Misteri Sumpahan Pelesit Turun Temurun
Mungkin ada di antara kita pernah mendnegar tentang pelesit. Pelesit merupakan makhluk halus yang dibela oleh seseorang tujuan untuk menganggu musuhnya. Biarpun pelesit ini tidak sepopular makhluk yang lain, ia tetap bahaya kerana dianggap saka yang mempunyai tuan. Kisah di bawah ini tentang seorang wanita yang dirasuk sehingga hampir-hampir dirinya bercerai dengan suaminya. Semoga menjadi iktibar buat kita semua.
Sehingga
pukul 10 malam, Simah isteri Meon masih mengerang-ngerang sakit kepala.
Pada mulanya saya menyangkakan dia pening kepala biasa saja, mungkin
disebabkan hawa panas. Tetapi akhirnya Meon memberitahu Simah akan
diserang sakit kepala setiap kali saya datang ke situ. Bagaimanapun
sakit kepalanya itu akan beransur hilang bila saya meninggalkan
rumahnya. Sebenarnya Simah memang selalu diserang sakit kepala, cuma
sakitnya bertambah berat kalau saya datang menemui Meon. Setelah lima
tahun berkahwin dengan Meon rumahtangga mereka tidak begitu tenteram.
Simah sentiasa merasa tidak tenteram dengan sikap Meon.
Tetapi
mengapa dia merasa tidak senang dengan Meon, dia sendiri tidak tahu.
Mujurlah Meon dapat bersabar dengan perangai Simah. Kalaulah tidak
bersabar memang sudah lama rumahtangga mereka runtuh. Meon dapat
memikirkan tentulah ada masalah lain menyebabkan Simah berperangai benci
saja melihat Meon. Bila hatinya senang Simah tetap menunjukkan kasih
sayangnya terhadap Meon. Sebab itulah Meon dapat memahami bahawa Simah
memang ada gangguan lain menyebabkan dia berperangai sentiasa benci saja
melihat dia apabila tiba masa hatinya tidak tenang. Memang Meon
berhajat untuk membawa isterinya menemui Ulung Bahar. Jadi, kedatangan
saya ke rumah Meon pun, memang ada kaitannya dengan cadangan Meon untuk
membawa Simah berubat kepada Ulung Bahar.
“Dah
lama ke Simah sakit macam ni?” tanya saya bila Simah semakin kuat
mengerang-ngerang sebaik saja saya masuk ke biliknya. “Sejak saya kahwin
memang inilah sakit idapannya” ujar Meon lemah. “Sabar sungguh awak,
Meon…” kata saya. Meon terdiam. Terkejut juga dia bila saya kata
demikian. Pada anggapannya saya mengatakan sabar disebabkan dia boleh
bertahan demikian lama dengan Simah. Saya dapat menangkap akan perasaan
Meon bila saya memberitahu demikian tadi. Oleh itu cepat-cepat saya
menyambung, “Maksudnya, kau tak bawa Simah berubat. Lama sangat kau
bersabar membiarkan Simah macam ni…” jelas saya supaya Meon tidak
terkeliru dengan kata-kata saya itu. “Inilah saya nak bawa jumpa Ulung
Bahar nanti” keluh Meon memerhati isterinya mengerang-ngerang sakit
kepala.
Simah
isteri Meon ini berasal dari Air Tawar, Perak. Sejak berkahwin dengan
Meon lima tahun dulu jarang mereka balik ke kampung Meon, di Temerloh.
Lagi pun memang Meon tidak menyangka Simah mengidap penyakit demikian,
sebab itulah dia tidak cepat-cepat membawa bertemu Ulung Bahar. Baru
kebelakangan inilah Meon menyedari Simah sebenarnya sakit. Kadangkala
bila sakit kepalanya menyerang dia akan memaki hamun Meon. Mula -mula
dulu terkejut juga Meon sampai hampir-hampir dia menceraikan Simah.
Apabila Simah pulih semula, dia sendiri tidak tahu apa yang telah
dicakapkannya kepada Meon. Kebetulan saya berhajat mahu bertemu dengan
Ulung Bahar, maka Meon bercadang membawa Simah berubat sekali dengan
Ulung Bahar.
