Selalu tengok
fakta macamni kes-kes kat luar negara je ade, tetapi skang Malaysia pun
dah ade. Lepas ni mungkin jadi 11 fakta kot lepas tambah misteri MH370.
Mari kita tengok 10 fakta misteri tersebut.
10: Kematian Ratu Cantik
Jean Perrera
Sinappa merupakan bekas ratu cantik di mana suaminya meninggal dunia
dalam satu kemalangan jalan raya. Tetapi 4 bulan kemudian iaitu pada 6
April 1979, dia dijumpai mati di dalam kereta di Lebuhraya Persekutuan,
Kuala Lumpur. Bekas teman lelaki yang juga abang iparnya, Karthigesu
dijumpai tidak sedarkan diri di tepi jalan luar kereta tersebut. Apabila
Karthigesu sedar di hospital, dia mengadu dipukul di bahagian kepala
dari arah belakang.
Keputusan
mahkamah mendapati Karthigesu didapati bersalah membunuh Jean dan
dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Pihak pendakwaan mengemukakan kes
di mana Karthigesu dilihat cemburu apabila mendapati Jean mempunyai
hubungi sulit dengan doktor di Sri Lanka, Dr Narada Warnasurya.
Bagaimanapun, Karthigesu dibebaskan dua tahun selepas rayuannya
diluluskan di Mahkamah Rayuan.
9: Mana Anak Saya?
Beberapa tahun
lalu, berita tentang kehilangan kanak-kanak menjadi berita utama di
media tempatan. Bagaimanapun, kisah kematian Sharlinie Mohd Nashar lama
dimainkan media sebelum ia menjadi suram.
Pada 9 Januari
2008, Sharlinie, 5, bermain di taman permainan di kawasan rumahnya di
Taman Medan, Petaling Jaya bersama kakaknya sebelum dia didapati hilang.
Masyarakat mula memandang serius laporan tersebut apabila wujud watak
‘lelaki kucing’ setelah suspek dikatakan meminta mangsa mencari
kucingnya yang hilang.vKehilangan Sharlinie terus menjadi isu hangat
dalam media tempatan apabila kes itu timbul ketika kes kehilangan Nurin
Jazlin Jazimin masih lagi panas.
Polis yang meneruskan siasatan dilihat semakin ‘dingin’ dan kehilangannya masih lagi tidak diketahui hingga ke hari ini.
8: Kematian Gadis Yang Merobek Jutaan Hati
20 Ogos 2007,
Nurin Jazlin Jazimin, 8, telah pergi ke sebuah pasaraya berdekatan
rumahnya untuk membeli klip rambut sebelum di dilaporkan hilang. Saksi
kejadian berkata dia diculik dan dibawa masuk ke dalam sebuah van
berwarna putih di Wangsa Maju. Kehilangan gadis itu mendapat liputan
media yang luar biasa hinggakan nama dan mukanya boleh dikatakan
tersemat di fikiran setiap rakyat Malaysia pada ketika itu. Ratapan
sedih keluarga yang mengharapkan dia pulang ke pangkuan keluarga telah
menyentuh hati ramai pihak di mana rakyat Malaysia terus memanjatkan doa
supaya dia pulang dengan selamat.
Sebulan selepas
itu, seorang kanak-kanak dijumpai mati dalam keadaan berbogel di dalam
sebuah beg gim di Petaling Jaya. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV)
telah memberi sedikit sebanyak maklumat berkenaan suspek yang membuang
beg tersebut. Keluarga Nurin gagal untuk membuat pengecaman mayat akibat
kecederaan teruk yang dialami mangsa. Namun, ujian DNA mengesahkan
mayat tersebut adalah Nurin, kepada pasangan tersebut. Seorang wanita
Indonesia kemudiannya ditahan berkenaan kes tersebut tetapi kes itu
masih belum diselesaikan.
7: Apabila Keseronokan Bertukar Kematian
Norita
Samsuddin, 22, merupakan seorang anak gadis yang berasal dari negeri
utara tanah air yang mencuba nasib di kota raya, Kuala Lumpur. Mempunyai
susuk tubuh yang menarik, dia dikatakan menerima beberapa tawaran
sebagai peragawati namun menolaknya apabila dia ketika itu bekerja
sebagai eksekutif pemasaran di Transpro Sdn Bhd sebelum dia dijumpai
mati.
