MENU| Home | Facebook

Friday 25 August 2017

Hantu Perempuan Di Asrama SMK Keningau


Assalamualaikum kepada semua pembaca setia kisahseram.com. Hari ini kita ada perkongsian mengenai kisah seram yang dialami oleh seorang bekas pelajar yang pernah tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau. Di bawah merupakan cerita tentang pengalaman seram yang pernah dialami oleh beliau di asrama tersebut.

Hai, selamat petang. Saya ingin mengongsikan pengalaman saya sewaktu menetap di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau. Pada hari pertama saya menetap di asrama sekolah, saya sudah pun diganggu oleh satu hantu perempuan. Saya tahu hantu itu sebenarnya jin tapi apabila ia dah menampakkan rupa yang menakutkan, kita lebih senang memanggilnya sebagai hantu.
Pada masa itu jam menunjukkan lebih kurang pukul 8 malam, seorang kawan saya meminta pertolongan dari saya untuk mencari kakaknya di dorm mereka. Tetapi apabila kami berdua pergi ke dorm kakaknya, kami mendapati bahawa kakaknya tiada di sana. Kami teruskan mencari kakak kawan saya itu sehingga tidak sedar yang kami telah pun berada di tingkat yang paling atas.
asrama sekolah
Ketika itu, kami berdiri di koridor tingkat yang paling atas tersebut dan secara tidak sengaja, rupa-rupanya kami sedang berdiri di hadapan sebuah bilik asrama yang telah dikosongkan semenjak tahun 2009 lagi. Akan tetapi, kami langsung tidak mempedulikan keadaan di koridor tersebut walaupun di kawasan bilik kosong itu gelap gelita kerana lampunya telah rosak.
Hanya tinggal kami berdua sahaja yang masih berada di atas kerana semua pelajar perempuan lain sudah turun untuk pergi ke kelas prep malam. Semasa kawan saya sibuk memanggil dan mencari kakaknya, secara tidak sengaja saya menoleh ke arah bilik kosong itu dan tanpa membuang masa lagi, saya terus menarik tangan kawan saya dan bergegas turun ke bawah.
hantu bengis
Kawan saya berasa hairan kenapa tiba-tiba saja saya menariknya turun ke bawah. Lantas saya menceritakan bahawa saya ternampak kelibat seorang remaja perempuan yang sedang memerhatikan kami berdua dengan mukanya yang menyeramkan dan berbaju putih di depan pintu bilik kosong itu. Habis meremang bulu roma saya ketika itu sehinggakan keesokan harinya, saya tiba-tiba demam dan meminta kebenaran guru untuk pulang ke rumah.

No comments:

Post a Comment