“Cubalah
ustaz tengokkan dulu…” kata Meon semakin rusuh melihat isterinya
mengerang-ngerang sakit kepala. “Sakit kepala lain ni Meon” jelas saya
merasakan bulu roma saya meremang seram sejuk. “Kalau dia melawan tak
terkawal dek kita. Cubalah kau telefon adik kau di Datuk Keramat suruh
dia datang. Kalau ramai nanti panjang juga ikhtiar kita…” saya
menyuruhnya menelefon adiknya Jamlus di Datuk Keramat. Saya tahu Meon
mempunyai adik di Kuala Lumpur tinggal di Datuk Keramat. Sudah dua tiga
kali kami bertemu di rumah Meon itu. Kalau ada saudara mara Meon tidak
segan jugalah saya mahu mencuba mengetahui punca penyakitnya.
Cepat-cepat Meon menelefon Jamlus adiknya. Di samping itu dia juga
memanggil jirannya. Dalam keadaan demikian masing-masing kelam kabut
juga melihat keadaan isteri Meon sambil menuduhnya mati pucuk kerana
sudah lima tahun berkahwin masih belum mendapat anak.
Bagi
Meon maki hamun demikian sudah perkara biasa kepadanya. Dia tidak
tersinggung kalau Simah bercakap demikian. Tetapi bagi jiran-jiran yang
baru datang menjengah terkejut juga dia mendengar kata-kata Simah itu.
Tidak lama kemudian kira-kira jam 11.30 Jamlus datang bersama isterinya.
Terkejut juga dia apabila Meon menelefon fasal Simah sakit. Tentulah
sakit Simah berat menyebabkan abangnya menelefon dia suruh datang
segera. “Kita bawa hospital aje…” kata Jamlus sebaik saja melihat kakak
iparnya mengerang-ngerang kesakitan. “Boleh jadi migraine. Elok cepat
kita bawa ke hospital” gesanya tidak sabar lagi melihat Simah
menggelepar di atas katil. “Sabar dulu…” sahut Meon menahan kerusuhan
hatinya. Jiran-jiran yang lain juga mendesak supaya Simah dibawa ke
hospital memandangkan keadaannya menggelepar seperti ayam kena sembelih.
Saya masih berfikir apakah cara yang harus dilakukan dengan keadaan
yang demikian. Keadaan demikian begini bukanlah baru kali pertama saya
tempuhi, sebab itu saya tidak tergopoh-gopoh sangat melihat keadaan
Simah itu.
“Kak
Simah ni kena migraine agaknya. Jangan sabar-sabar lagi, bawa aje ke
hospital” desak Jamlus lagi. Tetapi Meon yakin Simah bukan dihinggapi
sakit migraine. Kalaulah Simah kena sakit migraine masakan dia akan
memaki hamunnya. Menuduh dirinya yang bukan-bukan. Sehingga Simah
tergamak mengatakan dia mati pucuk kerana tidak mendapat seorang anak
pun setelah lima tahun berkahwin. Mujurlah dia dapat menahan sabar
apabila dituduh demikian. Memang dia sedar Simah sakit, tetapi tidak
dapat mempastikan sakit sebenarnya. Setelah ada ura-ura saya mahu
menemui Ulung Bahar, barulah dia bercadang mahu mencuba membawa Simah
berubat pada Ulung Bahar.
“Ada
dukun di sini yang boleh kita cuba?” saya bertanya pada Meon. Meon
menggeleng kepala tidak tahu. Memang dia tidak tahu siapakah dukun di
kawasan perumahan itu. Maklumlah masing-masing sibuk dengan tugas
harian, kadang-kadang jiran sebelah rumah pun tidak kenal. Inikan pula
mahu tahu mengenai siapa menjadi dukun di situ. “Kita cari di Sungai
Pusu…” seorang jiran memberitahu. “Boleh juga kita panggil dukun tu”
kata saya berpaling pada jiran yang memberitahu itu. “Saya tak tau
rumahnya” sahut dia serba salah. “Tetapi saya dengar dia duduk di Sungai
Pusu. Kalau kena penyakit macam ni, selalunya orang panggil dia” jelas
jiran itu lagi. “Kalau tak tau rumah macam mana nak cari malam-malam
ni…” keluh Jamlus pula. Kata-kata Jamlus itu benar juga. Sekiranya hari
siang boleh juga bertanya pada siapa-siapa yang melintas di situ. Tetapi
bila hari malam masakan mahu mengetuk rumah orang mencari dukun
tersebut.
