MENU| Home | Facebook

Tuesday, 4 June 2013

Bayangan Hitam di Hutan Lim Chu Kang (Kisah Seram)


Bayangan Hitam di Hutan Lim Chu Kang


 pengalaman ini berlaku pada tahun 2007 ketika saya menjalani latihan kerahan saya di hutan Lim Chu Kang.

Latihan kerahan saya masa itu bermulanya di hutan Marsiling dan berakhirnya di hutan Lim Chu Kang. Sebelum latihan bermula, saya dan rakan-rakan askar yang lain diberitahu oleh pegawai Leftenan saya, bahawa latihan kami akan bermula pada waktu sepuluh setengah malam. Saya masih ingat lagi, hari itu adalah hari Khamis, malam Jumaat.

Seperti biasa, sebelum latihan bermula, kami semua mengambil kesempatan untuk berehat. Ada yang tidur, ada yang bersihkan senjata dan ada juga yang masih berbual-bual di telefon bimbit. Ketika itu masih senja, waktu Maghrib pun nak dekat, jadi kami ada lagi tiga jam untuk berehat. Masa saya berehat, sarjan saya seorang berbangsa Cina menghampiri saya dan beritahu saya bahawa malam ini saya akan berada di hadapan "company" saya untuk mengiringi "company" yang lain untuk latihan malam nanti sebab penglihatan Sarjan saya tidak begitu jelas pada waktu malam.

Dipendekkan cerita, semasa kami bertolak dari hutan Marsiling, hujan pun mula turun dengan renyai-renyai. Kami sudah pun berjalan sejauh 15 kilometer dari tempat rehat tadi dan masih lagi berjalan ke tempat destinasi kami di hutan Lim Chu Kang. Waktu pun sudah menandakan pukul dua setengah pagi. Walaupun keadaan saya bermandikan peluh dan terasa letih, saya masih lagi berada di hadapan "company" saya. Saya masih ingat lagi, malam itu bulan mengambang dan anjing-anjing berdekatan di hutan Lim Chu Kang asyik menyalak saja dari tadi...

Semasa saya berjalan di hadapan, tiba-tiba saya ternampak bayangan hitam menyerupai manusia berjalan perlahan-lahan ke arah lain. Jarak bayangan hitam itu adalah kira-kira dalam 50 meter dari mana saya berada. Saya pun cepat2 menunjukkan isyarat tangan saya kepada rakan-rakan askar yang lain menandakan kemungkinannya musuh di hadapan. Kami terus tunduk dan berhenti berjalan. Mata saya masih memandang ke arah bayangan hitam itu. Untuk pengetahuan semua, saiz bayangan hitam itu kelihatan besar dan agak tinggi berbandingkan saiz askar-askar di Singapura ini. Bayangan hitam yang besar dan tinggi itu kelihatan berjalan perlahan2 di tengah2 persekitaran yang dipenuhi dengan rumput2 tinggi dan dedaunan.

Sarjan saya terus menghampiri saya dan bertanya apa yang berlaku. Saya beritahu dia apa yang saya nampak dan dia terus mengeluarkan alat "Night Vision Binoculars" dari begnya. Untuk pengetahuan pendengar, "Night Vision Binoculars" adalah "Teropong yang digunakan untuk waktu malam" dan sesuai digunakan di waktu malam ataupun semasa keadaan gelap. Bila Sarjan saya menggunakan teropong itu, dia mengatakan pada saya yang bayangan hitam itu jelas kelihatan! Saya diam sahaja. Lalu, pegawai Leftenan saya pun menghampiri saya dan menanyakan apa yang berlaku. Leftenan saya pun menggunakan teropong yang sama, dan dia juga dapat melihat bayangan hitam itu dengan jelas juga!

Leftenan saya terus mengarahkan saya untuk terus berjalan perlahan2 menuju ke arah bayangan hitam itu dengan diikuti rakan2 askar saya yang lain. Saya pun berjalan perlahan2 menuju ke arah bayangan hitam itu. Para pendengar sekalian, kalau mengikut secara logika, sekiranya kalau kita berjalan dan memijak rumput ataupun daun2, rumput dan daun2 itu akan menunjukkan tanda yang ia dipijak. Akan tetapi, apabila saya menuju dan mengikut jejak bayangan hitam itu, rumput2 ataupun daun2 di situ masih kelihatan segar dan tidak kelihatan dipijak langsung! Saya berdiam diri sahaja!

Pada masa yang sama, bayangan hitam itu hilang dari pandangan. Saya terus berhenti dan melihat persekitaran di sekeliling saya. Saya lihat di persekitaran saya penuh dengan belukar, rumput2 tinggi dan dahan2 berduri. Saya mendapati bahawa tiada sembarang manusia pun yang boleh menembusi belukar dan dahan2 yang penuh duri di persekitaran saya ini. Saya menoleh ke arah pegawai Leftenan saya! Tanpa membuang masa lagi, beliau menyuruh kami beredar dari tempat itu dan teruskan perjalanan ke destinasi kami...

Itulah pengalaman saya, yang saya lalui ketika latihan kerahan pada tahun 2007.

Read more: http://seram-giler.blogspot.com/2013/02/bayangan-hitam-di-hutan-lim-chu-kang.html#ixzz2VG56x700

No comments:

Post a Comment