HUTAN
Lipur Lata Kinjang (HLLK) yang dikunjungi ramai saban minggu,
sebenarnya menyimpan cerita misteri yang sangat unik dan penuh lagenda
yang hanya diketahui oleh segelintir masyarakat setempat sahaja. Menurut
sejarahnya, tempat itu dinamakan sebagai Lata Kinjang kerana di kawasan
itu terdapat banyak Kijang. Orang lnggeris yang pernah sampai ke tempat
itu pada zaman silam kerana memburu Kijang telah tersalah sebut nama
Kijang lalu berubah kepada nama “Kinjang” hingga kekal namanya sampai
sekarang.
Ketua Kampung Lata Kinjang, Tok Batin Taha
Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK), Encik Haslam Abdullah ketika ditemui turut mengesahkan Lata
Kinjang banyak menyimpan kisah misteri yang sangat unik . “Bila waktu
lapang saya bercerita kepada anak cucu untuk mendengar kisah Lata
Kinjang,“ kataTok Batin Husin yang menyebut lata tersebut telah diteroka
oleh empat keturunan bermula daripada datuknya, Allahyarham Mat Yakin.
Setakat
ini belum ada usaha-usaha untuk membukukan cerita-cerita misteri dan
sejarah Lata Kinjang. Ini bermakna, apabila kalangan orang tua-tua
meninggal dunia, sekaligus akan lenyaplah cerita lagenda Lata Kinjang
untuk diketahui oleh generasi muda. Tok
Batin Husin berkata, di sekitar lata itu terdapat beberapa kesan yang
ada kaitannya dengan sejarah kemunculan Lata Kinjang sejak ditemui oleh
manusia beratus tahun lalu. Dia sendiri mengetahui sejarah lata itu
daripada cerita mulut yang didengar daripada datuknya Allahyarham Mat
Yakin dan bapanya Allahyarham Taha. Beliau berharap, ada di kalangan
sembilan orang anak dan dua belas orang cucunya akan menjadi penyambung
cerita mengenai sejarah Lata Kinjang kepada sesiapa yang ingin mendengar
kisahnya.
Encik Haslam pula menyebut, ditingkat tiga
lata terdapat bekas kesan tapak kaki Kijang yang melarikan diri atas
kawasan lata setelah dikejar oleh Harimau Akar yang telah disumpah oleh
kelembai menjadi batu. Kesan tapak kaki Kijang dan batu besar dari
lembaga Harimau Akar masih boleh dilihat tersergam ditingkat tiga lata
tersebut.
Di kawasan lata itu juga terdapat kesan kubur
anak kelembai yang terbaring memanjang dalam lubang kubur yang sudah
menjadi batu, bekas tapak kaki kelembai termasuk lesong menumbuk padi
yang telah disumpah menjadi batu.
Beliau turut
menceritakan kisah misteri seorang wanita cantik yang dipercayai sebagai
”Puteri Bunian” yang pernah menjelma di kawasan lata itu pada masa
silam sehingga menarik perhatian seorang hartawan lnggeris yang
bercita-cita ingin mengahwini puteri itu .
Menurut
ceritanya, hartawan lnggeris itu yang secara kebetulan berkunjung ke
Lata Kinjang dalam tahun 1900, telah diberitahu oleh masyarakat Orang
Asli di situ mengenai penjelmaan seorang wanita cantik di kawasan lata
terutama pada musim bulan mengambang.
Kerana terlalu
ingin hendak melihat wajah puteri bunian itu, hartawan lnggeris itu
telah membina sebuah banglo ditingkat satu lata dan membina tangga batu
dari bawah hingga kepuncak lata itu. Beliau membina banglo itu sebagai
tempat penginapannya untuk melihat secara dekat wajah puteri bunian yang
dikatakan sering menampakkan dirinya bila menjelang senja.
Tetapi,
setelah menunggu berbulan-bulan di situ, hajat hartawan Inggeris itu
tidak kesampaian, lalu dia merasa kecewa dan terus pulang ke negara
asalnya di Eropah dan telah meninggal dunia beberapa bulan kemudiannnya.
Banglo yang dibina dengan kos yang mahal telah musnah dan rosak sedikit
demi sedikit dan sekarang hanya tinggal rangkanya sahaja.
Encik
Haslam memberitahu, “Puteri Bunian” muncul ditengah-tengah lata untuk
mandi bersama pakaian yang dipakainya dan berdiri tegak di atas batu
lata dengan rambutnya yang panjang mengurai melepasi punggung. Puteri
bunian itu yang disifatkan sebagai penunggu lata hanya menunjukkan
dirinya beberapa minit sahaja kerana dia tidak mahu identitinya dikenali
oleh manusia biasa. Kini, lagenda Puteri Bunian itu hanya tinggal dalam
lipatan sejarah sahaja kerana dia tidak muncul lagi di kawasan lata
tersebut. Mungkin disebabkan lata tersebut telah menjadi tumpuan ramai
dan dia enggan menjelmakan dirinya. Di kawasan lata itu juga terdapat
serumpun pokok buluh perindu yang hanya boleh diambil oleh orang-orang
tertentu sahaja. Allahyarham Seniman Agung P.Ramlee dikatakan memiliki
Buluh Perindu yang diambil daripada Lata Kinjang untuk ubat memerdukan
suaranya.
Encik Haslam memberitahu, di kawasan lata itu
juga terdapat banyak kambing gurun tetapi sukar diperangkap kerana ianya
sangat lincah dan pandai menghilangkan diri. Beliau berkata, semua
cerita misteri yang berlaku di kawasan lata itu menjadi cerita lisan
yang bersambung dari mulut ke mulut sahaja. Beliau sendiri mengetahui
cerita misteri lata daripada datuknya, Allahyarham Mat Yakin.
“Saya
bersetuju jika ada usaha untuk membukukan sejarah lagenda Lata Kinjang
dijalankan oleh mana-mana pihak sama ada menerusi cerpen, novel, puisi
atau pembikinan drama filem,’tegasnya. Beliau yakin, misteri lagenda
Lata Kinjang akan menarik perhatian khalayak jika dapat dijadikan drama
atau filem. Ia terserahlah kepada para karyawan filem dan drama untuk
menjawabnya.
No comments:
Post a Comment