“Ah,
Sungai Pusu tu bukannya besar sangat” seorang lagi jiran mencelah.
“Mari kita ke sana, kita carilah sampai dapat…” ujarnya mengajak Jamlus
mencari dukun berkenaan di Sungai Pusu. Setelah Jamlus dan jiran itu
pergi, keadaan Simah masih juga tidak berubah. Dia menggelepar ke kiri
ke kanan sambil mengerang sakit kepala. Jiran-jiran yang datang
menziarah tadi tidak keruan dengan keadaan tersebut. “Sebelum dukun tu
sampai, ustazlah cuba-cuba dulu…” Meon menepuk bahu saya. Saya tahu Meon
memang ikhlas meminta saya mendoakan supaya isterinya sembuh. Dalam
masa setahun dia mengenali saya, memang dia sudah mengagak mestilah ada
sebab mengapa saya berhajat sangat mahu menemui Ulung Bahar. Selalu juga
dia bila terasa sakit gigi mengusik-ngusik suruh saya ubatkan. Tetapi
tidak pernah saya penuhi permintaannya. Kalau dia mendesak juga saya
suruh dia ke klinik gigi.
Bagaimanapun
Meon tidak pernah berkecil hati kalau saya bersikap demikian. Pernah
juga dia meminta saya doakan supaya tidak basah terkena hujan, saya
beritahu dia doa supaya tidak basah terkena hujan pakailah payung. Semua
ini adalah usik mengusik saja. Dia hanya mahu berolok-olok dengan saya,
seperti juga dia pernah berolok-olok dengan Ulung Bahar. Tetapi kali
ini saya sedar Meon bukanlah berolok-olok. Dia meminta dengan ikhlas.
Saya menjadi serba salah dengan permintaan Meon, di samping keadaan
Simah yang semakin membimbangkan. Dalam ingatan saya sudah tergambar
mungkin ada benda lain yang mengganggu menyebabkan Simah cepat diserang
penyakitnya apabila saya berada di rumah itu.
Hingga
pukul 12.00 malam dukun dari Sungai Pusu yang dijemput oleh Jamlus
masih belum datang. Jamlus juga tidak nampak muka hidung. Memandangkan
keadaan Simah menggelepar-gelepar menahan sakit di kepalanya, saya pun
meminta izin dari Meon untuk memegang kepala Simah. Kira-kira dua minit
saya memegang kepalanya, tiba-tiba Simah bingkas bangun lalu meludah
saya. “Kau yang tukang kacau, laknat!” bentak Simah macam mahu menerkam
ke arah saya. “Buat apa kau datang selalu ke sini, kau nak nikah dengan
aku ke?” dia ketawa mengilai. “Kau harus sabar Meon…” bisik saya
perlahan. “Yang bercakap ni bukan Simah lagi, yang lain bercakap ni”
kata saya menerangkan pada Meon. “Saya tahu ustaz” jelas Meon merapati
saya. “Buatlah macam mana pun, memang saya tahu, fasal saya selalu ikut
Ulung Bahar” ujarnya. Simah terus berdiri dengan tangannya mahu
mencengkam leher saya. Cepat-cepat Meon memegang pinggangnya membawa
rebah semula ke katil.
“Meon,
kau jangan jadi bodoh!” Simah meronta-ronta mahu melepaskan diri dari
Meon. “Inilah jantannya yang menggoda aku. Dia nak nikah dengan aku,
tapi aku tak mau. Aku sayangkan kau Meon” dia merintih-rintih bagaikan
merayu. “Siapa hendakkan kau, aku pun tak mau” bentak Meon. “Kau tak
mahu pada aku?” mata Simah terjengil memerhati Meon. “Aku tak mau..!”
sahut Meon keras. “Sekarang ceraikan aku…” Simah juga bersuara keras.
