Wednesday, 10 April 2013
Api Misteri Tanda Gangguan Jin
Sebuah keluarga di Kampung Penambang Bunga Emas di sini hidup dalam keresahan dan ketakutan selepas diserang api misteri dan disusuli dengan beberapa kejadian aneh sejak 10 bulan lalu.
Wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia turut menyaksikan sendiri api misteri itu muncul tiba-tiba lalu menyambar tuala kecil dalam almari di salah sebuah bilik di rumah berkenaan kira-kira pukul 3 petang ini.
Keadaan itu menyebabkan hampir 10 orang yang berada di dalam rumah berkenaan tergamam sebelum bingkas memadamkan api tersebut.
Pemilik rumah itu, Zainab Sulaiman, 73, berkata, sebelum api misteri muncul Isnin lalu, rumahnya sering dilanda pelbagai kejadian aneh.
Antaranya wang RM2,000 hilang daripada simpanan, beras dimasukkan pewarna merah dan budu manakala pakaian digunting.
ZAINAB Sulaiman melihat serangan api misteri yang sempat dirakam oleh jurugambar di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu
“Ketika wang hilang sedikit demi sedikit dan beras yang dimasukkan budu serta pewarna berlaku, kami sekeluarga mengambil sikap tidak peduli.
“Bagaimanapun sejak tiga hari lalu keadaan menjadi semakin serius apabila api misteri menyambar di semua kawasan dalam rumah ini.
“Sehingga kini lebih 200 helai pakaian milik saya serta menantu dan cucu hangus terbakar malah dua buah tilam turut terbakar, biarpun kami cuba memadamkan api tetapi ia tetap muncul kembali,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Zainab yang tinggal di rumah tersebut sejak 32 tahun lalu berkata, kemunculan api seperti itu tidak pernah berlaku di rumahnya malah dikatakan pertama kali terjadi di kampung berkenaan.
Dia yang tinggal bersama menantu serta tiga cucunya berkata, secara purata api misteri itu muncul sekurang-kurangnya lima kali sehari sehingga menyebabkan mereka sekeluarga bingung.
“Kami dah buntu. Serangan tanpa henti api itu menyebabkan kami sekeluarga tidak tidur tiga hari, takut-takut kalau tidak sempat selamatkan barang.
“Hari ini serangan bermula pukul 11 pagi apabila api misteri menyambar baju kurung cucu saya, Wan Norfatihah Wan Hanafi, 13. Kira-kira 10 jiran saya datang membantu memadamkan api itu,” katanya.
Menurutnya, apa yang lebih mengejutkan, wang RM30 milik menantunya, Rafiah Zakaria, 38, yang hilang ditemui semula di beberapa lokasi berasingan serta salah satu daripadanya tertera nama Rafiah.
Sehubungan itu, dia memohon sesiapa yang mempunyai kebolehan membantunya menghentikan serangan api misteri tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment