BUNYI aneh, jeritan, 
raungan kesakitan, terserempak kelibat manusia, antara perkara yang 
dilalui penduduk kampung berhampiran dan anggota keselamatan yang 
berkawal.
SEJAK awal menjejak kaki di Felda Sahabat, Lahad Datu, pelbagai kisah misteri yang berlaku selepas Op Daulat disuakan ke telinga kami.
Kisah Kampung Tanduo yang menjadi lokasi 
dan tempat berkumpulnya lebih 100 pengganas tidak lama dahulu, bukan 
setakat yang dilihat dengan mata kasar.
Kewujudan kampung itu sejak 50 tahun lalu, sebelum ini dikatakan sebagai perkampungan haram, sebenarnya menyimpan 1001 misteri yang masih belum terungkai.
Beberapa penduduk berhampiran, terutama 
dari Felda Sahabat 17 yang ditemui mendakwa pernah terserempak dengan 
kelibat aneh ketika sedang memandu kereta untuk keluar ke Pekan Lahad 
Datu.
Menurut Ali Hadi, 30, dia pernah ‘bertemu’ dengan ‘lembaga’ seperti manusia yang melintas di laluan utama kawasan Felda itu.
“Masa tu hujan renyai. Saya sedang 
memandu dan hampir melanggarnya. Tapi lembaga itu sempat mengelak. Bila 
saya menoleh ke sebelah kanan, lembaga itu menghilang.
“Saya beranikan diri turun dari kereta. 
Memeriksa kawasan sekitar takuk jika benar-benar terlanggar orang. Bila 
saya periksa di tepi belukar, memang tiada siapa yang saya langgar. 
Tiba-tiba muncul perasaan seram. Saya masuk ke dalam kenderaan dan terus
 memecut laju.”
Menurut Ali, hingga hari ini dia masih belum menemui jawapan siapa atau apakah yang dilanggarnya ketika itu.
Seorang lagi penduduk Felda Sahabat 17, 
yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 47, juga menceritakan perasaan 
aneh yang sering dirasainya terutama bila senja bermula.
“Ada satu hari saya dengar bunyi seperti seorang lelaki sedang menjerit dekat kebun kelapa sawit berhampiran rumah saya.
“Mendayu-dayu. Nak kata bunyi anjing 
bukan, sebab bila saya jenguk di tingkap suara itu masih jelas 
didengari. Isteri saya pun mendengarnya. Kami buat keputusan cuba 
hubungi polis, tapi kemudian bunyi itu lenyap begitu sahaja.”
Perkara itu turut diperkukuhkan lagi 
apabila ada anggota pasukan keselamatan yang turut mengalami perkara 
aneh ketika melakukan rondaan pada waktu malam.
“Kami beberapa kali terdengar bunyi suara orang minta tolong. Suara itu seperti dalam kesakitan.
“Bila diperiksa, tiada sesiapa. Perkara 
ini sering dialami oleh anggota keselamatan terutama pada waktu malam 
dan tengah hari,” katanya.
Malah ada juga yang mendakwa pernah terdengar seolah-olah bunyi tembakan.
Menurutnya pernah pada suatu ketika mereka terdengar seperti bunyi lolongan tetapi bila diperiksa di lokasi berkenaan yang betul-betul berhampiran Kampung Tanduo, tidak ada sesiapa di situ.
Peluang menjejak kaki ke Kampung Tanduo, 
kisah misteri yang disampai seperti sukar untuk dinafikan. Ditambah 
apabila gambar satu objek pelik yang dirakamkan oleh penduduk Felda 
Sahabat ditunjukkan kepada kami.
Melalui jalan-jalan sunyi dan menjengah beberapa tempat di sekitar Kampung Tanduo, ada sejenis aura yang dirasai.
Tidak pasti sama ada yang hadir itu 
‘angin’ negatif atau sebaliknya, namun paling nyata ia menyuntik rasa 
berjaga-jaga sepanjang berada di sini.
Bertandang seketika di surau Kampung 
Tanduo, ada semilir hangat yang menampar kulit. Riak degup dada berubah 
rentak. Juga terasa seakan ada mata yang memerhati dan mengawasi 
kehadiran kami.
Tidak tahu kenapa. Namun rasa aneh itu terjawab apabila diberitahu surau itu sebelum ini menjadi lokasi pendaratan pengganas.