“Berambuslah kau” kata Meon. “Lepaskan aku…!” Simah meronta-ronta sekuat
tenaga. “Lepaskan aku, biar aku berambus” dia membentak-bentak sambil
menumbuk dada Meon. “Kalau kau nak berambus, berambuslah” jerkah Meon
semakin kuat memaut pinggang Simah. “Tapi, tinggalkan Simah tau!”
katanya memahami apa sebenarnya berlaku di sebalik keadaan Simah
demikian. “Kau gila, aku ni bukankah Simah” dia tertawa mengejek. “Aku
tau kau setan!” bentak Meon.
Dari
cara Meon bercakap itu memang saya tahu dia juga menyedari akan
penyakit isterinya. Tetapi selama ini dia sengaja merahsiakan dari
pengetahuan saya. Dia bimbang kalau saya mengetahuinya, nanti akan
menyusahkan saya pula. Memang Meon tahu akan gangguan syaitan tersebut.
Tetapi apakah jenis gangguannya tidaklah diketahui. “Sekejap lagi dukun
Sungai Pusu datang, kau rasa nanti!” Meon cuba mengugut. “Ah, bapak
dukun Sungai Pusu aku tak takut” balas Simah termengah-mengah mahu
melepaskan diri dari Meon. Beberapa orang jiran wanita juga turut sama
membantu memegangkan kakinya. “Dukun Sungai Pusu tu takut pada aku,
takkan dia berani datang…!” dia tertawa macam menyindir Meon. “Diam…!”
herdik saya merenung muka Simah. Ketika ini saya tidak nampak Simah lagi
meronta-ronta di atas katil. Saya berada jauh dari rumah Meon di Gombak
di sebuah bukit dekat Air Tawar di Perak. “Diam, kata aku. Sekarang kau
datang ke sini, supaya aku bakar kau dengan Ayatul Kursi…!” saya terus
membaca Ayatul Kursi sebanyak 17 kali.
Selesai
saja saya membaca Ayatul Kursi wajah Simah bertukar menjadi seorang
perempuan tua kurus dengan rambut menggerbang putih. Perempuan tua itu
mengilai ketawa mengejek-ngejek saya. Dia merenung saya bagaikan mahu
menerkam, tetapi tidak dapat mara. “Jangan nak sembunyi lagi!” suara
saya semakin keras. “Ah, merepeklah kau. Jangan cuba nak goda aku…”
perempuan tua itu terkekeh-kekeh ketawa. “Aku ni bini Meon, buat apa kau
goda. Mentang-mentang Meon mati pucuk, kau fikir aku mudah tergoda
dengan kau” dia cuba menyakitkan hati Meon yang mendengarnya. “Kau fikir
Meon bodoh” sahut saya sambil memerhatikan gerak gerinya yang mencari
tipu helah. “Kau dah tua, Meon tengok pun tak ada nafsu” saya pula
menyakitkan hatinya. Dia menjadi marah bila saya katakan dirinya sudah
tua. Dia tetap mengaku dirinya Simah, walaupun saya sudah melihat akan
rupa asalnya. “Jangan kau nak berdusta!” saya membaca Ayat Yassin dan
menghembuskan ke arahnya. Angin kencang bertiup menyebabkan dia
melayang-layang tidak jejak ke bumi. “Aku tau kau perempuan tua simpan
pelesit, tubuh kau kurus, rambut menggerbang putih macam pontianak,
siapa pun tengok tak naik nafsu” kata saya lagi.
Dia
bertambah marah bila saya sudah mengetahui dirinya yang sebenar. Pada
sangkaannya saya hanya melihat Simah terbaring meronta-ronta menggelepar
di atas katil. Barulah disedarinya saya sudah melihat dirinya yang
sebenar dari kawasan hutan terbiar di sebuah bukit di kampung Simah.
