MENU| Home | Facebook

Wednesday, 31 July 2013

hidup tanpa ketakutan menurut pandangan Fr Ron Rolheiser

By Fr Ron Rolheiser
Dalam kehidupan ini, kita mempunyai terlalu banyak ketakutan terhadap Tuhan. Ini adalah disebabkan oleh banyak faktor, mungkin disebabkan ketakutan tidak berasas kerana pengetahuan yang cetek atau disebabkan oleh peraturan-peraturan ketat sehingga menimbulkan perasaan takut yang terlampau, atau mungkin juga terlalu takut akan pembaharuan.

Pada akhirnya, semua kita bergelut untuk mempercayai bahawa Tuhan adalah Orang terakhir yang perlu ditakuti. Namun, kita semua mempunyai sebab tersendiri dan perjuangan peribadi menghadapi ketakutan terhadap Tuhan.

Sudah tentu, terdapat perasaan takut yang baik, ia bukan sahaja rasa takut kepada Tuhan yang baik tetapi juga rasa takut kepada sesiapa sahaja yang kita kasihi. Alkitab menjelaskan bahawa “takut akan Tuhan merupakan permulaan kebijaksanaan” tetapi ketakutan di dalam konteks ini bukanlah takut pada hukuman atau fanatisme.

Takut kepada Tuhan dalam erti kata yang sihat adalah berdasarkan kasih iaitu takut menjalani hidup yang bertentangan dengan semangat menghormati dan menghargai di kalangan orang tersayang. Dalam kata lain, kita takut kita melanggar batas-batas kasih yang sewajarnya.

Ketakutan seperti itu bukanlah takut kepada api neraka. Ketakutan merupakan lawan kepada iman dan timbulnya rasa takut yang tidak wajar adalah tanda ada sesuatu yang tidak kena dengan cinta kasih kita. Kita seharusnya tidak takut terhadap apa yang kita kasihi dan apa yang benar-benar mengasihi kita.

Segala elemen iman Kristian mengajak kita untuk bergerak ke arah Tuhan dengan intim, bukan takut. Malah, hampir setiap contoh di dalam Alkitab dengan nyata mengatakan Tuhan menjalani kehidupan biasa, meskipun kedatangan-Nya bermula dari pengumuman seorang Malaikat, sebuah fenomena yang luar biasa atau melalui penampilan Kristus dibangkitkan, tetapi perkataan pertama yang diucapkan, biasanya, “Jangan takut!” Ia jelas menenangkan kita, bukan memberi tekanan, kata-kata lembut dan menghiburkan ini adalah berasal daripada rasa kasih yang amat dalam.

Sambil menghayati perkara ini, saya ingin menawarkan sepuluh prinsip, semuanya berakar umbi daripada peribadi dan pewahyuan Yesus. Saya berharap, prinsip-prinsip yang saya nyatakan ini dapat membantu kita “menyucikan” imej Tuhan di dalam fikiran kita agar iman kita dapat mengusir ketakutan yang tidak wajar serta dapat menyemarakkan lagi iman kita.

Saya mulakan dengan sebuah kisah benar namun ia boleh dijadikan sebuah cerita perumpamaan untuk menyerlahkan dan mendedahkan rasa takut terhadap Tuhan yang tidak disedari. Ketakutan-ketakutan yang tidak kita sedari ini mungkin dalam bentuk takut bahawa Tuhan tidak memahami dan berbelas kasihan. Takut jika Tuhan tidak murah hati, berasa ragu jika Tuhan dapat memahami hati dan takut Tuhan tidak dapat membezakan di antara kelukaan serta kedinginan hati di antara ketidakmatangan dan dosa.

Ada juga yang berasa takut jika Tuhan hanya memberikan kita satu peluang sahaja dan takut kita tidak dapat menanggung apa-apa kesilapan atau ketidaksetiaan lagi. Takut bahawa Tuhan tidak menghormati kemanusiaan kita, bahawa Tuhan mencipta kita untuk satu tujuan sedangkan kita mahu cara lain untuk diselamatkan. Takut jika pencapaian- pencapaian kita tidak disukai oleh Tuhan dan dianggap sebagai orang zalim. Takut Tuhan tidak boleh menerima keraguan atau persoalan kita, menganggap Tuhan seperti pemimpin yang sentiasa resah. Takut jika Tuhan tidak memihak kepada kebudayaan dan intelektual dunia kita sebaliknya mahu ia diasingkan serta dilindungi seperti novis yang terlampau alim. Takut jika Tuhan kurang berminat dalam kehidupan kita, kurang prihatin akan penyelamatan dan dalam hal orangorang yang kita sayangi. Dan kita juga takut Tuhan tidak terdaya di dalam hal moral.

Berikut merupakan kisah perumpamaan. Beberapa tahun lalu, saya menghadiri majlis pengebumian seorang pemuda yang telah meninggal dunia akibat kemalangan kereta.

Pada masa kematiannya, jika dilihat pada luaran, hubungannya dengan Gereja dan beberapa prinsip moralnya juga tidak ideal: Beliau jarang menghadiri Gereja, hidup dengan teman wanitanya tanpa ikatan perkahwinan, tidak prihatin terhadap golongan miskin atau tidak bergaul dengan masyarakat, ringkasnya, beliau lebih suka hidup bersendirian.

Tetapi semua orang mengenalinya sebagai seorang yang berhati mulia dan penuh dengan sifat-sifat kebaikan. Hatinya tidak tercemar dengan sezarah niat jahatpun dan syurga akan menjadi tempat yang kurang lengkap serta kurang indahnya jika beliau tidak berada di situ.

Semasa majlis selepas upacara di Gereja, salah seorang ibu saudaranya berkata kepada saya, “Beliau seorang yang sangat baik, sekiranya saya sedang melalui pintu syurga, saya pasti akan bertemu dengan dia.” Saya bersetuju dengan wanita itu dan menambah, pasti Tuhan juga merasakan begitu kerana pemahaman dan pengampunan Tuhan mengatasi kemampuan akal fikiran kita.

Apakah sepuluh prinsip yang mengajak kita untuk mengurangi rasa takut di dalam hidup?

1. Pengetahuan dan pemahaman Tuhan mengatasi pengetahuan dan pemahaman kita sendiri.
2. Belas kasihan dan pengampunan Tuhan mengatasi rasa belas kasihan dan pengampunan kita sendiri.
3. Tuhan, menghormati alam semula jadi, sifat semula jadi manusia, cara dan kecenderungan semula jadi kita.
4. Tuhan adalah rahmat, bukan ancaman.
5. Tuhan mampu menjawab persoalan, keraguan dan kemarahan.
6. Tuhan mengetahui isi hati kita dan tahu membezakan antara kelukaan dan niat jahat.
7. Tuhan memberikan kita lebih daripada satu peluang, membuka pintu yang lain setiap kali kita menutup sebuah pintu.
8. Tuhan sentiasa mengharapkan keselamatan kita dan orang-orang yang kita sayangi lebih daripada yang kita sangkakan.
9. Tuhan adalah pencipta segala yang baik.
10. Tuhan boleh dan mampu turun ke neraka untuk membantu kita.

No comments:

Post a Comment