Hantu merupakan kepercayaan mengenai makhluk halus yang wujud di dalam alam lain yang terdapat dalam semua kebudayaan dalam dunia ini. Dalam masyarakat Melayu hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah wujud sejak zaman animisme lagi. Ketika itu semua benda besar seperti pokok atau batu yang besar dianggap didiami jin penunggu yang perlu dijaga dengan baik agar jin tersebut tidak mengamuk dan membahayakan penduduk sekitar. Malahan jamuan makanan atau acak disediakan oleh seseorang yang berpengalaman yang dikenali sebagai pawang bagi memastikan penunggu tersebut pula membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan musuh tanaman. Amalan ini masih kekal dikalangan penduduk asli yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.
Dengan kedatangan agama Hindu dan Buddha, konsep penunggu dan jembalang diubah menjadi konsep dewa-dewa yang mendiami tempat-tempat tertentu. Bagi menghormati dewa-dewa ini, kuil-kuil dibina ditempat-tempat tersebut dengan tujuan pemujaan bagi mendapatkan per. Keadaan ini tidak berubah dengan kedatangan orang-orang Cina yang juga mendirikan tokong kecil di bawah pokok atau tempat tertentu bagi mendapatkan bantuan tuah kepada mereka.
Hantu wujud dalam minda Melayu sebagai satu penjelasan mengenai perkara-perkara yang tidak difahami atau diketahui. Contohnya :
Mengapa seseorang itu sakit mengejut pada hal sebelum ini kelihatan sihat sebelum berpindah ?
Mengapa pokok besar dan berakar songsang itu berbunyi pada waktu malam ?.
Mengapa sesebuah rumah itu ditinggalkan oleh penghuninya, dan orang yang baru berpindah masuk tidak kekal lama. Ada bunyi orang mengilai .
Mengapa kawasan kubur seperti ada sesuatu bergerak dan berbunyi pada waktu malam.
Mengapa mayat seseorang dijumpai berkecai-kecai ketika berladang. (Akibat haiwan buas?)
Mungkin orang Melayu hendak menakutkan anak-anaknya janganlah keluar waktu malam atau waktu maghrib. Mungkin cerita hantu mudah direka dan menjadi hiburan pada waktu malam.
Jenis-jenis hantu:
Ada pelbagai jenis hantu atau makhluk yang dianggap hantu ini . Munsyi Abdullah dalam Hikayat Abdullah telah lama mempertikaikan kepercayaan karut orang Melayu ini. Antara jenis-jenis kelompok hantu-hantu ini adalah :
Pontianak/ Puntianak/ Kuntilanak
Polong
Toyol
Pelesit
Hantu Air/ Hantu Laut
Hantu Raya
Hantu Bungkus/ Pocong/ Hantu Punjut
Langsuir
Bota
Bajang
Bunian
Hantu Jepun
Hantu Bukit
Hantu Kubur
Pari-pari
Jerangkung
Hantu Galah
Jin Tanah
Hantu Keramat
Hantu Kum-Kum
Orang Minyak
Puaka
Penanggalan/ Hantu Tenggelong
Hantu Bidai
Hantu Tetek/ Hantu Kopek
Harimau Jadian
Jembalang Tanah
Menghalau hantu:
Pada masa kini, kebanyakan orang sudahpun berfikiran moden dan akan mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Tetapi kadang-kala, pihak hospital atau klinik mendapati tidak terdapat sebarang masaalah dijumpai. Biasanya keluarga si pesakit menganggap si pesakit diganggu sesuatu, dan akan berpaling kepada perkhidmatan traditional bagi cuba mengubati pesakit.
Perubatan cara menghalau hantu secara umumnya terbahagi kepada dua:-
Menggunakan khidmat sahabat jin bagi menghalau jin penganggu, biasanya dengan cara menurun. Cara ini telah difatwakan haram oleh ulama.
Menurut petua yang tidak bertentangan dengan Islam, tiada bacaan tertentu cuma menggunakan bahan-bahan semulajadi.
Menurut ajaran keagamaan masing-masing.
Sesetengah mereka yang berfikiran moden berpendapat, ia hanyalan kesan placebo. Selagi mereka yang diubati percaya mereka sihat, mereka akan sembuh dengan sendiri. Dalam erti kata lain, penyakit ini adalah penyakit dalam fikiran (psikologi). Walaubagaimanapun, keluarga pesakit tidak mempeduli apa yang berlaku. Bagi mereka, asalkan si pesakit sembuh, mereka akan melakukan apa jua yang diperlukan.
[sunting]Bersahabat dengan jin
Bersahabat dengan jin merujuk kepada seseorang yang mengikat tali persahabatan dengan makhluk halus. Persahabatan ini biasanya tidak digalakkan kerana ia mampu mendorong seseorang menjadi syirik, tetapi selalunya masih dilakukan kerana keinginan mendapat kelebihan tertentu seperti kebolehan mengubat. Kebolehan berubat merupakan bisikan dari jin yang menjurus kepada syirik kerana pengamal telah memohon kepada jin untuk menolong beliau.Persahabatan dengan jin ini juga dikenali sebagai saka.
Mereka yang bersahabat dengan jin ini perlu mematuhi beberapa syarat seperti ada yang meminta persembahan makanan, ada yang perlu dibakar kemian setiap waktu tertentu, dan ada yang mengenakan apa-apa syarat kecuali mereka ini mengerjakan amalan Islam dengan taat. Jin yang mengenakan syarat mereka yang bersahabat dengan mereka agar mengerjakan amalan Islam dengan taat biasanya dikenali sebagai jin Islam atau kaum bunian.
[sunting]Cara berhubung dengan sahabat jin
Cara lama ialah memanggil bomoh atau pawang di dalam sesebuah kampung. Bomoh atau pawang biasanya membakar kemenyan , membaca mentera tertentu seperti bahasa Jawa , kain kuning dan dedaun-dedaun tertentu sebagi peramu atau perambas. Untuk kes yang lebih berat, kambing akan disembelih, darahnya dijadikan acak (hidangan kepada hantu) dan dihanyutkan ke dalam sungai. Daging kambing dimasak dan dimakan secara beramai-ramai. Sekarang perkara ini tidak lagi dilakukan kerana perkara itu telah diketahui sebagai syirik.
Di Terengganu , tarian Ulek Mayang atau Main Puteri akan dipersembahkan. Sekiranya seseorang itu gagal diubati dengan cara biasa, satu upacara besar-besaran dengan tarian Ulik Mayang atau Main Puteri akan dilakukan. Nyanyian lagi Ulik Mayang yang merdu beserta tarian ringkas , dirambas dengan tandan pinang kecil menyeru tuan puteri (bunian) agar datang menyembuhkan pesakit.
Di banyak tempat, bomoh boleh 'menyelap' atau 'menurun' hingga boleh bertutur bahasa asing. Contohnya bahasa Siam, bahasa Jawa, bahasa Jerman dan bahasa Inggeris. Pendengar akan kehairanan kerana bagaimana jin boleh berbahasa asing walaupun sepatah dua sahaja. entah betul entah tidak bomoh tersebut berbahasa Inggeris.
Kualiti bomoh semakin meningkat jika berasal dari Orang Asli , orang Siam atau orang Jawa. Ilmu orang Asli tentang menghalau hantu dan memanggil hantu dipercayai lebih mujarab dan sangat ditakuti.
[sunting]Menurut cara perubatan Islam
Orang Melayu yang agak beriman akan berjumpa dengan orang alim seperti ustaz, Imam, lebai, pak aji atau tokoh agama di dalam kampung untuk menyelesaikan masalah ini dengan bacaan al Quran. Mereka yang sakit biasanya akan dibacakan ayat-ayat tertentu bagi memulihkan semangat, dan biasanya dimandikan / disuruh mandi dengan air campuran limau bagi menyegar badan. Selain itu air yang dibacakan bacaan al Quran diberi munum bagi memulih/penguat semangat pesakit. Ini sama seperti mereka yang berfikiran moden berjumpa dengan pakar motivasi bagi meringankan fikiran daripada masaalah yang dihadapi.
Bagi orang Melayu, hantu boleh dihalau dengan bacaan ayat-ayat suci. Oleh itu, orang Melayu menyimpan al Quran di rumah. Selain itu ayat-ayat Quran tertentu digantung di dinding-dinding rumah walaupun mereka tidak mengerti apa maksudnya.Dengan harapan, hiasan quran ini dapat menghalau jin tanpa beramal dengannya. Perkara ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, kerana Al Quran adalah untuk dibaca dan bukannya menjadi hiasan.
No comments:
Post a Comment