Bila diketahuinya dirinya sudah dapat dikesan, dia terpaksa menentang
habis-habisan. Perempuan tua itu mengeluarkan botol kecil dari ikatan
pinggangnya, lalu mengeluarkan seekor belalang. “Anak aku ini akan
mengajar kau…!” gerutunya lalu melepaskan belalang tersebut. Seekor
belalang sebesar pohon kelapa menerpa ke arah saya. Cepat-cepat saya
melompat ke atas belalang tersebut. Saya menyebut Allahu Akhbar tiga
kali menyebabkan belalang itu kembali menjadi kecil dan jatuh ke dalam
genggaman saya. Perlahan-lahan saya memulas kepala belalang itu dengan
membacakan Ayatul Kursi 33 kali. Ketika ini perempuan tua itu
terjerit-jerit memegang tengkuknya menahan kesakitan. Dia terkial-kial
merebahkan badan ke bumi mahu melawan balik. Apabila saya pulaskan
kepala belalang itu sampai putus, tubuh perempuan itu bertukar menjadi
belalang lalu terbang berligar-ligar di kepala saya mahu menyerang.
Bagaimanapun
dia tidak dapat menghampiri saya. Kemudian saya membaca lanarjumannakum
dari Surah Yassin menyebabkan dia terpelanting ke tanah. Berpuluh-puluh
panah api datang menerjah ke tubuhnya. Dia menggeliat menahan panahan
api itu, tetapi masih bertahan tidak mahu mengalah. Apabila tidak tahan
dengan panahan api, belalang berkenaan berkepul-kepul menjadi asap hitam
lalu membentuk satu lembaga manusia. Lama kelamaan dia menjelma di
depan saya. Dia lelaki tua bertubuh kurus memakai pakaian serba hitam.
Mukanya cengkung berkedut-kedut macam kulit gajah. “Aku sayang pada
Simah ni…” ujar lelaki bertubuh kurus itu. “Aku nak nikah dengan dia,
kenapa awak tak bagi?” suaranya lemah bagaikan meminta belas kesihan.
“Simah mahukah pada awak?” tanya saya. “Ada masa dia mau, ada masa tak
mau…” beritahunya perlahan berketar-ketar. “Apa fasal dia tak mau?” saya
mengujinya. “Dia kata saya mati pucuk…” ujarnya serba salah. “Simah dah
nikah dengan Meon” jerkah saya memberi amaran. “Kenapa awak ganggu dia
lagi?” tanya saya keras sambil mengejeknya. “Saya cintakan dia” jelasnya
menangis tersedu-sedu. “Buruk sangat rupa awak orang tua menangis…”
sindir saya.
Dalam
masa saya berkata-kata dengan lelaki tua itu, tiba-tiba perempuan tua
bertubuh kurus itu menjelma semula. Dia terlalu marah kerana lelaki itu
cuba berbaik-baik dengan saya. “Dia inilah yang selalu kacau kita…!”
kata perempuan tua menjelirkan lidah kepada saya. Saya mendiamkan diri.
Saya mahu lihat sejauh mana tindakan seterusnya dari mereka berdua.
Tetapi mereka berdua tidak menyerang saya. Cuma perempuan tua itu saja
menyindir untuk menyakitkan hati, sementara lelaki tua itu seolah-olah
dalam ketakutan. “Dia nak pisahkan kita!” ujar perempuan tua itu lagi.
“Kalau dia datang dekat, aku rasa tubuh aku terbakar. Sebab itu kita
mesti jauhkan dia dari berkawan dengan Meon. Aku tak tau apa ilmu yang
dia pakai” perempuan tua itu menangis teresak-esak sambil
menggeliat-geliat seperti menanggung bahang kepanasan. Lelaki itu tetap
mendiamkan diri. Dia mengusap-ngusap rambut yang menggerbang putih.
Sekali sekala saya nampak muka perempuan tua itu berubah menjadi Simah.
Tetapi apabila saya hembuskan ayat Hazihi jahannamullati kuntum tu
‘adun, wajah tersebut tidak jadi bertukar.
Dari
situ dapatlah saya fahamkan bahawa memanglah sukar mahu mengubati
Simah, kerana gangguan yang datang itu bukanlah datangnya dari luar.
Gangguan ini datang dari keluarganya turun temurun yang pernah menyimpan
pelesit. Apabila pelesit itu sudah tidak bertuan, maka dia mencari
keturunan tuannya sebagai sumpahan untuk mencari naungan. Simah yang
tidak tahu apa-apa tidaklah mahu menerima kedatangan pelesit yang
berasal dari datuk nenek moyangnya dulu. Inilah yang selalu mengganggu
dia kerana dirinya sudah terpisah jauh dari pelesit tersebut, sedangkan
pelesit berkenaan cuba mendekatkan dirinya. Sebab itulah pelesit
berkenaan menjadi seperti orang yang diganggu oleh api bila berdekatan
dengan orang-orang yang mengamalkan membaca Suratul Kursi setiap hari.