Di tanjung Sungai Tanduo, perasaan sama muncul kembali.
Ketika merakam beberapa keping foto perahu panjang dan perahu laju di tanjung sungai itu, perasaan sama muncul kembali.
Seakan ada suara yang menyeru supaya terus mara. Menghampiri, mendekati perahu perahu yang ditinggalkan itu.
 Namun ‘sergahan’ anggota keselamatan yang mengiringi, menasihatkan kami
 berpatah balik, mematikan langkah untuk terus ke hadapan.
Rupa-rupanya kawasan itu adalah tempat pengganas menyimpan bot dan perahu.
Memang…sepanjang berada di tebing 
sebarang tanjung sungai, kami merasakan ada mata yang dari arah semak, 
memerhati setiap gerak langkah kami.
Juga terasa seperti ada ‘suara’ yang memanggil-manggil agar melintas ke seberang menuju ke semak berkenaan.
Sebetulnya, kami tidak mahu berfikiran 
negatif atau diselubungi pengaruh mistik sepanjang bertugas di sini. Dan
 kerana itu, kebanyakan perkara yang dirasa, kami pujuk hati untuk 
menidakkannya.
Hari merangkak petang. Namun kami tidak mampu menipu perasaan sendiri.Aura aneh kembali hadir ‘mengacau’ jiwa.
Semakin lama semakin kuat. Dan secara diam…hadir perasaan ingin menunggu di lokasi kejadian. Tapi kehendak hati terhalang kerana anggota keselamatan yang mengiring sudah memberi isyarat untuk keluar dari kawasan itu.
Kami bergerak ke arah kawasan rumah yang dikatakan menjadi tempat simpanan senjata kumpulan pengganas.
Kami lalui kawasan perkuburan pengganas 
yang ditemui pasukan keselamatan, juga menjadi lokasi rakan kami merakam
 foto objek pelik menggunakan kamera telefon bimbitnya.
Kami tidak pasti apa objek berkenaan dan tidak pula mengatakan terdapat gangguan misteri di situ.
Dalam masa yang sama kami tidak mahu menafikan keanehan objek itu, serta mengakui memang ada sedikit rasa yang agak berbahang di kawasan berkenaan.
Boleh dikatakan rasa yang sama wujud di 
setiap lokasi dijejaki yang melibatkan pengganas. Dan mungkin juga 
‘bahang’ yang dirasa merupakan kesan-kesan haba akibat pengeboman 
dilakukan semasa Op Daulat dahulu.
Seterusnya kami menjejak ke kawasan rumah
 yang didakwa tempat simpanan senjata serta tempat berlindung sementara 
kumpulan pengganas.
Dari situ, langkah kami mencecah ke 
kawasan kolam udang yang dikatakan sebahagian taktik pengganas menyusup 
masuk ke Kampung Tanduo.
Entah benar atau sekadar mainan perasaan di remang senja, di situ terasa juga ada mata memerhati pergerakan kami.
Berbeza dari kawasan sebelum ini, rasa 
ini lebih mengarah ke dalam kawasan kolam dan ketika ini, terasa degup 
jantung lebih kencang berbanding biasa.
Kami akhiri kisah ini seketika, kerana ingin segera keluar menyiapkan tugasan.
Dalam perjalanan pulang, ketika melewati semak, telinga menangkap bunyi derapan orang berlari,
Namun tiada kelihatan apa-apa di sekeliling.
Mata terus liar memerhati untuk memastikan perjalanan kami selamat dan tiada yang menghidu pergerakan.
Alhamdulillah…kami dilindungiNya untuk sampai ke Felda Sahabat dengan selamat.
Terkenang kembali perjalanan semasa 
perjalanan… secara tidak sengaja kami ada mendengar perbualan antara 
anggota pasukan keselamatan yang mengatakan mereka pernah melihat 
terlihat kelibat manusia sewaktu berkawal.
Apabila dijejaki, tiada manusia yang ditemui.Tetapi mereka terjumpa kesan tapak kaki di persisir sungai.
Sama ada ia manusia atau bukan tiada dapat dipastikan!
Apapun, telah diakui oleh orang ramai 
termasuk penduduk dan pasukan keselamatan bahawa, kebiasaannya kawasan 
peperangan pasti akan menyimpan selingkar kisah-kisah misteri.
 

 
No comments:
Post a Comment