Saya Khai dan saya ada pengalaman yang agak seram di kawasan Outward Bound Singapore di Pulau Ubin. Ia berlaku pada dua minggu lepas. Ini adalah pertama kali saya diganggu oleh makhluk yang dipanggil Pontianak. Saya ke sana untuk ekspedisi pelayaran selama lima hari dengan kawan-kawan saya.
Pada malam pertama, kami tidur di dormitori. Dormitori kami terletak di penghujung bukit dan kawasan di situ agak sunyi dan gelap. Hanya ada beberapa lampu di situ. Dipendekkan cerita, saya dan kawan saya, Sopi disuruh untuk mengambil kawan saya di bilik rawatan yang terletak di kaki bukit. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam apabila kami sampai di dormitori kami. Kawan-kawan yang lain belum tidur sehingga pada waktu tengah malam. Tinggal tiga orang termasuk saya yang belum tidur.
Kami berbual-bual kerana tidak boleh tidur sehinggalah pada jam 1.00 pagi kami terdengar ketukan di pintu dormitori kami. Kami musykil. Tapi, ketukan itu bukan seperti ketukan manusia. Setelah ketukan di pintu berhenti, ketukan di tingkap pula bermula. Posisi katil kedua orang kawan saya kalau pusing ke kiri, mereka akan menghadap ke tingkap. Saya pula, kalau saya baring, kepala saya di bawah tingkap. Kalau buka mata, boleh nampak pandangan di luar. Berbalik pada cerita, kawan saya, Razak ternampak kepala Pontianak sedang menjenguk kami yang sedang berbual. Dia fikir itu hanyalah khayalan. Tetapi pada pandangan kedua, Pontianak masih ada di situ sedang menjenguk dan mengetuk tingkap menggunakan kepalanya.
Razak memberitahu Sopi dan saya jangan tengok ke arah tingkap. Kami pun tanya, "Kenapa? Ada benda apa di tingkap?" Yang si Razak ni setelah dia nampak, dia terus lompat dari katil ke bawah untuk tidur bersama kawan-kawan yang lain. Sopi pulak, bila dia nampak, dia terus pusing kanan dan tidur. Saya pula, dahlah tak percaya tetapi berasa musykil. Saya tengok kawan-kawan saya semua dah tidur. Saya punyalah pandai menjenguk tingkap hanya menggunakan mata saya. Semasa saya baring, pontianak itu melihat saya. Dengan matanya yang terbeliak dan amat merah.
Seperti ada darah di matanya.
Terasa seolah-olah Pontianak itu seperti betul-betul berada di atas saya. Saya punyalah takut. Lekas-lekas ambil selimut di kaki saya dan tutup seluruh badan saya. Semasa saya mengambil selimut, dia mengilai sekuatnya macam telinga saya ni nak pekak dibuatnya. Punyalah kuat.
Bayangkan, Pontianak itu seperti di atas saya sambil mengilai dengan matanya terbeliak dan merah melihat saya. Siapa tak takut??? Saya istighfar banyak kali, baca surah An-Nas dan zikir sampai saya tertidur.
Pada malam kedua dan ketiga kami tidur di atas kapal peleseran. Malam yang terakhir, saya menasihati kawan-kawan yang lain agar tidur siang kerana ada makhluk akan menggangu mereka jika tidak tidur siang. Tetapi mereka degil. Mereka berbual-bual di luar dormitori hingga jam tepat satu pagi. Salah seorang daripada mereka ternampak seperti ada kelibat putih masuk ke dalam dormitori. Pada waktu itu saya sudah tidur. Yang lain semua hendak tidur dan apabila mereka hendak masuk dormitori itu, kawan saya yang yang ternampak kelibat itu tak nak masuk. Dia pekik, "Ada benda!!! Aku tak nak masuk!!!" Pada waktu itulah saya terdengar pekikan kawan saya. Saya ketawakan mereka dan terus kembali tidur. Kawan-kawan yang lain tarik dia masuk ke dormitori. Bila semua dah masuk, pintu itu ditutup dengan sekuatnya. Mereka terdengar bunyian seperti bunyi jam yang sedang berdetik. Mereka terus baring di katil masing-masing dan semua terperasan ada Pocong di pintu. Semua terus tidur sehingga esok pagi.
No comments:
Post a Comment