Mungkin Simah sendiri tidak tahu tentang asal usul datuk nenek moyangnya
dulu ada memelihara pelesit.
“Jauhkan
dia dari sini” rayu perempuan tua itu kepada lelaki tua yang berdiri di
sampingnya. Lelaki tua itu menghentakkan kakinya ke tanah tiga kali.
Kemudian beribu-ribu belalang menerpa ke arah saya. Sebaik saja
belalang-belalang itu mahu menerpa saya hembuskan Fatihah, menyebabkan
semuanya gugur ke bumi seperti dibakar api. Terasa saya seakan-akan
lemas akibat bau hangit belalang terbakar. Merah padam muka lelaki
tersebut melihat semua belalangnya habis terbakar. Semua belalang yang
jatuh itu tengkuknya terpatah dan keluarlah seulas nasi dan sehelai
rambut dari tengkuk terpatah itu. “Aku datang mencari anak cucu aku…”
lelaki tua itu bersuara keras. “Tak patut awak putuskan hubungan kasih
sayang kami” katanya kesal dengan sikap saya menghalang tindakan dia.
“Simah tak perlukan awak lagi” sahut saya membentak. “Dia perlukan Meon,
biar Meon yang jaga dia. Awak tak perlu jaga dia” ujar saya
memarahinya.
Ketika
saya menyahut kata-katanya dia menyimbahkan air ke atas bangkai-bangkai
belalang tadi. Sekaligus bangkai-bangkai terbakar itu menjadi kepulan
asap hitam yang berjurai-jurai seperti rambut. Juraian rambut menyerkup
ke kepala saya menyebabkan pandangan saya gelap tidak kelihatan apa-apa
lagi. Namun saya tetap bertenang menghadapi tekanan-tekanan seperti ini.
Semua yang saya hadapi itu adalah tipu daya syaitan belaka. Beberapa
ketika saya terperangkap dalam juraian rambut itu, hingga hampir-hampir
meliliti seluruh tubuh saya. Lalu saya bacakan Surah Waddhuha sepuluh
kali. Tiba-tiba juraian rambut itu melayang ditiup angin. Lelaki tua itu
semakin marah kerana rambut yang menyerungkup ke kepala saya tadi
diterbangkan angin. Itulah pertama kali serangannya sampai ke tubuh
saya. Memang kesilapan telah saya lakukan membiarkan dia menyerang
sambil melayani dia bercakap.
Tok
Aji pernah mengingatkan saya supaya tidak melayani syaitan apabila
berhadapan dengannya. Kalau menentang syaitan mestilah digempur sampai
mereka kalah. Sekiranya kita melayaninya, sudah tentulah kita termasuk
ke dalam perangkap tipu dayanya untuk melalaikan kita. Setelah
teringatkan Tok Aji, saya pun menguatkan zikir saya. Saya membaca
beberapa ayat yang diajarkan oleh Tok Aji. Ketika ini seluruh kawasan
itu bergoncang kuat seperti gempa disambut oleh petir serta kilat. Orang
tua lelaki dan perempuan itu berlari-lari mahu menyelamatkan diri.
Batu-batu dari atas bukit juga gugur melayang menerjah ke arahnya.
Mereka berdua menjadi panik dengan gempa yang datang secara tiba-tiba.
Saya tetap berdiri di tengah-tengah gempa itu memerhatikan mereka berdua
berlari ke hujung ke pangkal mencari tempat selamat. Tetapi ke mana
saja mereka berlindung petir dan kilat menyambar. Mereka terpelanting
apabila disambar kilat dan petir bertalu-talu. Termengah-mengah mereka
mencari tempat perlindungan. Akhirnya mereka lesap di dalam kepulan asap
di tengah-tengah dentuman petir serta kilat menyambar. Setelah mereka
berdua hilang saya memberhentikan bacaan. Lama saya menunggu di situ,
namun dia tidak muncul-muncul lagi.
