MENU| Home | Facebook

Wednesday, 11 May 2016

Misteri ikan & ular gergasi di Teluk Bahang

Empangan Teluk Bahang yang merupakan empangan tadahan air terbesar di Pulau Pinang kekal dengan misteri tersendiri yang semakin membimbangkan apabila ia dikatakan menjadi habitat ikan naga dan toman yang boleh mengancam keselamatan pengunjung terutama pemancing.Beberapa penduduk mendakwa pernah melihat kedua-dua jenis ikan bersaiz gergasi di empangan tersebut yang kini sudah diwartakan sebagai kawasan larangan bagi kaki pancing.
Selain bahaya kedalaman empangan tersebut yang menjadi punca ia diwartakan sebagai kawasan larangan bagi orang awam, cerita dari mulut ke mulut mengenai kewujudan ikan toman di empangan tersebut turut memberikan kesan tersendiri.
Seorang penduduk, Rosnani Ahmad, 37, berkata, dia pernah diberitahu rakannya yang juga seorang kaki pancing tentang penemuan ikan besar di situ sejak beberapa tahun lalu.
Kata rakannya, kali terakhir dia pernah terlihat kelibat ikan naga dan ikan toman bersaiz sebesar pemeluk sewaktu dia mengunjungi empangan tersebut pada Oktober tahun lalu.
Kira-kira tiga tahun sudah, penduduk di Teluk Bahang, Pulau Pinang juga kecoh apabila seekor ular tedung gergasi muncul di kawasan itu. Ular itu dipercayai mempunyai ukuran sebesar tiang elektrik berkemungkinan masih lagi tinggal di satu kawasan berhampiran Empangan Teluk Bahang.
Berita mengenai kemunculan ular itu tersebar melalui satu rakaman video 34 saat yang menunjukkan ular gergasi itu sedang meniti di hujung julai pokok-pokok balak berhampiran kawasan itu. Namun sehingga kini belum ada keputusan yang jelas mengenai perkara itu. Tidak ada mana-mana pihak yang membuat kajian atau menjalankan usaha untuk mengesan spesies yang luar biasa sebegitu.
Infiniti cuba menjejak siapakah perakam video itu dan mendapati ia datang daripada seorang pekerja yang melakukan pembersihan di kawasan itu. Pekerja itu yang mahu identitinya dirahsiakan memberitahu, dia merakam video itu secara tidak sengaja.
Waktu itu, dia sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan berhampiran empangan itu. Kemudian, muncul satu bunyi pelik berdekatan hutan kawasan itu. Tidak lama kemudian, seekor ular tedung yang ganjil sebesar tiang elektrik muncul di celah-celah daun sedang meniti di atas pokok.
Katanya, dia tergamam melihat ular itu yang mempunyai kulit seakan-akan warna keemasan, berkepala hitam dan dianggarkan mempunyai ukuran sebesar tiang elektrik meluru ke arahnya. Ular itu menghampiri dan cuba mematuknya. Namun, serangan itu hanya sekali sebelum ia beredar memasuki ke hutan itu semula.
Sementara itu, bagi Idris Sirim, 25, dari Kampung Nelayan, Teluk Bahang, kisah ular besar itu memang wujud di situ. Malah katanya, berkemungkinan ia lebih daripada seekor kerana ular tedung biasanya akan hidup berpasangan. Ia merupakan sejenis ular yang suka memburu jadi tidak mustahil, ia akan muncul lagi.
Bagaimanapun, sejak kisah ular itu disebarkan, belum ada lagi kes penduduk di serang ular ini atau terserempak dengannya. Penduduk di kawasan Teluk Bahang juga tidak pernah nampak kelibat ular tedung sebesar itu sebelum ini.
Jelas Sirim, kebanyakan penduduk mengaitkan ular itu sebagai ‘penunggu’ kawasan itu. Mengikut cerita mitos, pernah dulu ada seorang pencari hasil hutan pernah tersesat di dalam hutan itu. Setelah malam, pencari tidak berdaya cari jalan keluar, lalu berteduh pada sebatang pokok. Tidak semena-mena, muncul seorang lelaki menjemputnya ke sebuah pondok yang tidak jauh dari situ. Setelah hilang penat, lelaki itu menghantar pencari hasil hutan ini keluar dari hutan dan berpesan kepadanya agar tidak lagi merosakkan tanaman dan membunuh binatang di kawasan itu. Keesokannya, pencari hasil hutan itu sekali lagi pergi ke kawasan itu dan mendapati laluan masuknya terhalang oleh kulit ular yang amat besar. Dia kemudiannya tidak berani lagi masuk ke situ.
Bagaimanapun, jelas Idris, suatu ketika dulu, terdapat seorang warga emas yang gemar membela binatang buas termasuklah ular. Dia tinggal di pinggir hutan itu. Selepas warga emas itu meninggal dunia, semua binatang peliharaannya pun hilang ke dalam hutan itu.

Sumber

No comments:

Post a Comment