Daun‐daun hutan di keliling datuk bergerak‐gerak bagaikan digoncang 
orang. Tanah yang dipijaknya jadi bersih tanpa sehelai daun. Datuk 
menumbuk tanah dengan tangan kiri. Dirasa daging pangkal lehernya 
bergerak‐gerak. Datuk senyum. Dia tahu perkara ini mesti dihadapi dengan
 cara lain. Dia teringat pesanan arwah neneknya dari tanah seberang, 
kalau berburu binatang dan terasa daging pangkal leher bergerak, 
alamatnya yang diburu bukan binatang lagi, tapi boleh jadi penunggu 
hutan atau syaitan dan orang bunian. Datuk letakkan senapang atas tanah.
 Dia duduk bertafakur mengumpulkan tenaga batin sambil membaca mentera 
yang diamalkannya. Melalui pancaindera batin datuk, datuk dapat melihat 
dengan jelas, bahawa rusa itu adalah jin penunggu hutan itu.
Muka datuk jadi merah padam, merecik peluh, gigi dilagakannya 
rapat‐rapat. Mata datuk tidak berkelip. Dia melihat di depannya, terdiri
 lembaga berbadan besar, matanya merah menyala, rambut panjang sampai ke
 tumit. Giginya besar, dua giginya di sebelah kiri dan kanan terjulur 
keluar, macam gading gajah. Dia diapit oleh enam jin yang sama hebat 
dengannya. 
"Kurang ajar, manusia laknat," suara itu bergema, daun‐daun hutan bergerak macam ditiup angin. Datuk diam bertafakur. 
"Kau tahu kesalahan kau manusia ?" Tambah suara itu . Belakang datuk 
terus dibasahi peluh datuk. Datuk diam, dia sudah pun menutup 
lubang‐lubang kelemahan tubuhnya dengan ilmu batin yang dipusakainya 
dari arwah neneknya, hingga jin itu tidak berpeluang menyatukan dirinya 
ke dalam tubuh datuk.
|  | 
| "Kau masuk ke dalam kawasan larangan ku." | 
"Tidak," jawab datuk dengan berani.
"Kau masuk ke dalam kawasan larangan ku."
"Aku sudah meminta kebenaran."
"Aku tidak membenarkan." Jawab jin itu dengan keras. Dua batang giginya yang terjulur bergerak‐gerak.
"Kalau kau tidak membenarkanya, kenapa kau tidak memberi isyarat, masa 
aku masuk tadi." Cukup tenang datuk menjawab. Dia sudah bersedia 
menghadapi semuanya.
"Kau manusia biadap," pekik jin itu, pokok hutan bergerak‐gerak.
Percakapan datuk dengan jin semakin hangat, secara perlahan‐lahan 
percakapan itu bertukar kepada pertarungan kebatinan. Kemampuan dan 
kekuatan datuk benar‐benar teruji. Mata datuk bercahaya garang dengan 
urat‐urat timbul di dahi dan lengannya. Peluhnya jangan dikira terus 
menerus membasahi seluruh badan.
Datuk tahu kalau dia kalah. Dia akan rebah ke bumi. Seluruh badannya 
akan lebam. Jadi datuk bertekad untuk melawan dengan apa cara sekali 
pun. Masa berlawan itulah datuk terasa cuping telinga sebelah kirinya 
lembik. Datuk senyum, satu tanda baik. Kemenangan akan berada di 
pihaknya. Datuk terus mengucapkan begini :
Jong keli jong, tali cemati tebang buluh bunting pagi melemang...
