Misteri Sulur Bidar
Sulur
Bidar merupakan makhluk misteri yang popular diceritakan oleh kaki
pancing dan orang-orang lama. Sulur Bidar ni dikatakan ditemui di
sekitar tasik dan sungai besar seluruh Malaysia antaranya Tasik Kenyir,
Tasik Banding Royal Belum, Tasik Chini dan Sungai Pahang. Tasik Kenyir
contohnya, Sulur Bidar sering dikatakan akan muncul semasa musim hujan.
Nama lain Salur Bidar turut dikenali sebagai Hantu Balung Bidai.
Menurut
cerita orang-orang di sekitar tasik Sulur Bidar mempunyai bentuk
fizikal yang aneh iaitu berbentuk sehelai permaidani atau tikar putih.
Selain itu terdapat empat kepala di setiap penjuru. Sulur Bidar
dikatakan akan menggulung mangsa lalu menariknya ke dalam air selama
beberapa hari.
kedatangannya dapat dikesan
melalui buih-buih atau pusaran yang muncul secara tiba-tiba bersama
dengan daun-daun yang berada di dasar tasik timbul di permukaan
air. Daun-daun yang timbul tadi apabila diambil ianya kering walaupun
muncul dari dasar tasik seolah-olah ada "sesuatu" yang telah memerah
atau mengeringkan daun tersebut. Menurut orang-orang tua daun yang
timbul tadi boleh dibakar walaupun ia dari dasar tasik. Sekiranya
tanda-tanda tersebut telah muncul anda disarankan melaungkan azan dengan
kuat untuk menghindarkan diri dari makhluk tersebut.
Terdapat
cerita mengenai seorang pemancing yang terserempak Sulur Bidar lalu
cuba membaling mata kail ke arahnya namun ia menembusi badan makhluk
tersebut. Kebenaran makhluk ini belum dapat dibuktikan secara saintifik
walaupun ada yang mendakwa pernah menangkap gambarnya.
Sulur Bidar mempunyai pelbagai
versi, penemuan serta pandangan yang berbeza. Di bawah ini beberapa
versi yang akan diketengahkan.
Versi Pertama
Sulur Bidar dikatakan berbentuk
tikar putih, mempunyai kepala seakan-akan labi-labi di setiap penjuru
dan mempunyai kaki kecil seperti ulat gonggok yang banyak di
sekelilingnya.
Versi Kedua
Ada sesetengah berpendapat Sulur
Bidar merupakan haiwan seperti ular besar yang menjalar di atas air dan
ada juga mengatakan ia mempunyai kepala yang bulat serta rambut
dipenuhi ular berbisa.
Versi Ketiga
Sulur Bidar dikatakan adalah
seekor ular besar (Ular Bidang) yang berbentuk leper seperti permaidani
yang berukuran 4 meter x 4 meter.
Versi Keempat
Sulur Bidar yang ditemui Red
Indian kelihatan seperti minyak beku terapung di permukaan air yang
dapat melemaskan mangsa serta mampu memasuki lubang bot untuk menangkap
mangsa.
Versi Kelima
Sulur Bidar merupakan makhluk
halus dalam kepercayaan orang Melayu. Kemungkinan ia terdiri daripada
jin atau syaitan yang suka mengganggu manusia. Ia juga dikatakan
semangat jahat yang tinggal di dalam air. Ia menyerupai tikar mengkuang
yang hanyut dan akan menggulung serta melemaskan mangsanya.
Versi Keenam
Masyarakat Sunda menggelar Sulur
Bidar sebagai Leled Samak. Leled bermaksud menggulung manakala samak
bermaksud tikar. Kepercayaan mereka mengatakan Leled Samak bermula
apabila tikar bekas alas memandikan jenazah telah dibuang ke dalam
sungai yang kemudiannya diserap oleh makhluk halus penunggu sungai.
Maka
secara ringkasnya Sulur Bidar merupakan makhluk sangat misteri yang
belum lagi menemui jawapannya. Begitu banyak pendapat, pandangan dan
penemuan namun sehingga kini soalan yang belum lagi terjawab iaitu
apakah sebenarnya Sulur Bidar?
No comments:
Post a Comment