3 Orang Bangla Jumpa Pocong Tepi Semak
ALOR GAJAH: Penemuan sekujur ‘mayat’ berbalut kain putih yang terdampar di tepi semak berdekatan jalan di Paya Mengkuang-Kuala Sungai Baru, di sini, mencetuskan suasana gempar terutama bagi tiga sahabat yang sedang memotong rumput di kawasan berkenaan, semalam.
Kejadian disedari jam 11.45 pagi oleh warga Bangladesh dikenali sebagai Mohd Rufiq, 20, bersama dua lagi rakan senegaranya yang sedang berehat di bawah pokok, 10 meter dari tempat kejadian.
Menurut Rufiq, dia yang terkejut melihat bungkusan kain putih berupa ‘pocong’ itu pada awalnya menyangka ia mayat dikafankan dan dibuang ke dalam sungai oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Saya menghampiri bungkusan putih yang kelihatan berdarah dan masih baru dan tidak lama kemudian seorang penyelia sebuah ladang berhampiran tiba di tempat ‘mayat’ itu ditemui,” katanya.
Dia berkata, curiga dengan bungkusan putih itu, mereka menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
“Pada mulanya, saya mahu membuka ikatan bungkusan itu, tetapi membatalkan niat berkenaan kerana mendapati ada beberapa tompokan seperti darah,” katanya.
Kata Rufiq, dia lega apabila hasil pemeriksaan polis mendapati bungkusan putih itu bukan mayat manusia.
“Bungkusan yang diikat kemas itu turut mengandungi bunga-bungaan serta limau nipis yang dipotong dan dibalut dalam sehelai kain batik serta diikat menyerupai mayat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pegawai Syarak negeri, Datuk Abu Khir Jamaluddin ketika dihubungi berkata, ia satu amalan syirik yang masih diguna pakai pihak tertentu.
“Segelintir penganut agama di negara ini berpendapat ia satu ritual menghalau hantu dan membuang sial yang lebih sinonim di kalangan masyarakat Melayu,” katanya.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
Ulasan admin : Sebagai umat Islam kita sangat dilarang untuk mempercayai amalan karut dan khurafat yang dinyatakan di atas kerana hukumnya adalah berdosa besar.Kemungkinan besar iman seseorang akn pudar jika terus-menerus mengamalkan amalan di atas.
Sumber
No comments:
Post a Comment