Belum pun tamat datuk mengucapkan mentera itu. Dia terasa pangkal 
belikatnya keras macam batu. Datuk tidak boleh bergerak ke kiri dan ke 
kanan. Datuk terus bertempik dengan menyeru nama guru ilmu batinnya, 
serentak dengan itu datuk mengambil senapang seraya berkata : "Kalau aku kalah, aku rebah, kalau aku menang, aku berdiri dan kau pulang ke tempat asalmu."
| Gambar Hiasan | 
Datuk pun melepaskan satu tembakan kepada rusa. Tepat tembakan datuk 
kena pada kening rusa. Rusa yang berjumlah tujuh ekor itu hilang entah 
ke mana. Kawasan itu jadi sepi. Pemandangan datuk kembali normal yang 
ujud di depannya sekarang iailah sebatang pokok besar dengan akar‐akar 
bergayutan yang mencecah muka bumi.
Datuk menang dalam pertarungan itu. Sebelum meninggalkan tempat itu, 
datuk segera mencari anak-anak kayu yang bercabang tujuh yang mengarah 
ke matahari jatuh. Anak kayu bercabang tujuh itu datuk tikam ke bumi. 
Cabang yang tujuh ke bawah. Lepas itu datuk memotong cabang tujuh lalu 
berkata : "Ini kawasan manusia, dan kau telah pulang ke tempat asalmu."
Datuk pun mencari arah, dia mula masuk tadi. Dia duduk di situ lebih 
kurang setengah jam. Kemudianbaru kawan‐kawannya pulang. Semua binatang 
buruan di masukkan ke dalam bonet kereta Ford Anglia kepunyaan datuk. 
Dalam perjalanan pulang datuk dan kawan‐kawannya singgah di pekan 
Pengkalan Bharu. Mereka makan dan minum kopi disebuah warung dekat 
surau. Cara kebetulan pula tuan punya warung itu adalah kenalan datuk 
yang sama‐sama satu datang dari Aceh. Datuk pun menceritakan tentang 
peristiwa yang dialaminya. Menurut tuan punya warung itu, setiap pemburu
 yang berjumpa dengan rusa yang berjumlah tujuh, selalunya cukup sulit 
untuk keluar dari kawasan hutan, kalau keluar pun dia tidak akan sihat 
atau separuh gila.
"Biasanya bila meraka sampai ke rumah, mereka terus sakit dan meninggal,
 masa sakit itulah mereka tidak tentu arah, kalau silap dilayan atau 
tidak berjumpa dengan dukun yang handal penyakit itu akan berjangkit 
pada si anak, biasanya sakit suka pada anak bongsu." Terang tuan punya 
warung itu pada datuk. Datuk terdiam kemudian datuk mengajak tuan punya 
warung itu ke tepi sungai. Datuk minta tuan punya warung itu 
memandikannya dengan air yang bercampur dengan daun tujuh jenis, untuk 
mengelakkan badi rusa itu mengikut datuk balik ke rumah.
Walau bagaimanapun, datuk terhindar dari serangan sebarang penyakit. 
Malah, kegemarannya untuk memburu bertambah giat dan hebat. Asal 
terdengar saja padanya ada kawasan terdapat landak, kancil atau kijang, 
datuk tidak akan melepaskan peluang untuk memburu. Kalau tidak dapat 
waktu siang, dia akan pergi waktu malam. Memburu adalah suatu kerja yang
 amat dicintai oleh datuk. 
Kalau sudah tiba masanya datuk untuk berburu. Jangan siapa cuba 
menghalang. Dia tidak peduli. Kalau dilarang juga datuk naik darah. 
Selalu jadi korban kemarahan datuk ialah nenek saya yang tidak 
bergitu senang dengan sikap datuk itu. Selain dari berburu datuk cukup 
rajin berlajar ilmu‐ilmu kebatinan. Datuk pernah bertapa di Gua Ulu 
Licin tujuh hari tujuh malam tanpa makan sebiji nasi, tapi tubuh datuk 
tidak
susut.
Kalau ada dukun ilmu batin mengubat orang cara kebatinan, datuk tidak 
segan‐segan berkawan dan mencuri ilmu dari dukun itu. Anehnya, datuk 
tidak berhajat untuk menjadi seorang dukun. "Semua yang dicari hanya 
sekadar untuk pelindung diri," kata datuk...
 
 
No comments:
Post a Comment