MENU| Home | Facebook

Wednesday 13 March 2013

Jelmaan Tok Bidan Bawa Janin Keliling Kampung

 Ada sesiapa di sini mempunyai pengalaman ikut rakan pulang ke kampung? Kisah kali ini, kami ingin berkongsi tentang pengalaman seorang sahabat kita yang mengikuti rakannya pulang bercuti ke kampung. Jika nama kampung, sudah tentu prasarana agak kurang berbanding di bandar. Ketika pulang ke kampung, adik rakannya sibuk bercerita tentang kewujudan jelmaan tok bidan yang sering menganggu penduduk kampung. Siapakah sebenarnya tok bidan ini? Ikuti kisah di bawah ini.

Pengalaman seram yang ingin aku kongsi bersama kalian adalah satu pengalaman yang mungkin tidak akan ku lupa sepanjang hayat. Waktu itu aku mengikut kawanku balik kekampungnya disatu daerah berdekatan dengan Kota Baru, Kelantan. Waktu itu cuti penggal persekolahan dan kebetulan pula musim durian. Menurutnya dusun datuknya memang banyak pokok durian. Aku terus bersetuju kerana aku memang penggemar durian.

Kami tiba dikampung pada petang Sabtu setelah semalaman didalam perjalanan menaiki keretapi. Sesampai sahaja dirumah kami telah disambut mesra oleh keluarga kawanku. Mereka sungguh ramah, meskipun aku menghadapi kesukaran untuk memahami setiap patah perkataan yang dituturkan. Setelah berehat seketika, kawanku mengajak aku mandi disungai yang tidak berapa jauh dari rumahnya. Waktu itu hari sudah lewat petang. Ibunya melarang kami pergi kesungai kerana hari sudah hampir gelap. Tetapi kami tetap berdegil untuk mandi disungai. Lagi pun jarak sungai dengan rumahnya lebihkurang 500 meter sahaja. Kalau kami melaung pun boleh didengar. Begitulah kata kawanku kepada ibunya. Ibunya hanya menggelengkan kepala melihat gelagat kami tetapi menyuruh kami balik semula sebelum 7:30.

Sebaik sahaja kami menuruni tangga rumah, adik kawanku yang berumur dalam lingkungan 9 tahun berpesan kepada kami supaya balik sebelum hari gelap kerana sekarang ni orang kampung tengah heboh memperkatakan tentang hantu tok bidan yang berkeliaran dikampung itu pada waktu malam. Meremang bulu romaku apabila mendengar pesan adiknya itu. Mahu sahaja aku membatalkan niat untuk mandi disungai. Tetapi kawanku sedikit pun tidak mengendahkan kata-kata adiknya itu. Dengan hati yang berat, aku mengekori kawanku dari belakang. Mataku liar melihat semak-semak dikiri-kanan. Ketika itu matahari sudah hampir terbenam. Cahaya kilauannya berbalam-balam dipermukaan air. Aku merasa tidak sedap hati. Seolah-olah ada sepasang mata yang sedang memerhati gerak-geri kami. Sesampai sahaja digigi sungai, kawanku terus terjun. Kocakkan airnya mengenai tubuhku. Terasa dingin sungguh. Aku turun keair dengan berhati-hati. Perasaanku merasa tidak tenteram.

Ada sesuatu sedang memerhati kami. Aku memberitahu kawanku supaya cepat naik dan balik. Tetapi aku diketawakan. Katanya aku ini pengecut sangat. Katanya lagi adiknya cuma bergurau. Sedang kami leka mandi, tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu benda jatuh kedalam air tidak jauh dari tempat kami. Masing-masing senyap dan berpandangan sesama sendiri. Keadaan manjadi sunyi seketika. Cuma kedengaran suara riang-riang hutan bersahut-sahutan. Bulu romaku berdiri. Aku menggigil kesejukan. Tanpa sepatah kata, kami berdua berlari naik kedarat dan terus mencapai barang-barang dan berlari kerumah. Ibunya hairan melihat kami termengah-mengah apabila sampai kepintu dapur. Adiknya cuma tersenyum menyindir. Aku memberitahu mereka apa yang telah berlaku. Ibunya cuma tersenyum mendengar ceritaku. Menurutnya mungkin dahan dari pokok kayu yang jatuh kedalam sungai tadi. Tetapi adiknya pula mengingatkan kami tentang hantu tok bidan yang diceritakannya sebelum kami kesungai tadi. Aku sendiri kebingungan. Kalau dahan kayu yang jatuh, tidak mungkin bunyinya sekuat seperti mana yang kami dengar.

Selepas makan malam, aku duduk berehat diruang tamu bersama adiknya. Aku mengambil kesempatan ini untuk mengetahui akan lebih lanjut lagi cerita hantu tok bidan yang diceritakannya petang tadi. Menurut katanya, ada seorang perempuan tua yang tinggal dikampung yang berdekatan baru meninggal dunia. Orang-orang kampung memanggilnya Tok Bidan kerana dia seorang bidan kampung. Semasa dia dalam keadaan nazak, keadaannya amat tersiksa. Dia sentiasa kehausan. Entah berapa banyak air yang diberi, dia tetap kehausan. Sehinggalah dia menghembus nafas terakhir, dia meronta-ronta minta diberikan air. Menurut orang kampung semasa hayatnya, dia telah banyak melakukan dosa seperti menggugurkan kandungan secara dan melakukan pemujaan untuk meningkatkan lagi ilmu kebidanannya.

