Budaya kaum India kaya dengan pelbagai pantang-larang, amalan dan
kepercayaan. Kebanyakan kepercayaan ini bermula bersama-sama wujudnya
konsep tamadun di Benua Kecil India. Kemudian, segala kepercayaan itu
berkembang bersama-sama perkembangan zaman.
Masyarakat India di Malaysia merupakan generasi kedua, ketiga,
keempat dan seterusnya. Namun, di negara bertuah ini, rata-rata kaum
India masih dilabel sebagai “pendatang” bagi tujuan politik.
Apa pun, budaya dan kepercayaan nenek-moyang yang berasal dari Benua
Kecil India masih berakar-umbi dalam jiwa kaum India di Malaysia dan
menjadi jati diri yang dibanggakan. Begitu juga, banyak budaya India
sudah meresap masuk ke dalam budaya Melayu melalui proses asimilasi
sejak sebelum kedatangan Islam.
Kebanyakan “kepercayaan” dianggap tidak logik oleh generasi muda.
Lalu, dinamakan sebagai “kepercayaan karut”. Bagaimanapun, jika
diteliti, akan nampak bahawa sesungguhnya terdapat alasan yang logik di
sebalik setiap kepercayaan.
Kepercayaan dalam budaya India biasanya dikaitkan dengan dewa-dewi,
unsur alam, unsur jahat seperti hantu, roh dan penunggu; serta
kesan-kesan negatif.
Penampilan unsur-unsur seperti inilah yang menyebabkan masyarakat
moden – khususnya generasi muda – mula menganggap kepercayaan kaum India
sebagai tidak lebih daripada sekadar “kepercayaan karut yang tidak
boleh diterima akal rasional”.
Sesungguhnya, memang tidak ada sebarang bukti konkrit dapat
dikemukakan bagi menyokong hujah dalam kepercayaan yang menjadi amalan
kaum India sejak zaman dahulu.
Misalnya, masyarakat India percaya bahawa sekiranya seorang makan
nasi di tempat yang gelap, maka hantu, penunggu atau roh akan sama-sama
menjamah makanan itu. Akibatnya, individu tadi tidak akan kenyang serta
tidak akan mendapat zat daripada makanan kerana telah diserap oleh
“orang kedua” tadi.
Pasti sahaja tidak ada kejadian sebenar yang dapat dijadikan bukti
untuk menyokong hujah dalam kepercayaan ini. Misalnya, belum ada
individu dalam masyarakat yang membuat kenyataan bahawa dirinya
kurus-kering dan tidak pernah kenyang kerana setiap kali dia makan di
tempat gelap, ada “hantu” yang mencuri makanannya.
Kepercayaan yang menjadi amalan dalam masyarakat India juga sukar
dibuktikan secara saintifik. Apa yang dimaksudkan di sini bukanlah
bahawa “amalan” itu tidak ada alasan saintifik. Sebaliknya “kepercayaan
(karut)” di sebalik amalan itu tidak dapat dibuktikan secara saintifik.
Sebagai contoh, masyarakat India percaya bahawa sekiranya pensel
diasah pada kedua-dua belah, maka ibu dan bapa dalam keluarga berkenaan
akan sentiasa bergaduh. Atau kepercayaan bahawa perbuatan bersiul pada
waktu malam akan mengudang ular masuk ke dalam rumah.
Tentu sekali “kepercayaan” ini tidak dapat dibuktikan menggunakan
teori sains! Sebab itulah juga generasi muda – atau kelompok yang
menganggap diri mereka sudah “moden” – ketara menganggap segala
“kepercayaan” ini sebagai “kepercayaan karut”.
Berfikiran moden
Kalau
kita teliti, setiap kepercayaan dalam masyarakat India akan ada cerita
di sebaliknya. Pasti ada hujah yang dikemukakan untuk semacam menyokong
kepercayaan dan pantang-larang yang diamalkan oleh masyarakat berkenaan.
Sesiapa yang melanggar kepercayaan biasanya dikatakan akan menerima
nasib buruk atau kesan negatif. Sebagai contoh, perbuatan mengasah
pensel pada kedua-dua belah. Natijahnya adalah ibu bapa akan bergaduh.
Tentu sekali kanak-kanak tidak mahu melihat ibu bapa mereka bergaduh.
Lalu, mereka disuakan dengan cerita yang menakutkan ini dengan harapan
kanak-kanak berkenaan tidak akan mengasah pensel pada kedua-dua belah.
Bagi mereka yang makan di tempat yang gelap pula, mereka ditakutkan
dengan cerita bahawa makanan mereka akan dikongsi bersama oleh hantu,
roh atau penunggu. Akibatnya, secara logik, kanak-kanak tidak akan
berani makan di tempat gelap dan tidak diterangi cahaya.
Bagi remaja dan kanak-kanak yang suka bersiul pada waktu malam,
mereka ditakut-takutkan dengan “kepercayaan” bahawa perbuatan mereka
akan membawa kesan negatif, iaitu ular akan masuk ke dalam rumah.
Setiap kepercayaan dalam masyarakat India pasti dikaitkan dengan
cerita-cerita yang menakutkan. Bagi kepercayaan yang bernada positif
pula, akan dikaitkan dengan cerita-cerita yang menggembirakan. Saya
pernah menerangkan perkara ini menerusi sebuah makalah di majalah Dewan
Agama & Falsafah (Mei 2004).
Misalnya, masyarakat India – khususnya yang beragama Hindu – percaya
bahawa pada hari-hari perayaan seperti Tahun Baru, Deepavali, Ponggal,
Onam dan Ugadi, setiap individu perlu membuka mata pada waktu subuh dan
memandang apa-apa objek yang dianggap suci. Tindakan itu dikatakan akan
membuatkan hidup mereka diberkati dengan kebahagiaan, kemewahan dan
segala macam kebaikan.
Namun, seperti yang dikatakan tadi, rata-rata kepercayaan ini
dianggap “karut” oleh generasi muda yang kononnya berfikiran moden.
Mereka tidak dapat menerima alasan dan cerita yang dikemukakan oleh
generasi terdahulu bagi setiap amalan dan kepercayaan dalam masyarakat.
Pada masa sama, generasi muda ini sebenarnya masih tepu dengan
kepercayaan. Bezanya, mereka menerima kepercayaan dari luar; sama ada
daripada masyarakat luar atau dari negara luar.
Tanpa mereka sedari, generasi muda kaum India yang memperlekehkan
kepercayaan dalam masyarakat mereka sendiri sebenarnya terpengaruh pula
dengan kepercayaan masyarakat lain. Anehnya, kepercayaan dari luar juga
memiliki unsur “karut” sebagaimana yang dikatakan terdapat dalam amalan
masyarakat India.
Sebagai contoh, ada kelompok muda kaum India yang mengelakkan nombor
atau angka 4 kerana terpengaruh dengan kepercayaan masyarakat Cina.
Entah disedari atau tidak oleh generasi muda kaum India bahawa
kepercayaan masyarakat Cina terhadap kecelakaan yang dibawa oleh angka 4
juga memenuhi kriteria “karut” sebagaimana yang dikatakan terhadap
kepercayaan dalam masyarakat India.
Walau dalam masyarakat mana sekali pun, setiap amalan dan kepercayaan
pasti ada penjelasan yang logik dan boleh diterima akal. Dalam
masyarakat Cina, misalnya, angka 4 dikatakan membawa sial kerana sebutan
angka “empat” hampir sama bunyinya dengan sebutan “mati”.
Penjelasan yang logik juga dapat dikemukakan bagi setiap amalan dan
kepercayaan dalam masyarakat India. Malangnya, generasi terdahulu
melakukan kesilapan yang amat besar dengan tidak menerangkan “alasan
rasional” ini kepada anak-cucu.
Orang tua biasanya hanya menceritakan kepercayaan (misalnya, jangan
bersiul pada waktu malam) serta cerita yang menakutkan (misalnya, ular
akan masuk ke dalam rumah). Mereka tidak menerangkan alasan rasional
(misalnya, mengganggu orang yang mahu tidur atau berehat).
Lama-kelamaan, apabila kepercayaan itu disampaikan pula oleh generasi
terdahulu kepada generasi terkemudian, yang tinggal hanyalah “cerita
yang menakutkan” tanpa disertai “alasan rasional”.
Penjelasan logik
Maka
tidak salah jika generasi muda yang berfikiran moden menganggap segala
kepercayaan dalam masyarakat India sebagai “karut” dan tidak boleh
diterima akal rasional.
Rata-rata mereka menolak kepercayaan dan amalan dalam masyarakat
India kerana dikatakan tiada penjelasan saintifik serta tidak ada bukti
terhadap “cerita yang menakutkan” itu.
Sepatutnya, generasi muda yang berpendidikan dan berfikiran moden
perlu berfikir secara rasional. Generasi terdahulu telah melakukan
kesilapan dengan hanya menyampaikan “cerita yang menakutkan” bagi
menyokong segala amalan dan kepercayaan.
Generasi muda perlu sedar bahawa walaupun tidak akan penjelasan
saintifik atau bukti terhadap “cerita yang menakutkan”, namun pasti ada
sebab mengapa nenek-moyang kita mewujudkan segala macam kepercayaan itu.
Setiap kepercayaan yang dianggap “karut” itu amat wajar diteliti
secara rasional untuk mengungkapkan semula penjelasan logik yang
tersembunyi di sebaliknya.
Sebagai contoh, kanak-kanak dinasihatkan supaya tidak mengasah pensel
pada kedua-dua belah. “Cerita yang menakutkan” adalah bahawa ibu bapa
akan bergaduh. Tiada penjelasan saintifik dan bukti konkrit bagi
menyokong kepercayaan ini.
Generasi muda yang terpelajar sepatutnya menggunakan akal rasional
untuk meneliti semula kepercayaan ini untuk memahami makna yang
tersirat. Pasti sahaja perbuatan kanak-kanak mengasah pensel pada
kedua-dua hujung boleh mengakibatkan dia tercucuk mata semasa
menggunakan pensel berkenaan.
Jika kita makan di tempat yang gelap, kita tidak akan tahu apa yang
kita suap ke dalam mulut. Mungkin ada serangga yang terjatuh ke dalam
makanan. Atau mungkin kita akan tergigit cili padi. Itulah antara
penjelasan logik mengapa masyarakat India tidak menggalakkan orang ramai
makan di tempat gelap.
Kalau diteliti, setiap amalan dan kepercayaan dalam masyarakat India
mempunyai penjelasan yang logik dan rasional. Malah begitu juga halnya
dengan kepercayaan dalam mana-mana masyarakat.
Kini, terpulang kepada kebijaksanaan generasi muda yang berpendidikan
dan berfikiran moden untuk mengkaji dan memahami rasional di sebalik
setiap amalan dan kepercayaan itu.
Suatu hari nanti, mereka diharap mampu menyampaikan “cerita yang
menakutkan” berserta “alasan logik serta rasional” di sebalik setiap
“kepercayaan karut” dalam kalangan masyarakat India.
Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan
(Kavyan) yang mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan
budaya sejak 1999.
No comments:
Post a Comment