.Seorang pemandi jenazah berkongsi tentang pengalamanya...
HATI saya mula rungsing. Mayat yang sedang saya mandikan menyebabkan
bulu roma saya tegak, seram, seluruh badan berasa hangat serta tidak
tenteram. Bukanlah keadaan mayat yang cuma separuh sahaja itu yang
sebabkan saya rasa seram, tapi ada sesuatu yang lain yang saya rasakan
ada bersama-sama kami, yang mengganggu kami. Keadaan mayat tersebut
memang mengerikan sebab cuma bahagian pinggang kebawah saja yang saya
dan kawan-kawan saya uruskan. Mayat yang dalam lingkungan umur 30-an itu
dijumpai terapung di dalam laut selepas beberapa hari dicampak ke situ.
Baunya memang busuk. Walaupun demikian sekali rupa mayat tersebut,
namun ia tidak menyeramkan saya.
Sudah bermacam-macam mayat yang pernah
saya uruskan yang lebih dahsyat dan lebih ngeri daripada itu. Tapi mayat
yang ini lain macam sedikit. Semasa memandikan jenazah itu bulu roma
saya terus tegak. Tapi saya uruskan juga sambil membaca ayat-ayat suci
al-Quran, khususnya ayat kursi, terus saya baca. Berdasarkan pengalaman
lepas-lepas, jika begitu perasaan yang saya alami, maknanya jenazah yang
saya uruskan bukanlah dari kalangan mereka yang dicintai Allah. Apabila
sudah selesai menguruskannya, kami hantar jenazah tersebut ke kawasan
perkuburan.
"Encik, jangan kebumikan dulu jenazah ini, sehingga
saya datang ke sini semula," pesan saya kepada penggali kubur. Saya
tidak dapat turut serta kerana saya perlu menghantar dahulu juruurus
jenazah wanita yang dipanggil satu jenazah. "Insya-Allah," jawab
penggali kubur tersebut. Saya tinggalkan dia tanpa memberitahu kepadanya
bahawa mayat tersebut bermasalah. Bagi saya ini perkara aib, tak
perlulah saya jelaskan kepadanya. Selepas menghantar juruurus jenazah
wanita, saya balik ke kawasan perkuburan tersebut. Hajatnya untuk
sama-sama mengebumikan jenazah berkenaan, namun apaliba tiba di
kuburnya, saya tengok ia sudah dikebumikan. "Tak apalah ustaz. Saya dah
kebumikan. Dah selesai," kata penggali kubur tersebut. "Alhamdulillah.
Tak apalah, saya balik dulu."
Namun apabila masuk sahaja ke
dalam kereta, saya rasa seperti ada sesuatu yang mengekori.
Seolah-olahnya mayat itu ada dalam kereta untuk mengikut saya pulang ke
rumah. Perasaan seram kembali semula. Dengan serba sedikit ilmu yang
saya tahu, saya cuba halau ‘benda’ itu. Namun saya tahu saya gagal dan
ia mengekori hingga ke rumah kerana pada malam itu saya berperang
dengannya.
Kira-kira pukul 11 malam, ketika kami sekeluarga hendak
tidur, saya mula rasa lain macam. Isteri dan anak saya juga gelisah
seperti ada sesuatu yang menggangguperasaan mereka. Perasaan seram
kembali datang. Bulu roma saya meremang. Satu demi satu ayat saya baca
dan kemudian hembuskan hingga syaitan itu pergi meninggalkan saya.
Biasanya saya gunakan surah al-Fatihah, tiga Qul, ayat Qursi,
amanarrasul dan satu ayat lain yang terakhir. Alhamdulillah saya
berjaya, tapi tidak lama kemudian, gangguan itu datang kembali. Sekali
lagi saya bacakan ayat-ayat tertentu dan hembuskan ke arahnya. Untuk
sementara waktu, ia lari meninggalkan saya. Rupa-rupanya gangguan itu
cumalah permulaan. Semakin larut malam, tindakannya semakin agresif.
Apabila saya mula hendak melelapkan mata, ia kembali semula dan mencucuk
tubuh saya. Saya tersentak dan tidak jadi tidur.
Saya lihat sekeliling,
tapi tiada apa yang saya nampak kecuali gelap. Saya baca ayat-ayat
tertentu dan gangguan itu berhenti seketika. Memikirkan gangguan itu
sudah berakhir, saya cuba melelapkan mata. Namun apabila saya hampir
terlena, ia datang semula dan mencucuk pusat saya. Sekali lagi
tersentak. Begitulah yang berlaku seterusnya. Punggung dan badan saya
dicucuk apabila hendak melelapkan mata. Setelah hampir sejam diganggu,
akhirnya gangguan itu terus berhenti. Saya tidur tanpa sebarang gangguan
lagi. Alhamdulillah, itulah sekali saya diganggu oleh syaitan daripada
mayat berkenaan.
Telahan saya bahawa gangguan tersebut berpunca
daripada mayat yang saya uruskan pada siang harinya memang berasas.
Sebabnya ialah tidak berapa lama kemudian saya mendapat berita bahawa
penggali kubur itu telah sakit selama sebulan. Sejak mengebumikan mayat
tersebut, hidup penggali kubur itu mula tidak tenteram kerana diekori
oleh ‘mayat’ berkenaan. Apabila dia masuk saja ke pejabat, dilihatnya
mayat itu berada di dalam pejabatnya. Apabila dia masuk bilik mandi, di
situ juga ada mayat. Pendeknya ke mana sahaja dia pergi, di bilik tidur,
di ruang tamu, di bawah pokok atau di mana sekalipun, pasti dia akan
ternampak mayat itu. Akibatnya dia sakit selama sebulan dan meracau yang
bukan-bukan. Selepas puas berubat, akhirnya dia sembuh seperti sedia
kala. Mungkin ada yang mengatakan cerita saya ini karut, atau sengaja
direka, tapi percayalah, ia memang benar-benar terjadi. Bagaimanapun,
alhamdulillah, kejadian itu memberi iktibar yang besar kepada saya.
Dari segi syarak, gangguan yang kami alami itu dilakukan oleh iblis
menyerupai mayat untuk menakutkan kita supaya kita berhenti daripada
menguruskan jenazah. Gangguan seperti ini jangan dilayan kerana
menguruskan jenazah adalah ibadah. Saya yakin gangguan yang kami lalui
berpunca daripada ilmu hitam yang diamalkan oleh lelaki tersebut.
Menurut pendapat sesetengah orang, gangguan seperti itu berlaku kerana
lelaki berkenaan membela jin dan syaitan untuk dijadikan khadam
melindunginya. Bagi yang menuntut ilmu kebal, salah satu cara untuk
membunuhnya ialah dengan membuang separuh mayatnya ke dalam sungai atau
laut dan separuh lagi dibuang di darat. Itulah syaratnya kerana kalau
kedua-dua bahagian tubuh itu dibuang di darat, atau kedua-duanya dibuang
ke dalam air, ia akan bercantum dan mayat tersebut akan hidup semula.
Itulah cerita yang saya dengar, betul atau tidak wallahuaklam. Nasihat
saya, janganlah dituntut ilmu yang bukan-bukan, yang bersahabat dengan
syaitan.
#sumber dari kisah seram dan misteri#
No comments:
Post a Comment