Menurut mereka lagi, dia ada membela hantu raya. Pernah beberapa kali orang-orang kampung terserempak dengannya merayau-rayau diwaktu malam dengan keadaan tubuhnya yang bongkok. Tetapi pada waktu yang sama ada juga orang-orang kampung yang sedang berubat dirumahnya. Setelah meninggal dunia, orang-orang kampung menghadapi berbagai masalah untuk menguruskan mayatnya. Sewaktu mayatnya hendak ditanam, hujan turun dengan selebat-lebatnya dan liang lahatnya terpaksa digali berkali-kali kerana tanah runtuh akibat hujan yang amat lebat dan bacaan talkin cuma dihadiri oleh beberapa orang sahaja kerana keadaan cuaca yang buruk pada waktu itu. Pada sebelah malamnya, orang-orang yang lalu-lalang berdekatan dengan kawasan tanah perkuburan seakan-akan terdengar suara orang sedang meratap disertai dengan bau yang amat busuk. Pada malam yang sama juga beberapa buah rumah telah diketuk pintu berkali-kali dan apabila dibuka, tiada sesiapa diluar. Jika dibiarkan, ketukan pintu menjadi bertambah kuat dan bau busuk memenuhi ruang rumah. Badanku terasa seram sejuk apabila mendengar cerita adik kawanku itu.

Jam baru menunjukkan pukul 10:30. Keadaan sekitar terasa sunyi. Cuma bunyi cengkerik dan jam dinding yang kedengaran. Mataku pun sudah terasa berat. Kawanku sengaja mahu menyakatku. Dia menyuruh aku tidur didalam biliknya manakala dia hendak tidur diruang tamu. Aku terus tidak bersetuju. Apa lagi setelah mendengar cerita dari adiknya sebentar tadi. Katanya dia cuma bergurau. Kami sama-sama tidur didalam bilik. Tempatku bersebelahan dengan daun tingkap. Oleh kerana terlalu mengantuk, aku tidak peduli, asalkan dapat tidur. Entah pukul berapa, tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi ketukan halus dari luar daun tingkap kayu disebelah aku. Aku tetap memejamkan mata tetapi jantungku berdegup laju. Ketukan tadi menjadi semakin kuat disertai dengan bau seperti bau bangkai yang teramat busuk. Aku menahan nafasku dan berpaling dari arah daun tingkap. Aku cuba mengejutkan kawanku. Tetapi dia tiada disebelah ku. Mungkin dia tidur diruang tamu. Jantungku berdegup laju. Peluh sejuk membasahi tubuhku.

Daun tingkap terus diketuk dan digoyang. Aku menjadi kaku. Tiba-tiba aku terdengar suatu suara halus menyuruhku membuka tingkap. Katanya dia ada membawa anak kecil. Dia hendak menumpang minum air. Aku menjadi bertambah kecut. Aku tidak mempedulikannya. Ketika itu aku telah berada dihujung katil diselimuti gebar sambil memeluk bantal. Suara yang halus tadi bertukar menjadi serak dan akhirnya menjadi parau. Katanya lagi kalau aku tidak mahu membuka tingkap, dia tetap akan masuk untuk mencari air. Waktu itu cuma tuhan yang tahu bagaimana perasaanku. Dengan tiba-tiba aku terasa seperti ada angin lembut bertiup dimukaku dan pada waktu yang sama tiba-tiba daun tingkap terbuka luas. Apa yang aku lihat sungguh menggerunkan. Diluar tingkap kelihatan seorang perempuan tua tersengeh memandangku. Dengan giginya yang jarang dan merah serta rambutnya yang penuh uban mengurai. Dia menghulurkan sebelah tangannya kepadaku manakala sebelah lagi memegang janin bayi. Pandanganku menjadi kelam, cuma yang kudengar ialah suara parau yang menggigil-gigil menyebut perkataan “air” berkali-kali.

Tiba-tiba aku terdengar namaku dipanggil dan bunyi daun tingkap dibuka. Cahaya matahari pagi menyucuk mataku. Rupa-rupa hari sudah siang. Kawanku mengajak aku bersiap untuk kedusun durian datuknya. Aku terpinga-pinga. Dalam perjalanan kedusun aku bertanya kepada kawanku adakah dia tidur diruang tamu malam tadi. Dia mengaku. Katanya dia tidak dapat tidur dibilik kerana panas. Katanya lagi waktu itu aku sedang nyenyak dibuai mimpi. Aku bertanya kepadanya lagi adakah tingkap bilik terbuka atau tertutup sewaktu dia masuk kebilik pagi tadi. Katanya tertutup. Dia menyoalku kembali, kenapa aku banyak bertanya. Aku cuma menggelengkan kepala sambil berkata tidak ada apa-apa.

Sehingga kehari ini aku tidak pasti adakah kejadian ngeri itu benar-benar berlaku, atau cuma aku yang bermimpi. Bagiku setiap detik yang berlalu ketika kejadian itu memang seperti ianya benar-benar berlaku.

No comments:

Post a Comment