Saya
rasa buat sementara itu dia tidak akan datang lagi mengganggu.
Bagaimanapun mereka tetap akan berusaha untuk meneruskan cita-citanya
untuk bernaung kepada Simah. Hal inilah yang mahu saya beritahu pada
Meon, supaya dia sendiri mesti mempunyai persediaan menghadapi
kemungkinan tersebut. Setelah yakin mereka tidak akan mengganggu lagi,
saya meninggalkan kawasan hutan di pinggir bukit itu, dan kembali
berdiri di dalam diri. Apabila saya membuka mata, saya dapati Simah
sudah pulih semula. Tetapi keadaannya masih letih lagi. Rupanya ketika
saya menghadapi suasana sengit tadi, Jamlus dan rakan yang pergi
menjemput dukun ke Sungai Pusu sudah balik. Mereka berdua hampa kerana
dukun berkenaan sudah pun dijemput oleh orang di Damansara. Sehingga
hampir pukul 2.00 pagi mereka menunggu, dukun itu tidak juga balik.
Akhirnya terpaksalah mereka mengambil keputusan balik semula ke rumah
Meon.
Jamlus
bertanyakan kepada saya siapakah yang melakukan gangguan itu. Saya
hanya tersenyum dengan soalan demikian. Selalunya begitulah pertanyaan
yang diterima apabila menghadapi masalah demikian. Sepatutnya mereka
bersyukur kerana dapat menjauhkan diri dari gangguan syaitan. Siapa yang
membuat gangguan itu tidak harus difikirkan lagi. Apabila saya tanyakan
kepada Simah, sama ada terdapat di kalangan keluarganya di masa lalu
yang menjadi dukun atau bomoh, Simah memberitahu ayah kepada moyangnya
dulu memang dukun terkenal. Tetapi selepas peringkat moyangnya, dia
tidak lagi mahu menjadi dukun hinggalah sampai kepada beberapa keturunan
seterusnya. “Saya sedar apa yang berlaku ke atas diri saya” ujar Simah
dalam keletihan. “Tetapi saya tak dapat nak mengawal diri, macam ada
kuasa lain yang mengawal saya..” jelasnya bila mengingatkan peristiwa
sebentar tadi.
Memang
saya akui cerita Simah itu. Memang mereka yang menerima gangguan ini
sedar apa yang sedang berlaku. Tetapi mereka tidak dapat mengawal
dirinya sama ada bercakap atau bertindak. Kejadian demikian memang aneh,
tetapi itulah hakikat yang sebenarnya. Apabila saya menerangkan kepada
Simah mengenai belalang pelesit, dia teringat aruah neneknya pernah
memberitahu tentang keluarganya dari keturunan dulu memang memelihara
pelesit. Semasa Tok Bani meninggal dunia dia tidak sempat menurunkan
pelesit peliharaannya itu kepada anak cucunya. Maka pelesitnya itu
sentiasalah mencari anak cucu Tok Bani untuk tempat bernaung. Apabila
pelesit itu tidak dapat bernaung maka anak cucu Tok Bani pun menjadi
mangsa. Adik nenek Simah itu pernah menjadi lumpuh dengan tidak
bersebab. Penyakit lumpuhnya itulah yang membawa maut kepadanya. Selepas
dia meninggal dunia akibat lumpuh, seorang lagi keluarganya mati
muntah-muntah darah seperti termakan racun. Hingga sampailah kepada bapa
saudara Simah bernama Jana, dengan tidak semena-mena diserang penyakit
lemah tenaga batin hingga menyebabkan dia menjadi tidak siuman. Ketika
mengubat Jana inilah Dukun Busu mendapat tahu tentang Tok Bani menyimpan
pelesit. Dukun Busu mencari punca-punca Jana hilang tenaga batin hingga
menjadikan dia tidak siuman. Dia mendapati pelesit Tok Bani yang sudah
tidak bertuan itu mencari perlindungan kepada Jana. Disebabkan Jana
tidak tahu bagaimana mahu memeliharanya, maka pelesit itu telah memakan
tuan sendiri.
Sumber.
No comments:
Post a Comment