu.
Ada orang yang dangkal, ada orang yang bijak. Ada orang yang sombong, ada orang yang rendah diri. Jahat dan baik. Dengki dan berbakti. Cantik dan hodoh. Semuanya ada dua. Yang positif dan yang negative. Aku belajar mengenal kedua-duanya sekali. Rupa-rupanya, dah disebut dalam surah yaasin ayat 36. Diterangkan secara terperinci oleh pak Ibrahim ini.
˜Maka fahami dan terimalah kamu kedua-dua nya itu sebagai salah satu dari ilmu ALLAH! Ini adalah perkara asas dalam ilmu mengenal diri yang kamu cari itu.’ katanya kepadaku. Lalu ku tangkap tangannya dan ku kucup syahdu. Meleleh air mataku apabila terasa betapa sayangnya ALLAH pada ku kerana di terangkan tentang perkara yang berlaku melalui mulut Pak Ibrahim. Kemudian kami solat sunat malam berjemaah.
Tahajud malam itu indah sekali. Begitu juga dengan solat tasbih. Wow..lazat tak terkata. Lapang dan permai. Seakan terlihat bintang-bintang bertaburan berkerlipan dilangit meskipun aku sedang sujud di muka bumi. Cantik lagi mengasyikkan tapi kecil dan tak berdaya. Nikmat sungguh tahajud apabila di rasai dengan sepenuh jiwa. Jiwa yang sedar. Jiwa yang tahu siapa kah dia.
Aku ini ibarat robot yang benar-benar tertakluk di bawah perintah dan kehendak tuan ku, sepertimana yang telah dilatihkan oleh tentera kepada ku.(Yes sir! Kami dengar dan kami taat, “taat setia” cogankata askar melayu) Tiada daya upaya ku melainkan mengikut saja apa yang telah disediakan oleh tuan ku untuk ku. Aku merasakan tidak perlu kan apa-apa pun dimuka bumi ini. Cukup dengan ALLAH!
Aku tertidur dalam keadaan bersujud sehinggalah Pak Ibrahim mengejutkanku supaya tidur dalam keadaan yang lebih sempurna. Aku hanya tersedar selepas lampu masjid dipasang. Dalam mamai itu, masih lagi aku terasa nikmat kelapangan yang seluas langit dan bumi itu diruang dada ku yang sempit ini. Aku bangun dalam senyum. Dengan segera aku berwuduk kerana aku tak sabar untuk bersolat semula.
Pak Ibrahim melaungkan azan subuh. Aku dengan segera bersolat sunat fajri dan sunat subuh. Dua orang penduduk kampong datang ketika aku bersolat. Aku sudah tidak mempedulikan keadaan sekeliling. Masih fana dengan solat tahajud malam tadi. Aku sehingga malas untuk mengangkat kepala. Bukan mengantuk tapi khyusuk. Hatiku asyik dengan ˜ALLAHUALLAH! Asyik sungguh. Rasa tidak mahu berhenti.
Keasyikanku itu terhenti dengan laungan iqamat oleh Pak Ibrahim. Dengan pantas aku berdiri, sepantas pergerakan ketika nombor ku dipanggil semasa dalam kursus dahulu.(˜cepat dan cergas’ cogankata komando) Hanya ada lima orang sahaja pada solat subuh itu. Pak Imam yang menghalauku itu, dua orang pakcik yang sudah tua, Pak Ibrahim dan aku. Sedangkan aku masih lagi berseluar jeans dan ber t-shirt hitam sahaja. Itulah pakaian ku buat berjalan, tidur, makan dan bersolat. Yang lain lengkap berkopiah. Apa ku peduli, aku sedang asyik dilamun cinta. Pak Ibrahim pun tak cakap apa.
Pak Imam membaca surah Al fatehah dengan lantang dan merdu. Tapi entah kenapa, hatiku merasa tidak seronok mendengar bacaannya itu. Seperti ada yang tak lepas atau tak kena. Aku abaikan saja kerana aku sedang seronok sendiri mengadap Tuhan Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. (ada kalanya perasaan takut yang teramat sangat pula, ada masanya perasaan sedih, dan banyak masanya plak takde perasaan)
Jadi..aku hargai perasaan yang datang itu dengan kesyukuran. Ianya anugerah yang terlalu besar buat ku. Ibarat berdiri di depan Yang Dipertuan Agong di atas padang kawad dengan pedang yang terhunus seperti di hari pentauliahan pangkat ku satu ketika dulu. Sedia berkorban dan sedia menurut perintah!
Selesai solat dan doa, kami bersalam-salaman. Aku hanya tunduk sambil bersalam dengan Pak Imam. Pak Imam menarik tangannya cepat-cepat seolah-olah jijik untuk bersalam denganku. Aku tak tersinggung pun walaupun aku pernah bersalam dengan YDP Agong, PM dan panglima2 tentera, mereka tidak pula menarik tangan secepat itu. Hanya Pak Imam sahaja yang berperasangka terhadap ku lantaran pandangan lahiriyahku yang tidak semenggah (senonoh) atau tidak semegah uniformku di bilik.
˜Ibrahim, cuba kamu periksa kalau-kalau ada barang yang hilang. Yang paling utama peti duit.’ Pak Imam mengarahkan Pak Ibrahim sambil merenungku.
Aku hanya tunduk dan yang hairannya, aku tak terasa apa-apa pun dengan kata-katanya itu. Kemudian, aku mengangkat muka dan tersenyum kepadanya.
Pak Ibrahim menghampiri Pak Imam. ˜Pak Imam, saya iqtiqaf di sini dengan anak muda ini malam tadi. Namanya, Kapten Walid (bukan nama sebenar), dari Sg Udang, Melaka. Dia hanya menumpang iqtiqaf untuk malam ini sahaja dalam musafirnya mencari diri.’
Pak Imam sangat terkejut dengan kenyataan Pak Ibrahim itu. Dia merenung wajahku.
˜Tuan..dari PULPAK la ni ya? Kenapa tak cakap dari awal?’, tanyanya sedikit gugup.
Aku sudah mahu ketawa. Aku teramat gelihati dengan keletah spontan Pak Imam. Sebaik saja mengetahui pangkat dunia ku, tiba-tiba saja dia memanggil aku ‘tuan!(memang tradisi tentera untuk terus menghormati pegawai atasannya walaupun dia sudah bersara) Sedangkan aku hanya hamba sahaya yang hina dina.
Aku menyalam Pak Ibrahim, mencium tangannya, sambil mengucapkan terima kasih buat kali ketiga kepadanya lalu bersalam dengan Pak Imam. Aku berpusing mengambil beg lalu dengan segera keluar dari masjid itu dengan kaki kiri.
Aku ketawa sepuas-puasnya seperti orang gila sebaik saja keluar dari kawasan masjid itu. Hatiku bagai digeletek-geletek. Aku merasa kelakar dengan karenah manusia ini. Dan seketika, timbul pula rasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan Pak Ibrahim dalam keadaan yang begitu drastik.
Tapi tak mengapa, aku akan bertemu dengannya semula, tak di dunia, di akhirat jua. Sekejap gembira, sekejap sedih dan sekejap lagi asyik. Aku berjalan dengan tunduk kerana terasa malu pula untuk melangut muka seperti mana aku selalu berjalan satu ketika dulu.
Dan aku meneruskan perjalanan itu bagai orang gila dengan hati yang asyik. Baru ku tahu, bagaimana perasaan orang yang gila ‘bahagia’.
kredit: sufi moden dan Blog Tok Wan

1 comment: