MENU| Home | Facebook

Friday 29 January 2016

disakat ketika memancing

Hujung minggu sudah semestinya tidak aku biarkan berlalu begitu sahaja.

Inilah masa terbaik untuk aku mencurahkan segala skill memancing yang aku
miliki. Dan minggu ini setelah berbincang dengan teman seangkatan, Che Din
kami sepakat memilih Tasik Bera sebagai medan menguji kehebatan.
Apabila mempastikan semua barangan keperluan seperti joran, mata kail, batu
ladung, lampu suluh, pisau, lima batang joran dan sebagai sudah siap aku dan
Che Din mula berangkat meninggalkan rumah sewa. Kami bercadang untuk mencari
umpan atau membelinya di dalam perjalanan nanti.

Setelah beberapa jam perjalanan aku melihat Che Din sudah lena dibuai mimpi.

Suasana sunyi mengundang kebosanan, walaupun kiri kanan jalan kaya dengan
keindahan alam semulajadi, bagi aku sebagai budak kampung ini semua sudah
menjadi perkara biasa. Untuk menghilangkan kesunyian aku menghidupkan radio,
tetapi agak perlahan sebab aku tidak mahu mengganggu mimpi Che Din.

Sebaik sampai di tempat yang dituju dan membeli umpan daripada penjual yang
terdapat di situ. Tanpa berlengah lagi kami terus mencari 'port'
masing-masing. Aku memilih untuk duduk di bawah rimbunan pokok bakau yang
terletak betul-betul di tepi tebing tasik. Begitu juga dengan Che Din juga
memilih 'port' yang baik tidak jauh
dari aku. Selang beberapa minit dua
joran aku sudah sedia terendam di dalam tasik menunggu mangsa.
Tasik Bera memang terkenal dengan ikan-ikan air tawarnya, jadi tidak
hairanlah kalau pada hari itu agak ramai juga kaki pancing yang lain turut
leka dengan joran masing-masing. Tetapi ada juga antara mereka hanya datang
sekadar menonton gelagat pemancing bertarung dengan ikan-ikan di sini.

Zuuuupppp......, zuuuuppppp......, dua lagi pancing aku lepaskan. Cukup
kelima-lima pancing aku sedia menanti mangsa. Aku sedia menunggu dan mula
memasang angan-angan. Moga-moga pancing aku disambar kelah. Aku lihat Che
Din juga sudah mula menyandarkan badannya ke pokok bakau sambil menyedut
rokok gudang garam kegemarannya.
Matahari mulai terbenam, tetapi peliknya satupun joran aku tidak terusik,
Setelah beberapa kali mengganti umpan ternyata pada hari tersebut ikan
seolah-olah terlalu kenyang. Begitu juga dengan Che Din, aku lihat dia juga
gelisah menanti, satu demi satu rokok disambung, ikan tidak dapat-dapat.

Perut pun sudah mula menyanyi minta di isi, apa lagi akupun makanlah beb!
Sambil makan mata aku tak lepas dari terus memandang gigi air, entah macam
mana ada sesuatu yang menarik perhatian aku seolah-olah sedang menari-nari
di atas permukaan air tidak jauh dari tempat aku duduk. Aku amati objek
tersebut betul-betul untuk pastikan apakah bendanya. Sekali pandang macam
ikan terbang pun ada. Tapi hati kecil aku berkata sendiri mana ada ikan
terbang dan kalau adapun takkan bercahaya macam lampu pula.
Aku semakin mengamatinya tetapi apa yang lebih memeranjatkan ialah objek
tadi tiba-tiba berubah menjadi lembaga seperti kepala manusia dengan rambut
panjang menghurai dan muka yang cukup menggerunkan. Ia semakin menghampiri
dan aku dapat melihat dengan jelas wajahnya yang buruk serta dipenuhi ulat tersebut.

Dalam keadaan ketakutan dan menggigil ini aku cuba melaung nama Che Din
tetapi mulutku terkunci. Dalam pada itu, lembaga tersebut terus terbang
menuju ke arahku semakin lama semakin hampir. Aku terpaku dan tidak tahu nak buat apa yang aku dapat rasakan ialah seluarku mulai basah. Aku rasa semakin
lemah dan akhirnya tidak sedarkan diri.

Apabila aku membuka mata, aku sudah berada di rumah sewa dan jiran-jiranku ada di sebelah. Seribu satu persoalan bermain di benak ku, tetapi aku masih lemah untuk bertanya itu semua kepada Che Din. Che Din hanya memberitahu
yang aku disampuk. Apabila mengenang semula apa yang berlaku aku masih tak
dapat nak bayangkan rupa sebenar lembaga tersebut.

Che Din mengatakan dia melihat aku seolah-olah dipukau oleh sesuatu dan langsung tidak menghiraukan panggilannya. Melihat keadaan aku yang semakin
tidak terarah, Che Din kemudiannya mengemaskan semua kelengkapan memancing dan dengan bantuan beberapa orang pemancing lain di situ, aku telah diusungnya ke kereta dan di bawa pulang.

Sebaik sampai di rumah Che Din telah meminta bantuan Pak Imam, (jiran kami) barulah keadaan aku kembali pulih. Bagaimanapun hingga kini aku masih lagi
tidak dapat membayangkan apakah lembaga yang mengganggu aku ketika itu, aku menjadi serik untuk memancing di waktu senja.

No comments:

Post a Comment