5 Disember
2003, Norita dijumpai mati di dalam bilik di sebuah pangsapuri mewah di
Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Mangsa dijumpai dalam keadaan berbogel dan
tangannya diikat menggunakan baju dalam dan beberapa wayar. Tiada
sebarang tanda dia dicederakan kecuali kesan cekik di lehernya dan
beberapa cebisan baju di dalam mulutnya. Jurutera, Hanif Basri
kemudiannya ditahan dan dituduh membunuh mangsa. Hanif dipercayai orang
terakhir yang menjumpai Norita pada malam tersebut dan pihak pendakwaan
cuba membuktikan dia adalah orang terakhir menjumpai mangsa ketika
mangsa masih hidup.
Bagaimanapun,
semasa perbicaraan berlangsung, dipercayai ada orang lain telah melawat
Norita selepas Hanif. Pertuduhan terhadap Hanif dilihat terlalu lemah.
Hanif dibebaskan selepas timbulnya teori konspirasi berkaitan kehidupan
sosial Norita selama ini. Mungkin segala yang benar telah dikuburkan
bersama Norita.
6: Benarkah Pelayan Yang Melakukannya?
Pembantu
Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan Negeri Sabah, Datuk
Norjan Khan Bahadar dijumpai mati di dalam sebuah bilik hotel di
Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu pada 11 Februari 2004. Norjan dijumpai
mati terbaring dalam keadaan lengkap berbaju di tepi katil dengan
beberapa kesan tikaman kecil di bahagian leher dan muka beliau. Polis
pada mulanya mengesyaki motif cemburu sebagai punca utama kematian
tersebut tetapi menukar kepada motif rompakan walaupun tiada barang yang
hilang di dalam biliknya.
Penyiasatan
membawa kepada penangkapan seorang pelayan, Azman Bakar di mana polis
percaya suspek cemburu melihat Norjan bersama lelaki lain. Ketika sidang
penghakiman, seorang saksi telah membawa seorang ahli perniagaan
Pakistan, Amir Khan. Beberapa bukti timbul semasa perbicaraan yang
menunjukkan Datuk Norjan mempunyai hubungan dengan Amir Khan walaupun
dia menafikannya.
Azman Bakar
kemudiannya dibebaskan apabila pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan
bahawa Azman pada faktanya mengenali Norjan. Tiada tangkapan lain
dibuat. Sekali lagi, kes misteri yang tidak diselesaikan.
5: Tragedi ‘Double Six’
Anda yang
menetap di Kuala Lumpur mungkin pernah melalui Taman Tun Dr Ismail dan
pastinya akan terperasan Jalan Tun Fuad Stephens. Namun, berapa ramai
sahaja yang tahu siapakah dia sebenarnya. Pastinya ada yang menjawab
beliau adalah bekas Ketua Menteri Sabah. Tetapi berapa ramaikah yang
tahu berkenaan kematian beliau yang penuh misteri dan kes tersebut masih
tidak diselesaikan hingga ke hari ini.
Pada 6 Jun
1976, Tun Fuad Stephens bersama beberapa pegawai kerajaan termasuk anak
sulung beliau, Johari menaiki pesawat Nomad GAF yang dikendalikan oleh
Sabah Air di Lapangan Terbang Labuan dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota
Kinabalu, pesawat itu terhenti dan terhempas lalu membunuh semua anak
kapal termasuk juruterbang.
Khianat disyaki
sebagai motif utama kejadian tersebut walaupun kemudiannya kelemahan
reka bentuk pesawat dilihat sebagai punca utama insiden tersebut.
Kematian Tun Fuad terjadi selepas 44 hari penggal kedua beliau sebagai
Ketua Menteri Sabah. Keadaan politik yang mengiringi kematiannya begitu
ironis kerana ia mempunyai kaitan dengan isu minyak dan gas di Sabah.
YM Tengku
Razaleigh Hamzah sepatutnya menaiki kapal terbang yang sama tetapi pada
saat-saat akhir telah di ajak turun daripada pesawat oleh Timbalan Ketua
Menteri pada masa itu iaitu Datuk Harris Mohd. Salleh untuk merasmikan
projek ladang lembu di Pulau Banggi, Kudat. Tengku Razaleigh yang juga
menaiki jenis pesawat yang sama telah diarahkan untuk menjauhi pesawat
sebaik sahaja mendarat di Kudat kerana dikhuatiri pesawat mengalami
masalah yang sama. Sebaik sahaja mereka mendapat berita buruk ini,
mereka telah di terbangkan oleh helikopter tentera ke Kota Kinabalu.
Sejurus pesawat
tersebut menjunam di kawasan air cetek, lokasi berkenaan menjadi
tumpuan orang ramai kerana ketika terhempas, ia dikatakan menggegarkan
kawasan itu. Malapetaka tersebut kemudiannya dikenali sebagai peristiwa
Double Six sempena tarikh kejadian itu iaitu 6/6/1976. Setahun selepas
kejadian tersebut, sebuah tugu peringatan didirikan di lokasi berkenaan
bagi memperingati tragedi itu yang merupakan salah satu peristiwa
penting negara.
4: Berakhirnya Kesengsaraan Kehidupan
Xo Jian Huang,
14, warganegara China telah dihantar untuk menetap di Malaysia bersama
sepupu bapanya. Bagaimanapun, pada 27 September 2005, dia dijumpai mati
lemas dalam sebuah kolam renang dengan 23 kesan dera di badan mangsa.
Siasatan membawa kepada penangkapan dan perbicaraan yang melibatkan tiga
lelaki yang dituduh membunuh Xu; bapa saudaranya seorang ahli
perniagaan, Koh Kim Teck dan dua orang pengawal peribadinya, Resty
Agpalo dan Mohd Najib Zulkifli.
36 hari
perbicaraan telah menyebabkan gelaran ‘Datuk Seri’ ahli perniagaan itu
dibatalkan. Bagaimanapun, disebabkan timbulnya keraguan yang tidak dapat
diselesaikan dan tidak terjawab, ketiga-tiga suspek itu bebas daripada
membunuh mangsa. Bukan itu sahaja, saksi yang sepatutnya hadir semasa
perbicaraan dikatakan telah hilang menyebabkan ketiga-tiga suspek itu
dilepaskan.
Memetik laporan
media pada 2010, pihak pendakwaraya membuat rayuan untuk menentang
tertuduh dan Koh yang terkenal dengan personaliti korporatnya berjaya
menghilangkan diri. Pada sidang rayuan, seperti dijangka, Koh tidak
menghadirkan diri pada semua sesi rayuan. Pada 2010, dia telah
dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan tetapi Koh masih menghilangkan diri.
Adakah dia yang menyiksa anak saudaranya? Adakah pengawal peribadinya
turut terlibat? Kenapa ada saksi yang hilang?
3: Wanita Ilmu Hitam
Kes tersebu
telah selesai. Pembunuh telah dihukum mati. Kes ditutup. Bagaimanapun,
apa yang terjadi di sekeliling dan keanehan pembunuh kes ini menyebabkan
ia masih tersenarai dalam carta ini. Pada 22 Julai 1993, polis menemui
mayat ADUN Batu Talam, Mazlan Idris yang dicincang. Bekas penyanyi yang
kemudian bertukar menjadi bomoh, Mona Fandey ditahan bersama suami dan
pembantu beliau.
Ketiga-tiga
mereka didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati. Hukuman mati
tetap dilaksanakan walaupun terdapat rayuan. Tiada siapa yang hidup pada
era 90-an boleh melupakan perbicaraan Mona Fandey – Mazlan Idris.
Mayatnya telah dicincang kepada beberapa bahagian selepas berlangsungnya
satu upacara ghaib dipercayai bertujuan untuk membawa lebih banyak wang
untuknya.
Mayat Mazlan
kemudian ditanam di stor berhampiran rumahnya di Pahang. Apa yang
dianggap sebagai ‘belum selesai’ ialah ketika kekejaman mereka itu
dibawa ke muka pengadilan. Sepanjang perbicaraan, Mona sentiasa berkata
“Aku takkan mati” dan kekal tenang dengan senyuman di bibirnya.
