Sunday, 3 December 2017
seram kot - Disihir Oleh Pelanggan
-Saya ingin menceritakan tentang kejadian yang tak pernah berlaku
ketika menjalankan tugas saya. Saya adalah seorang jurujual di Singapura, kerja
saya bertemu dengan pelanggan. Tak perlulah saya menceritakan lebih
lanjut tentang pekerjaan saya kerana anda akan tahu apabila anda
membaca kisah saya ini.
Saya dan isteri bersama seorang pelanggan di rumahnya di kawasan Toa
Payoh. Selepas selesai saya menjalankan tugas saya, beliau
menhidangkan kami air minuman dan makanan ringan. Sedang kami
berborak-borak dan berbual kosong, tiba-tiba pelanggan kami itu yang
kami gelarkan "kakak", terus senyap DAN MENUNDUKKAN KEPALANYA KE
BAWAH. Isteri saya mula merasa gelisah dan tidak boleh duduk diam
serta rasa kepanasan. Saya bertanya kepada isteri kenapa beliau
semacam resah dan gelisah? Isteri saya berkata, "Saya rasa macam tak
sedap, macam ketakutan, tapi tak tahu apa yang saya takutkan. Telinga
saya macam rasa sebal seperti menaiki kapal terbang. Berdesing!"
Tiba-tiba kakak tersebut memberi salam seperti suara seorang nenek
tua, "Assalamualaikum..." Isteri terperanjat, disebabkan isteri duduk
di sebelah kakak itu. Saya macam nak ketawa pun ada. Ingatkan dia
berdrama. Muka isteri saya dah pucat lesi macam nak pengsan. Kakak itu
berkata dengan suara itu lagi, "Saya tahu apa terjadi dengan kamu,
saya tahu siapa yang tidak suka dengan kamu. Mari sini, duduk dengan
mbak. Biar mbak jelaskan siapa gerangan orang yang menghantar sihir
kepada awak. Sihir itu juga mahukan isteri kamu sukar untuk hamil!"
Bila dia berkata begitu, saya langsung tidak percaya. Tergamam dan
tidak bersuara. Adakah ini perkara yang benar atau permainan
semata-mata? Berdiri bulu roma. Isteri saya langsung tidak bersuara
kerana terlalu ketakutan. "Nenek tua" yang telah merasuk kakak tadi
itu langsung menceritakan hal2 saya, siapakah musuh saya, dan SIAPA
DIA!!! Gerun tapi tak percaya... Astaghfirullah... Hati ini tak
habis-habis beristighfar. Pelanggan saya yang tadi menurun, tiba-tiba
balik ke asalnya dan bertanyakan kepada suaminya apakah yang berlaku?
Saya tahu yang bercakap tadi itu mungkin adalah saka milik kakak
tersebut. Mungkin dia sendiri tidak tahu yang dia ada saka ini.
Apabila saya balik ke rumah, saya menelefon ibu saya, Saya ceritakan
hal ini dengan ibu saya. Secara kebetulan, ada ustaz yang hendak
datang ke rumah saya untuk menyemah rumah kami sebab saya baru pindah.
Ustaz itu pun sudah membuat temujanji untuk bertemu dengan kami
sekeluarga pada keesokan malamnya selepas Isyak untuk berubat.
Pada esok malamnya, semasa saya sedang berubat, saya terasa begitu
panas seperti sedang membara, padahal alat pendingin hawa jelas di
depan saya dengan suhu 16 Celsius. Saya berpeluh-peluh seolah-olah
sudah lama berlari-lari anak. Beberapa minit kemudian, saya rasa ada
sesuatu yang keluar dari tubuh saya dan saya rebah ke lantai
kepenatan. Memang benar rupanya kata kakak itu ketika beliau dirasuk,
sihir itu berjaya duduk di dalam badan saya selama ini dan saya tak
perasan. Saya rasa ringan selepas itu. Isteri saya cuma terkena
tempias sihir itu.
Selepas "berubat", isteri mimpi ada orang menyeru nama penuh beliau
lalu sembur ke mukanya. Dia tersedar sekitar pukul 4 pagi lalu
terdengar ketukan yang dasyat di tingkap seolah-olah seperti ada orang
hendak masuk ke dalam.. Tak boleh tidur dibuatnya. Sekejap lagi,
terdengar lagi. Lebih kuat, kali ini saya tersedar. Kuat sangat sampai
bergegar bilik tidur saya. Bayangkan, rumah saya berada di tingkat
tinggi.
Mulai dari malam itu, saya lebih berhati-hati untuk bercampur dan juga
makan minum di rumah orang. "Buat-membuat" orang ini masih lagi wujud
lagi pada zaman ini. Astaghfirullah. Semoga orang itu mendapat taufik
dan hidayah. Kita sama-sama cari rezeki, sama-sama mahu berjaya. Tidak
perlu hendak berlumba dan membunuh kerjaya masing-masing. Itu sahaja
cerita saya.
Selamat tengah malam dan terima kasih...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment