MENU| Home | Facebook

Friday, 17 October 2014

Sihir Pemisah

soal jawab dgn Tuan Haji Lokman

Soalan :

Salam Tuan Haji Lokman. Nama saya Puan Tina dan saya baharu berkahwin selama dua tahun.  Kami belum lagi mempunyai cahaya mata. Sejak kebelakangan ini suami saya selalu bersikap dingin terhadap saya, perlakuan dia sangat berubah dan kami selalu bertengkar atas perkara-perkara yang remeh temeh.  Saya mengesyaki suami saya ada hubungan dengan perempuan lain dan ramai sahabat saya memberitahu kami mungkin dikenakan sihir pemisah.  Harap Tuan Haji dapat menjelaskan berkenaan sihir pemisah dan ayat-ayat yang boleh saya amalkan untuk mengatasi masalah ini.  Terima kasih.

Jawapan :

Dari Jabir r.a. berkata: Rasulullullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian ia mengirim pasukannya. Serendah-rendah mereka adalah yang paling besar dalam melakukan godaan/gangguan. Seorang dari mereka berkata, “Aku telah melakukan perkara ini dan itu”, maka berkata Iblis, “Kamu tidak melakukan apa-apa”, Kemudian seorang lagi datang dan berkata, “Aku tidak meninggalkannya (manusia) sehingga aku pisahkan antara suami dan isterinya”, Iblis berkata, “Ya, kamulah (yang betul hebat)”. - RiwayatMuslim
Hadis ini menjelaskan bahawa iblis dan bala tenteranya menjadikan pasangan suami isteri sebagai sasaran utama misi mereka untuk memecah belahkan anak cucu adam. Menjadi kebanggaan kepada mereka sekiranya terjadi pergaduhan dan penceraian antara setiap pasangan yang berumah tangga.
Merujuk kepada statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2009 sebanyak 27,116 kes perceraian telah dicatatkan  daripada sejumlah 135,136 perkahwinan didaftarkan pada tahun yang sama. Meskipun ianya bukanlah jumlah dominan jika dibandingkan dengan kadar perkahwinan, namun ia masih wajar untuk digusarkan.
Sekadar mengintai-ngintai statistik kadar penceraian mengikut negeri pada tahun 2008, Selangor mendahului dengan rekod kes sebanyak 3,558, diikuti oleh Kedah 2,407, Johor 2,329, Kelantan 2,266 dan Perak 1,951. Itu baru catatan untuk lima buah negeri, belum termasuk lagi negeri-negeri yang lain. Dan ia juga bagi kes yang berjaya didaftarkan secara rasmi namun bagaimana pula jumlah kes yang tidak dicatat dan mungkin terlepas pandang.
Banyak perkara yang menjadi pencetus kepada soal penceraian. Antara alasan wajib yang sering diberikan oleh pasangan-pasangan yang terlibat ialah sudah tidak wujud lagi persefahaman, kurang interaksi, masalah dalaman yang menemui jalan buntu, masalah kewangan dan adanya orang ketiga yang menggoda suami atau isteri, dan tidak terkecuali terdapat unsur-unsur sihir penyebab terjadinya penceraian.

Apa Itu Sihir Pemisah?