2: Tragedi Pembunuhan Ketua Polis Negara
Tan Sri Abdul
Rahman Hashim telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-3. Pada 7 Jun
1974, ketika Abdul Rahman berada di dalam kereta menuju ke Bukit Aman,
kereta yang dipandu Sarjan Omar Yunus yang melalui Jalan Tun Perak telah
dihujani beberapa das tembakan. Dua penyerang yang tidak dikenali telah
melepaskan 11 das tembakan pada kereta tersebut di mana tujuh das
terkena KPN.
Pada masa itu,
Malaysia sedang berusaha menentang kebangkitan kuasa subversif yang
datang dari kalangan ahli komunis. Dipercayai bahawa pemimpin Parti
Komunis Malaya, Chin Peng yang mengeluarkan arahan bunuh. Bagaimanapun,
ia tidak berjaya dibuktikan di mahkamah. Pada 1975, dua orang lelaki,
Lim Woon Choong dan Ng Foo Nam didapati bersalah membunuh Ketua Polis
Perak Tan Sri Khoo Choong Khong di Jalan Ashby di Ipoh.
Kemudian timbul
teori bahawa berkemungkinan penyerang tersebut adalah orang yang sama
menyerang Abdul Rahman walaupun tiada bukti kukuh. Lim dan Ng telah
dihukum mati pada tahun 1978 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA). Sehingga hari ini, masih tidak diketahui adakah benar mereka
berdua pembunuh upahan yang membunuh Abdul Rahman.
1: Tragedi Kemalangan Pesawat Negara
Pada hari Isnin
4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan rakyat
Malaysia dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS) apabila salah sebuah
pesawat miliknya terhempas dan mengorbankan banyak nyawa termasuk orang
kenamaan. Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama
tujuh krew penerbangan telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan
paya bakau dekat Kampung Ladang, Tanjong Kupang, Gelang Patah, Johor.
Rangka pesawat
itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira
dua kilometer persegi dari titik hentamannya. Peristiwa yang berlaku 34
tahun lalu itu juga meninggalkan memori hitam kepada sejarah negara
apabila ia turut mengorbankan Duta Cuba ke Malaysia yang pertama, Mario
Garcia Inchaustegui dan isterinya, Gladys yang dalam perjalanan pulang
ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar di Pulau Pinang.
Berdasarkan
kisah yang dinyatakan kepada umum, pada pukul 7.21 malam hari kejadian,
pesawat Boeing 737 yang dikendalikan Kapten G.K. Ganjoor dan
pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu sedang dalam perjalanan dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke
Lapangan Terbang Subang.
Sebelum sempat
melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Subang, Ganjoor sempat
memberitahu menara kawalan mengenai kehadiran pengganas di dalam pesawat
yang sedang dikendalikannya. Selepas mengetahui perkara tersebut, pihak
berkuasa Lapangan Terbang Subang segera mengosongkan laluan 33 bagi
membolehkan pesawat Boeing 737 kendalian Ganjoor dan Kamarulzaman
mendarat dengan selamat.
Bagaimanapun,
pesawat tersebut tidak sempat untuk melakukan pendaratan di lapangan
terbang itu, sebaliknya Ganjoor bertindak terbang semula ke awan dan
memberitahu menara kawalan yang dia diarahkan oleh pengganas untuk
menuju ke Singapura. Peristiwa ini mempunyai kisah misteri dan seramnya
tersendiri. Kira-kira pukul 8.15 malam, pesawat yang membawa 93
penumpang bersama tujuh krew penerbangan itu hilang dari radar menara
kawalan dan terhempas di sebuah kawasan hutan paya bakau di Tanjong
Kupang, Gelang Patah.
Selain
mengorbankan Mario Garcia dan usahawan Jepun, Tomio Gotto, tragedi
pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali
Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid;
Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; Timbalan
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican serta dua
pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime.
Beberapa
spekulasi bahawa ‘Japanese Red Army’ adalah pihak yang bertanggungjawab
tetapi tiada bukti ditemui untuk menyokong teori tersebut. Ia kekal
sebagai memori tragis dalam sejarah penerbangan komersial di Malaysia
dan kematian kesemua anak kapal pesawat berkenaan menjadikan tragedi
berada di tempat teratas senarai kami.
Kredit: MyNewsHub