Jun 2010 - Ini adalah kes saya yang sukar dilupakan kerana memberi ia memberi impak
yang kuat di sepanjang penglibatan saya dalam kancah paranormal.
Di atas adalah ibu kepada salah seorang sahabat saya yang asalnya mempunyai
tubuh yang agak gempal. Namun keadaan berubah pada Mac 2010 apabila ibunya mengidap penyakit misteri yang menyebabkannya tidak dapat menelan makanan dan akan termuntah kembali semua yang disuap apabila digagahi juga.
Sahabat saya membawa ibunya ke klinik swasta dan seterusnya ke Hospital Sultanah
Bahiyah untuk pemeriksaan lanjut. Namun, setelah diperiksa oleh beberapa doktor
dan doktor pakar, penyakit ibunya masih tidak dapat dikesan.
Tidak mahu hanya berputus asa dan menyerah kepada takdir, sahabat saya membawa
ibunya ke Putra Medical Centre (PMC) untuk diperiksa oleh doktor-doktor pakar di sana.
Tetapi setelah pelbagai usaha dilakukan, termasuk menjalani ujian Magnetic Resonance
Imaging (MRI) Machine, malangnya masih gagal mengesan punca penyakit misteri itu.
Magnetic Resonance Imaging (MRI) Machine
Dari segi perubatan moden, ibu sahabat saya disahkan tiada sebarang penyakit dan doktor-doktor pakar sendiri menyarankan agar sahabat saya membawa ibunya untuk mendapatkan rawatan alternatif atau tradisional sebagai ikhtiar seterusnya
Mereka juga belum pernah menangani kes yang sebegitu dan amat hairan bagaimana ibunya masih boleh terus hidup walaupun berminggu-minggu tidak makan. Tegas pakar-pakar di PMC, biasanya manusia hanya bertahan selama 7 hari tanpa makan.
Setelah gagal mendapat jawapan melalui kaedah sains, sahabat saya dan ahli keluarganya yang lain mula berikhtiar secara tradisional dan alternatif pula. Sebut sahaja di mana ada bomoh atau pakar perubatan Islam yang terkenal, mereka akan mencubanya.
Namun usaha mereka bagaikan sia-sia malah keadaan ibu sahabat saya, semakin uzur.
Malah ramai di antara bomoh dan pengamal perubatan Islam yang ditimpa musibah atau
sakit secara tiba-tiba apabila cuba merawat penyakit ibunya. Mereka semakin buntu,
kerana hampir 4 bulan berlalu, masih belum menampakkan kesan yang positif
Kebetulan pada satu malam, saya menelefon sahabat saya itu kerana telah lama tidak berhubung dengannya. Pada masa itu, barulah saya mendapat tahu perihal ibunya yang sedang sakit itu. Saya pun bertanya, kenapa perkara ini tidak dimaklumkan kepada saya lebih awal untuk saya cuba ikhtiarkan ? Jawabnya, dia agak keberatan kerana bimbang saya akan menerima nasib yang sama seperti bomoh dan pengamal perubatan yang lain.
Saya menegaskan yang dia adalah sahabat saya dan ibunya juga adalah seperti ibu saya. Adakah saya akan membiarkan saja ibu saya menderita hanya kerana takut ?
Keesokannya, saya membatalkan semua urusan dan temujanji, untuk melawat ibunya. Saya cuba sedaya upaya mengawal perasaan, apabila melihat keadaan ibunya. Apatah lagi apabila saya membayangkan bagaimana jika ibu saya sendiri dalam keadaan itu
Pada masa itu, ibunya telah 4 bulan tidak makan dan lebih teruk lagi apabila sudah 1 bulan tidak dapat minum pula. Menurut sains, manusia akan mati jika hanya 3 hari tidak minum Saya bertekad untuk mengendalikan kes ini dan terus mendirikan Solat Hajat
Kemudian, saya sediakan sedikit Air Penawar untuk kegunaan sementara dan meminta sahabat saya atau ahli keluarganya yang lain, memberi minum dan disapukan ke muka serta badan ibunya. Saya akan mendirikan Solat Hajat lagi dan menyediakan Air Penawar yang lebih 'sempurna' lagi selepas ini dengan izin Allah.
Pelbagai andaian yang diberikan oleh bomoh dan pengamal perubatan Islam sebelum ini. Tetapi ramai yang mengatakan ibunya terkena buatan orang. Sahabat saya bertanya, apa pandangan saya ? Saya cuma boleh menjawab, kita cuba minta pada Allah untuk sembuhkan ibunya, yang lainnya, terserah kepada Allah untuk menentukannya.
Saya juga mengingatkan yang kita tidak boleh menuduh orang sebarangan tanpa bukti yang kukuh. Jika benar ianya buatan orang, InsyaAllah, mereka akan menerima padahnya nanti. Yang penting kita perlu ikhtiarkan tentang keadaan ibunya terlebih dahulu
Saya juga memaklumkan terlebih dahulu kepada mereka, berdasarkan pengalaman saya, keadaan ibunya adalah disebabkan ada jin yang 'menghuni' dalam tubuh ibunya. Jin itu sengaja menyekat ibunya daripada makan dan minum tetapi mengekalkan hayat ibunya supaya tidak mati. Jika benar ini buatan orang, mungkin mereka mahu mangsa menderita
Keadaan ini hampir serupa dengan orang yang memiliki saka. Contohnya mereka yang membela hantu raya. Tetapi keadaan mereka adalah berlainan kerana mereka sebenarnya sudah mati. Hanya saka berkenaan yang 'menghuni' mayat tuannya sehingga ada waris baru yang sanggup menerimanya. Keadaan tubuh tuannya adalah seperti mayat, akan bengkak, berbau dan berulat. Tetapi masih bergerak dan makan di waktu malam
Oleh itu, mereka perlu bersedia menerima hakikat bahawa kemungkinan besar ibunya akan meninggal jika jin tersebut dapat diusir dengan izin Allah. Ini kerana, keajaiban ibunya yang masih hidup tanpa makan dan minum itu, mungkin dibantu oleh kuasa sihir dari Jin itu Tetapi organ-organ dalam ibunya mungkin telah rosak teruk akibat ketiadaan zat makanan dan lebih teruk lagi apabila tidak mendapat sumber air yang mencukupi
Sahabat saya dan keluarganya faham dan bersedia meredhakan pemergian ibunya asalkan penyakit misteri itu dapat disembuhkan. Mereka juga mengakui, memang berat untuk kehilangannya, tetapi lebih tidak sanggup membiarkan ibunya terus menderita begitu
Walaubagaimanapun, saya menegaskan bahawa akan berikhtiar sedaya-upaya dalam memohon kepada Allah supaya ibunya kembali sihat seperti biasa. Saya meminta mereka juga agar turut sama mendirikan Solat Hajat dan berdoa, lebih-lebih lagi ayah kepada sahabat saya kerana itu adalah isterinya dan dia lebih afdal mendoakannya.
Apabila pulang ke rumah, saya mendirikan Solat Hajat selama beberapa hari dan menyediakan Air Penawar yang lebih 'sempurna'. Saya juga merayu bersungguh-sungguh kepada Allah semoga dapat melihat ibu sahabat saya itu kembali sihat
Alhamdulillah, Allah makbulkan doa-doa kami dan ibu sahabat saya semakin sihat dan boleh meminum sedikit air. Saya amat gembira menerima berita itu dan mengingatkan mereka agar terus berdoa sehingga dia benar-benar sembuh dan kembali sihat seperti sebelumnya
Namun, setelah pulih beberapa hari, akhirnya ibu sahabat saya meninggal juga di Putra Medical Centre (PMC) dan sekali lagi doktor-doktor pakar disitu kehairanan kerana semasa pemeriksaan sebelum ini, organ-organ dalamannya masih elok. Tetapi imbasan terakhir telah menunjukkan yang kebanyakkan organ-organ penting telah rosak teruk
Saya terkedu menerima berita itu. Walaupun sahabat saya dan ahli keluarganya yang lain tidak menyalahkan saya, tetapi saya merasa agak terkilan kerana inilah kes pertama yang berakhir dengan kematian walaupun ibunya telah sembuh daripada penyakit misteri itu
Selepas balik daripada pengkebumian, perasaan saya terlalu muram sambil memikirkan, apakah kesilapan saya kali ini ? Saya sedia maklum bahawa ini adalah ketentuan Allah, tetapi atas sebab yang tidak boleh dijelaskan, saya terus mencari kesilapan saya
Setelah beberapa hari, barulah saya mendapat ilham. ( amaran ! ini adalah 'Ijtihad' saya
sendiri dan tidak boleh digunapakai oleh orang lain kerana ia akan melibatkan akidah )
Semasa saya memohon untuk melihat ibunya kembali sihat, saya tidak nyatakan 'di mana'. Jika Allah tentukan tempatnya di Akhirat nanti, ia masih tidak menyalahi permohonan tersebut. Saya bertambah kagum dengan kebijaksanaan Allah dan akur dengan kebodohan saya sendiri. Walaupun Allah telah tentukan Qada dan Qadar, tetapi dalam masa yang sama, Allah tetap akan menjaga hati hamba-hamba yang amat berharap kepadaNya
Apa yang ingin saya tegaskan adalah, kita mesti berhati-hati dalam memohon doa. Seperti kisah dua orang yang ditangkap dan akan dikenakan hukum bunuh. Pada malam sebelum hari perbicaraan : Si Jahat, bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan memohon agar terlepas daripada hukuman. Manakala Si Baik begitu yakin dengan dirinya dan hanya sekadar berdoa agar Allah memberikan keputusan yang adil untuknya.
Keputusannya : Si Jahat dilepaskan kerana terdapat keraguan di atas tuduhan ke atasnya. Ini bermakna Allah menerima taubatnya dan memberi peluang kepadanya untuk kembali ke jalan yang benar dan menebus kesilapannya dengan melakukan perkara-perkara yang baik
Manakala Si Baik pula dijatuhi hukuman bunuh kerana pengadilan tidak memihak kepadanya walaupun hakikatnya dia tidak bersalah. Tetapi, sebenarnya Si Baik ini pernah membunuh seekor nyamuk sebelum itu dan apabila dia berdoa agar diadili seadil-adilnya, maka dia juga layak dikenakan hukuman bunuh. Di sini Allah ingin mengigatkan kepada kita, jangan sesekali berasa diri cukup sempurna dan jangan sesekali merasa selamat hingga tidak berdoa untuk memohon perlindungan daripada Allah, dalam apa jua keadaan
Berbalik kepada kisah ibu kepada sahabat saya, saya ingin mengajak agar kita sentiasa memohon perlindungan Allah setiap masa daripada sebarang bahaya samada zahir atau batin. Kita boleh amalkan membaca Ayat Qursi samada dalam atau selepas setiap Solat fardhu. Dengan izin Allah, kita akan terpelihara daripada sebarang bahaya di antara waktu-waktu Solat Fardhu yang kita lakukan 5 kali sehari semalam.
Dan tidak perlu saya jelaskan panjang lebar tentang kewajipan menunaikan Solat 5 Waktu dengan sempurna dan menjauhi dosa atau maksiat yang boleh menyebabkan doa kita tidak diterima bahkan akan mengundang musibah ke atas diri kita samada di dunia atau Akhirat
Al Fatihah
Sudilah tuan/puan sedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada arwah
sumber