Sihir pemisah ini merupakan sihir yang seringkali  dilakukan untuk memisahkan pasangan suami isteri atas sebab tertentu yang selalunya berkaitan dengan masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya.  Sihir ini juga dikenali sebagai Sihir “at-Tafriq”.  Sihir ini mempunyai kaitan dan persamaan dengan sihir pembenci. Namun, ia lebih memfokuskan kepada pasangan suami isteri agar hubungan kedua-duanya bermasalah dan akhirnya membawa kepada penceraian. Ibnu Kathir ada menjelaskan bahawa setiap pasangan suami isteri yang terkena sihir ini akan mengakibatkan pandangan suami atau isteri terhadap pasangannya disihirkan sehingga kelihatan hodoh atau buruk samada dari rupa paras atau perilaku.
Antara medium yang digunakan untuk menjayakan sihir ini adalah menggunakan barang-barang yang berkaitan dengan mangsa seperti gambar atau pakaian, air atau minyak yang telah dijampi dan dicalitkan kepada mangsa atau diletakkan di laluan lokasi mangsa selalu kunjungi. Juga boleh dimasukkan ke dalam makanan yang mangsa terkadang-kala tidak menyedarinya.
Sebenarnya apa yang digunakan diatas hanya lah hiasan luar yang digunakan oleh pengamal sihir untuk mengaburi mata pelanggan-pelanggan mereka.  Pengamal sihir ini sebenarnya menggunakan jin-jin dalam simpanan atau belaan meraka sebagai pengantara ilmu sihir mereka. Apabila pengamal sihir tersebut mahu menghantar sihir kepada seseorang, pengamal sihir ini sebenarnya menghantar jin-jin yang telah membuat ikatan taat setia kepada pengamal sihir tersebut. Maka, jin-jin yang dihantar itu memasuki tubuh badan si mangsa dan mereka inilah yang melakukan kerosakan-kerosakan dalam badan manusia. Jin-jin tersebut akan mempengaruhi pemikiran, emosi dan nafsu manusia untuk melakukan perkara-perkara yang dihendaki oleh pengamal sihir tadi.
Antara simptom-simptom yang sering saya diberitahu oleh pesakit-pesakit yang terkena sihir pemisah atau pembenci ini adalah seperti berikut:
  • Timbul rasa benci yang bersangatan tanpa sebab yang jelas, yang berlaku pada salah seorang daripada pasangan, atau kedua-duanya sekali
  • Berlaku perselisihan faham, pertengkaran antara pasangan tanpa sebab, atau sebab-sebab yang kecil dan tidak munasabah, juga di kalangan anak-anak yang menyebabkan suasana keluarga sentiasa tegang dan kucar-kacir
  • Timbul rasa was-was syaitan dalam hati yang boleh menyebabkan isteri takut mendekati suami. Terasa seolah-olah suami hendak menganiayai isteri atau sebaliknya
  • Timbul rasa cemburu yang melampau sehingga menyebabkan isteri rasa berang kerana mensyaki si suami telah menduakannya, padahal suami tidak berbuat yang sedemikian. Keadaan seperti ini boleh menyebabkan isteri melarikan diri, enggan duduk berhampiran suami ataupun tidur sebilik
  • Rasa resah gelisah, sakit kepala dan buntu selagi pasangan berada di sampingnya, dan merasa lega sebaik-baik sahaja pasangan keluar dari rumah atau berada jauh dari pasangan
  • Berlaku perubahan rupa pada pandangan mata. Isteri mungkin melihat suami dengan rupa yang menakutkan atau sentiasa marah dan bengis, atau suami melihat isteri dari pandangan yang hodoh. Apa yang dilakukan oleh pasangan semuanya serba tak kena
  • Timbul desakan dalam jiwa suami untuk menceraikan isteri tanpa sebab yang jelas. Dalam hatinya timbul bisikan-bisikan yang dia telah melafazkan cerai, padahal si suami tidak berhasrat langsung berbuat demikian. Kadang-kadang lafaz cerai itu benar-benar keluar dari lidah seolah-olah ada satu kekuatan dari dalam diri melepaskan tanpa dapat dikawal. Isteri pula kadang-kadang meminta cerai bertalu-talu sambil mencabar suami berbuat demikian dalam keadaan tidak dapat mengawal diri. Ini kadang-kala membawa kepada pergaduhan fizikal di antara suami dan isteri

Rawatan Akibat Sihir Pemisah

Di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah ini tidak menggunakan khidmat makhluk halus (samada jin Islam, khadam, syaitan atau iblis) dan tidak juga menggunakan sebarang perantaraan. Ianya berdasarkan kepada 3 amalan utama iaitu:
  • Amalan Bacaan Al-Quran
  • Berdoa memohon kepada Allah (s.w.t)
  • Memperbanyakkan Zikir (Laila hail’lallah)
Selain dari 3 amalan ini, perubatan ini menggunakan air mineral. Untuk rawatan sihir pemisah, perawat-perawat sedaya upaya berusaha untuk menangkis ilmu sihir yang dikenakan kepada mangsa dengan izin Allah s.w.t. Antara prosedur rawatannya:-
  • Jin-jin dan/atau sihir-sihir didalam tubuh badan hendaklah dikeluarkan melalui kaedah yang telah dipraktikkan oleh perawat-perawat Al-Hidayah (dengan izin Allah s.w.t) dan pesakit hendaklah datang berjumpa dengan perawat untuk rawatan
  • Membaca ayat-ayat Al-Quran khusus untuk sakit ini serta mohon doa kepada Allah s.w.t untuk sembuh dari penyakit ini

Senarai Bacaan Ayat-ayat Penawar Untuk Mangsa Sihir Pemisah

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit gangguan ilmu sihir pemisah akan diberi ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.  Ayat-ayat tersebut adalah:
  • Surah Al-Baqarah ayat 165 hingga 186, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t
  • Surah Al A’raaf  ayat 146 hingga 159, baca 3 kali selapas solat Subuh atau siang hari dan mohon doa kepada Allah s.w.t

Penutup

Ancaman sihir yang berlaku saban hari ini bukanlah suatu metafora atau omongan kosong semata-mata. Ianya adalah realiti yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat kita di luar sana. Selagi ada rasa dendam, dengki dan iri hati, selagi itulah iblis serta bala tenteranya akan terus berusaha menjerumus manusia kepada perkara-perkara yang terkeluar dari landasan syariat Islam. Tiada jalan lain untuk menangani masalah sihir yang dihadapi selain dari mendekatkan diri kita kepada Allah.  Firman-Nya yang bermaksud;
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu)” - Surah At-Taghaabun Ayat 11\
Dirikanlah solat dan berdoalah kepada-Nya agar kita sentiasa dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi untuk menghadapi ujian dan dugaan-Nya. Mohonlah kepada-Nya untuk membantu kita untuk terus istiqamah dalam beribadah kepada-Nya, diberi kekuatan untuk bermujahadah melawan serta menangkis segala hasad dengki manusia dan tipu daya iblis laknatullah. Kerana, sesungguhnya hanya Dia yang Maha Pelindung dan Maha Mengabulkan doa-doa hamba-Nya.


sumber:http://www.alhidayah-medic.com/coretan-hj-lokman/sihir-pemisah

No comments:

Post a Comment