MENU| Home | Facebook

Saturday 26 March 2016

Hantu Kepala Anjing


     Kejadian seram ini dialami oleh seorang budak perempuan yang ketika itu umurnya baru mencecah empat tahun.  Berlaku disebuah kem tentera dipenghujung tahun 1974.

     Kem Terendak, Melaka ialah kem dikalangan kem-kem terawal di Malaysia.  Kem yang ketika itu didiami oleh Rejimen Askar Melayu Diraja.  Malaysia masih belum aman maka banyaklah anggota-anggota tentera masuk hutan dan meninggalkan anak dan isteri demi tugas.  Termasuklah ayah kepada budak perempuan ini yang saya namakan SERIAYU.

     Seriayu seorang budak perempuan yang suka menyendiri.  Suka ketempat yang sunyi sambil bermain dengan patungnya atau membelek-belek buku cerita disudut rumahnya.  Ia cukup takut dengan kucing jadi tak hairanlah kalau dia suka berkurung dirumah.  Ibunya sibuk dengan adik-adiknya yang masih kecil seramai tiga orang serta abang-abangnya dan kakak-kakaknya.  Ia anak kelima diantara tujuh adik-beradiknya.

     Pada bulan September 1974, kedengaran desas desus dikalangan isteri-isteri tentera bahawa pada malam bulan penuh akan kedengaran lolongan anjing yang cukup sayu dan menyeramkan tepat pada pukul 12.00 tengah malam.  Anggota tentera yang berkawal pernah terserempak dengan kelibat atau bayangan orang yang berkepala anjing.  Maka banyaklah isteri-isteri yang dihantar suami balik ke kampung halaman sementara menunggu ia reda.  Isteri-isteri yang suami masih dihutan terpaksa bergilir-gilir tidur dirumah sebelah mengikut giliran sambil masing-masing berjaga malam sambil mengaji termasuklah ibu kepada Seriayu.

     Pada hari itu abang kedua Seriayu membeli kad mainan yang ditikamnya.  Kad-kad kecil yang dibelakangnya seperti daun terup tetapi gambar didepan adalah gambar-gambar robot disimpannya dibawah katil dengan cermat sambil diperhatikan Seriayu dari jauh.  Ia tahu yang abangnya itu tidak akan membenarkan Seriayu melihatnya apatah lagi memegangnya kerana ia terlalu sayangkan kad itu, takut Seriayu melipat atau mengeronyok.

     Malam itu adalah malam giliran ibu Seriayu tidur dirumah jirannya, maka ibu Seriayu telah memandikan anak-anaknya serta diberi makan malam lebih awal.  Lebih kurang pukul 9.00 malam selepas sembahyang Isya' ibu Seriayu membawa anak-anaknya kerumah jiran sebelah tanpa ia sedari yang Seriayu tidak turut serta dan ia telah menggunci Seriayu didalam sendirian.  Ibu Seriayu berbual-bual dengan kawan karibnya dan ia masih belum perasan akan ketiadaan Seriayu memandangkan ia suka menyendiri.  Tepat pukul 12.00 tengah malam lolongan anjing mula kedengaran dan semakin lama lolongan itu semakin dekat dan kedengaran dinding-dinding rumah dicakar perlahan-lahan.  Ibu Seriayu mula cemas dan menangis perlahan-lahan bila ia menyedari yang anaknya kurang seorang iaitu Seriayu.  Kak Lijah jiran ibu memujuk ibu yang ia akan meneman ibu pulang kerumah mencari Seriayu bila lolongan anjing itu berhenti.

     Dirumah Seriayu leka bermain dengan kad-kad didalam bilik abangnya tanpa menyalakan lampu kerana bulan terang dan takut yang abangnya akan marah jika ia tahu.  Lolongan anjing kedengaran sangat dekat memandangkan bilik abangnya terletak dibelakang sekali.  Bilik itu tidak berlangsir dan dengan bantuan cahaya bulan yang terang Seriayu dapat melihat dengan jelas makluk disebalik tingkap.  Makhluk itu berbadan manusia tanpa baju dan dipenuhi bulu-bulu yang jarang -jarang tetapi kepalanya, kepala anjing dengan mata yang merah menyala seperti bebola api.  Nasib baik Seriayu bermain dengan kad dibawah katil dua tingkat milik abang-abangnya dan tingkap cermin nako itu terbuka sedikit maka dapat ia melihat dengan jelas disebalik tepi katil.  Kuku-kuku makluk itu sangat panjang dan ia melibas keudara dan mencakar-cakar dinding dibilik tersebut tetapi Seriayu diam terkaku tanpa mengeluarkan suara mahupun bergerak sehinggalah makhluk itu melolong buat kali terakhir lalu pergi.  

     Kedengaran namanya dilaung ibunya dengan suara yang cemas bercampur sedih lalu Seriayu keluar dari bawah katil terus memeluk ibunya sambil menangis.  Ia menceritakan kejadian yang dialaminya lalu selepas malam itu ibu Seriayu memasang langsir tebal dibilik abangnya dan mereka sekeluarga tidur dirumah sendiri didalam satu bilik sehinggalah ayah Seriayu balik dari bertugas.  Bilik belakang di pakukan papan lapis oleh ayah Seriayu dan heboh orang bercerita yang makluk itu adalah orang yang salah menuntut ilmu kebal dan ia telah melanggar pantang-larang maka ia berubah pada setiap malam bulan mengambang.

     Kejadian ini benar dan kenapa makhluk itu timbul dan muncul waallahuallam.

TAMAT..

yang benar..
Masryarnida
                      Lakaran penulis
                       Hantu Berkepala Anjing

No comments:

Post a Comment