MENU| Home | Facebook

Tuesday, 9 February 2016

Perbezaan Antara Jampi, Mentera, Serapah & Jampi Mentera.


Artikel pada kali ini akan membawa para pembaca mengetahui erti jampi, mentera dan serapah serta perbezaan antaranya. Masyarakat Melayu dan masyarakat lain di asia amat sinonim dengan jampi, mentera dan serapah baik dalam rawatan penyakit malah ia menjadi amalan dalam masyarakat dahulu kala. Jampi, mentera dan serapah sebenarnya telah wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Malah kaedah pengubatan menggunakan jampi telah wujud sejak zaman jahiliyyah lagi. Konsep kepercayaan kepada 'semangat' dan roh jahat serta animisme merancakkan lagi penggunaan jampi, mentera dan serapah dimana melalui penggunaannya menunjukkan bahawa manusia perlu bergantung kepada kuasa luar yang dikatakan dapat membantunya.

Jampi merupakan susunkata yang dipercayai dapat memberi kesan keatas perkara tertentu yang dihajati. Contohnya untuk menyembuhkan penyakit, air, minyak atau bahan tertentu yang dijampikan dan digunakan sama ada dengan menyapukan ketempat yang sakit atau dimandikan untuk menyembuhkan penyakit. Jampi juga digunakan oleh orang dahulu kala dalam melakukan amalan harian seperti ketika mandi, ketika menyikat rambut, ketika keluar rumah dan sebagainya sama ada bertujuan untuk kecantikkan, keselamatan dan sebagainya.

Berikut diperturunkan contoh jampi bagi tujuan pengasih:-

"Hey panah ranjunaku
Panah ke langit langit runtuh
Ku panah ke bumi, bumi tembus,
Ku panah ke laut, laut kering
Ku panah hati engkau,
Hancur lebur mabuk kasih sayang padaku
Berkat doa La ilaha iLlah
Muhammadu 'r-Rasulullah".

Jampi diatas merupakan salah satu contoh jampi yang mengandungi unsur-unsur Islam. Malah terdapat penggunaan kata La ilaha iLlah, ungkapan bismillah, sebutan nama Allah, malaikat dan sebagainya menunjukkan adanya pengaruh Islam diadunkan dalam jampi tersebut sedangkan sebelum kedatangan Islam jampi yang diungkapkan tidak langsung menggunakan ungkapan tersebut sebaliknya menggunakan perkataan yang kadangkala tidak difahami. Sungguhpun jampi diatas diakhiri dengan kalimah tauhid kepada Allah, ianya bukanlah membuktikan jampi tersebut dapat diterima di sisi syara'. Terdapat jampi yang mengaitkan dengan kalimah-kalimah tertentu yang tidak difahami, nama-nama yang tidak pernah diketahui, ungkapan lucah dan jahat dan diakhiri dengan kalimah tauhid jelas menunjukkan jampi tersebut menyimpang dari hukum syara'. Malah penggunaannya juga yang bertujuan tidak baik merupakan satu bentuk tujuan yang amat bertentangan syara'.

Sebuah hadis rasulullah jelas menunjukkan keharusan penggunaan jampi selagi mana ia bertujuan kebaikan serta menggunakan bahasa yang difahami dengan tidak mengandungi perkara dan perbuatan syirik kepada Allah. Auf bin Malik berkata, kami pernah menggunakan jampi mentera ketika jahiliyyah dahulu lalu kami bertanya: "Wahai rasulullah apakah pendapat kamu tentang perkara ini ?" Baginda menjawab: " Kemukakan padaku mentera kamu itu. Tidak mengapa jampi mentera itu selagi tidak mengandungi syirik".
Setiap masyarakat mempunyai kepercayaannya tersendiri termasuk dalam penggunaan jampi. Orang kristian mempercayaai penggunaan bible dapat menyembuhkan penyakit yang diakibatkan oleh rasukan jin, demikian juga dengan golongan hindu dan budha yang turut mempunyai jampi tertentu dalam menanggani masalah seharian. Masyarakat orang asli, masyarakat eskimo di kutub utara turut mempunyai ritual dan jampi mereka sendiri dalam menghadapi masalah. Kesemua jampi ini dihukumkan harus selagimana ia tidak menyandarkan kesembuhan dan keberkesanan jampi selain Allah disamping penggunaan bahan yang halal, perkataan yang difahami tidak mengandungi ungkapan yang menyekutukan Allah serta tidak juga menggunakan perkataan lucah atau apa-apa nama mahupun sebutan yang tidak difahami maksudnya.

Jampi juga boleh digunakan dalam apa-apa bahasa sekiranya bahasa tersebut difahami maksudnya serta tidak bercanggah dengan perkara diatas.

Atas dalil daripada hadis diatas, dapat disimpulkan bahawa jampi adalah harus disisi syara' sekiranya ia mempunyai ciri-ciri yang disebutkan diatas sebaliknya adalah haram disisi syara' sekiranya ia menggunakan ungkapan yang berikut:-

1. Menyebut perkataan yang tidak difahami maksudnya kerana dibimbangi perkataan yang digunakan merupakan kata-kata penyekutuan kepada Allah.

2. Memuja nama-nama jin dan syaitan mahupun nama-nama sembahan berhala

3. Menggunakan kata-kata lucah dan nista

4. Menggunakan bahan-bahan yang diharamkan seperti darah dan sebagainya serta sembelihan yang bukan kerana Allah.

5. Menyakini adanya kuasa lain selain Allah dalam menjayakan permintaan.

6. Penggunaa jampi dalam perkara kejahatan

Beberapa keterangan daripada hadis telah menjelaskan keharusan menjampi dengan bersandarkan kaedah yang dibenarkan syara' malah jampi juga turut boleh digunakan dengan menggunakan ayat al-Quran sebagaimana yang dijelaskan melalui kisah Abu Hurairah yang pernah menjampi ketua kampung yang disengat binatang berbisa dengan menggunakan al fatihah. Setelah dirujuk kepada rasulullah, baginda membenarkan tindakan Abu Hurairah dan meminta sebahagian daripada upah yang diberikan. Keharusan jampi ini juga dapat dilihat pada sebuah hadis dimana Abdullah b. Masud ia berkata ketika rasulullah S.A.W sedang bersolat, ketika sujud jari baginda telah disengat oleh seekor kala jengking. Lalu rasulullah s.a.w berkata:" Allah melaknat kala ini, juga dilaknat oleh nabi dan tidak pada yang lain.

Kemudian baginda berdoa pada sebuah mangkuk yang berisi air dan garam. Baginda meletakkan tempat yang kena sengat dalam air garam dan membacakan Qul huwa' Llahu ahad dan al-mu' awwizatain sehingga sembuh.

Ulama' sepakat menyatakan keharusan menjampi terutamanya dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran. Ulama' meletakkan taraf jampi seperti berikut:-

1. Menjampi dengan menggunakan ayat al-Quran dan doa para nabi yang terdapat di dalam al-Quran. Inilah yang terbaik

2. Menjampi dengan menggunakan jampi dan doa yang bersumber daripada hadis nabi s.a.w

3. Menjampi dengan menggunakan jampi atau doa-doa yang diamalkan oleh salafussoleh

4. Menjampi dengan menggunakan jampi yang difahami maksudnya dimana ianya mestilah menepati syarat berikut:

a) Jampi yang digunakan hendaklah tidak menyekutukan Allah

b) Jampi yang digunakan tidak memuja nama-nama jin dan syaitan atau apa sahaja nama-nama kerana dibimbangi ianya nama-nama berhala.

c) Jampi yang digunakan tidak menggunakan sebutan yang langsung tidak difahami manusia

d) Jampi yang digunakan tidak mengandungi kata-kata lucah, nista serta pembohongan.

5. Menyakini hanya Allah sahajalah yang memberi bekas atas setiap perbuatan.

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment