Dato',
ada suatu ilmu yang dipanggil pelalau, iaitu ilmu yang digunakan atas
seseorang untuk menghalang dari bertemu jodoh. Dilakukan ini
kadang-kadang ke atas seorang perempuan sehingga tidak bertemu jodoh
atau pun ke atas lelaki. Bolehkah dan benarkan adanya ilmu ini? Mampukah
manusia melakukannya? Apakah hukumnya mempercayai perkara sebegini?
DATO DR HARON DIN MENJAWAB
Jawapan
Jodoh pertemuan, hidup mati, bertemu dan berpisah
termasuk dalam Qada' dan Qadar Allah S.W.T. Insan hanya mampu berusaha
dan Allah akan menentukan segala-galanya.
Memang berlaku dalam
masyarakat Islam, khasnya Melayu, ada beberapa kejadian di mana orang
perempuan sukar hendak bertemu jodoh atau bertemu pasangan yang
berakhir dengan perkahwinan.
Ada yang langsung tidak pernah
bertemu. Ada yang bertemu, berkawan, berbaik-baik tetapi bila sampai
hendak berkelamin, ada sahaja halangan.
Inilah kejadian yang
diistilahkan dengan ilmu pelalau. Saya khusus saya tidak mengetahui ilmu
ini, tetapi itulah yang disebut ramai sebagai pelalau.
Memang
berlaku dalam masyarakat kita, ada orang perempuan yang tiada sebarang
cacat cela akhlak serta tubuh badannya, akhlaknya, tetapi ada orang
yang menghampirinya. Hal sedemikian memang berlaku.
Tambahan pula akhir-akhir ini disebutkan bilangan orang lelaki dan perempuan yang sudah berusia tidak berkahwin, begitu ramai.
Pada
saya perkahwinan adalah rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
Ianya rezeki, kadang-kadang ada orang rezekinya murah, usaha sedikit
tetapi mendapat pulangan yang lumayan, ada orang usahanya banyak,
pulangan sedikit dan ada orang yang usahanya begitu banyak, tiada
apa-apa pulangan, sebaliknya mengalami kerugian.
Itu adalah
sebagai satu contoh, bagi seorang perempuan atau lelaki yang
mendapatkan suami atau isteri, perlulah dia berusaha untuk
mendapatkannya. Bagaimana pun usaha itu perlu mendapat kesesuaian
keadaan masing-masing.
Walaupun pada asasnya perempuan menanti
pinangan, manakala lelaki perlu mencari bakal isteri. Tetapi jangan
lupa dalam Islam, perkahwinan agung yang berlaku kepada Junjungan Besar
Nabi Muhammad s.a.w dengan Khadijah bt Khuwailid.
Ia dimulakan
oleh Khadijah sendiri, menghantar utusannya pada Muhammad pada ketika
itu, Ummu Kalsum, dan berlakulah rundingan yang ikhlas seolah-olahnya
Khadijah meminang Muhammad, pinangan diterima, maka berlakulah
perkahwinan.
Ini bererti, Khadijah memulakan suatu usaha
walaupun beliau berumur 40 tahun dan Muhammad bin Abdullah berusia 25
tahun. Jika dicongak pada akalnya, barangkali sukar untuk ditemukan
jodoh antara seorang perempuan yang 15 tahun lebih tua dari lelaki,
dari hasil usaha dari perempuan sendiri.
Inilah rezeki yang
menemukan jodoh mereka, menjadikan mereka sebuah keluarga yang aman
damai serta bahagia hingga ke akhir hayat Khadijah.
Demikian
hari ini, rezeki untuk mendapatkan seorang teman hidup, perempuan
inginkan mendapat seorang lelaki yang bertanggungjawab membahagiakannya,
tidak selama-lamanya datang bergolek. Maka perlu berusaha.
Usaha itulah yang menentukan kadang-kadang cepat berjaya, kadang-kadang tidak.
Ada
pun satu kemungkinan yang boleh berlaku dalam masyarakat, seorang
perempuan yang cantik, kaya, keturunan, akhlak dan agamanya baik,
mungkin telah dilamar seorang yang sepadan dengannya tetapi ditolak.
Kadang-kadang
penolakan dibuat dengan kata-kata yang menyebabkan si peminang berasa
terhina. Atau ditolak dengan alasan yang dibuat-buat, atau tidak boleh
menerima lamaran kerana ingin menyambung pelajaran, atau kerana sudah
dimiliki orang lain sedangkan semuanya itu tidak benar.
Mungkin
orang yang ditolak pinangannya itu berasa amat berkecil hati dan berasa
terhina, barangkali ada sebutan yang menjatuhkan maruahnya.
Jika
dia dizalimi, sebagai orang yang kena hina, maka dia berdoa kepada
Allah SWT agar Allah bertindak balas kerana penghinaan yang dilakukan,
maka mungkin doa itu dimakbulkan.
Ada hadis yang menyebutkan,
"Takutlah kamu kepada doa orang kerana zalim, kerana doa orang yang kena
zalim ini, tiada sekatan di antaranya dengan Allah SWT."
Takut
orang itu merasakan perempuan yang diinginkan, telah melukakan
hatinya, diminta Allah supaya jangan memberikan hingga akhir atau atau
biarkan perempuan itu menemui jodoh dalam usia yang lanjut. Itulah yang
mungkin berlaku sebagai doa.
Apa yang dinamakan pelalau, mungkin wujud ada dalam bentuk
sihir, persoalan sihir ini, pernah saya jawab dalam siri-siri
terdahulu.
Ada sihir pengasih dipanggil attiwalah, ada yang lain disebut sihir pembenci yang lebih hampir kepada pelalau.
Dalam Surah al-Baqarah, disebutkan bahawa, sihir diusahakan
sehingga ia dapat memecahkan antara suami dengan isteri. Tidak berlaku
perpecahan dan perceraian melainkan berlakunya benci membenci.
Jika
ini berlaku (sihir pembenci), ia akan menyebabkan orang melihat
seseorang itu, ia tidak mengundang kebaikan kepada hati, tetapi
mengundang kebencian kepada hati. Inilah yang dinamakan pelalau.
Sama
ada akidah kita rosak atau tidak, ia bergantung kepada pegangan kita.
Jika kita kuat berpegang kepada aqidah, kita meyakini bahawa apa sahaja
yang berlaku atas takdir dan kehendak Allah Yang Maha Mengkehendaki.
Jika
Allah SWT mengkehendaki seseorang itu tidak mendapat jodoh atau hanya
mendapat jodoh pada usia yang lewat, maka itulah kehendak Allah, bukan
atas usaha manusia.
Jangan meletakkannya sebagai usaha manusia
untuk menghalang rezeki seseorang, walhal rezeki dan jodoh adalah
ditangan Allah SWT, bukan manusia yang menentukannya. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment