MENU| Home | Facebook

Tuesday, 9 February 2016

Perbezaan Antara Jampi, Mentera, Serapah & Jampi Serapah 2

Perkataan mentera berasal daripada perkataan sanskrit "mantra" yang bermaksud bentuk fikiran. Mentera asalnya merupakan ungkapan-ungkapan yang dianggap suci yang digunakan dalam pemujaan roh atau upacara magis. Perbezaan antara mentera berbanding jampi, mentera lebih banyak menyebut asal-usul sesuatu benda untuk tujuan yang sama seperti jampi. Adalah dipercayai kononnya dengan menyebut asal-usul sesuatu benda akan menyebabkan jin yang terlibat dalam pemujaan tersebut akan tunduk dan patuh terhadap setiap arahan tukang sihir tersebut.

Sesetengah tukang sihir bukan sahaja menggunakan ungkapan asal-usul malah dalam mentera mereka malah terdapat juga yang turut menggunakan ancaman terhadap jin-jin tersebut agar melaksanakan tugas yang diberikan.

Berdasarkan pernyataan diatas, bolehlah disimpulkan bahawa kehadiran mentera dalam dunia perubatan tradisional melayu adalah berkait rapat dengan sejarah kehadiran agama di tanah melayu. Sejarah mencatatkan bahawa kelompok masyarakat awal di Tanah Melayu pernah melalui perbagai zaman. Bermula dari menyembah dengan berasaskan kepercayaan animisme kepada kepercayaan budha, hindu dan kedatangan Islam telah mengubah kepercayaan karut ini kepada kepercayaan yang sebenar. Namun, pengamalan Islam yang tidak menyeluruh menyebabkan amalan-amalan syirik sebegini sukar untuk dihapuskan yang akhirnya berlakulah asimilasi dalam pengamalan. Sebagaimana jampi, mentera juga tidak terkecuali mengalami asimilasi. Ungkapan-ungkapan mentera sebahagiannya digabungkan dengan unsur agama Islam yang mana kadang-kala ianya amat mengelirukan pengamalnya. Hasilnya wujudlah ungkapan mentera seperti dibawah:-

"Hei ulat bulu
Aku tahu asal usulmu
Engkau bulu hidung Nabi Adam
Makanan engkau daun sekam
Engkau keluar dari daging anak adam
Kalau engkau tidak mahu keluar dari daging Adam
Aku sumpah engkau dengan berkat Allah
Berkat Doa: La ilaha illa 'Llah
Muhammadu r-Rasulullah."

Mentera diatas merupakan contoh penggunaan kata-kata asal usul serta penggunaan kata ancaman digunakan. Mentera diatas dipercayai digunakan dalam merawat santau. Terdapat maklumat palsu digunakan didalam mentera diatas dengan mendakwa ulat bulu berasal daripada bulu hidung nabi Adam. Ini satu pembohongan keatas Nabi Adam dan merupakan satu dosa.

Ungkapan asal-usulnya dan ancamannya kesemuanya tidak menunjukkan sebarang kebenaran. (ungkapan jampi diperolehi daripada :Santau Sebagai Satu Cabang Ilmu Sihir, 1995, Pencetakan Watan)
Melihat kepada maksud dan asal usul perkataan mentera yang berasal daripada bahasa sanskrit dengan sendirinya dapat memberitahu kita bahawa mentera merupakan ungkapan kata yang sudah tentunya bertentangan dengan syara'.

Saiful Adli b. Samsudin

No comments:

Post a Comment