KAMPUNG GAJAH - Penduduk gerun, takut dan bimbang keluar malam. Itu gambaran situasi semasa sebahagian besar penduduk Kampung Balun Bidai di sini, selepas digemparkan dengan kisah penemuan pocong sejak seminggu lalu.
Lebih menggemparkan, ada laporan memetik pengakuan penduduk yang mendakwa terserempak dengan lembaga tersebut menunjukkan muka, berlegar-legar malah bergolek-golek di hadapan mereka sekitar kawasan masjid di kampung itu.
Kawasan sekitar masjid baharu yang dalam proses pembinaan kini dianggap lokasi 'panas' dalam kampung, ramai yang mula resah untuk melalui kawasan tersebut lebih-lebih lagi di waktu malam, seboleh-bolehnya mahu dielak daripada melintas di kawasan jelmaan pocong itu.
Tabung masjid kena pecah
Namun, dalam pada penduduk resah dengan kisah pocong, wujud satu lagi situasi lain yang membimbangkan penduduk kampung. Dalam hangat-hangat penduduk bercerita mengenai penemuan hantu itu, berlaku satu kejadian tabung masjid kampung dipecah.
Perkara itu didedahkan ketua kampung, Hamaidi Ismail yang bimbang kehangatan kisah pocong masuk kampung diambil kesempatan pihak lain untuk melakukan jenayah.
“Saya tidak menafikan kerana kita harus percaya makhluk ghaib memang wujud namun di dalam kes ini saya juga tidak mengiakan kerana saya sendiri tidak pernah mengalaminya.
“Daripada cerita penduduk juga mereka hanya mengatakan ternampak seperti kelibat bayang-bayang sahaja dan bukannya hantu yang bergolek-golek seperti yang didakwa,” katanya.
Katanya, dalam kehangatan orang ramai bercerita tentang penemuan hantu itu, berlaku satu kejadian yang tidak diingini iaitu tabung masjid telah dipecah.
“Inilah yang kita khuatir sebenarnya, takut pocong jadian sahaja untuk cuba menakutkan penduduk dan dalam masa yang sama turut melakukan kejadian jenayah.
“Kita tidak menyedari pihak yang tidak bertanggungjawab ini cuba mengambil kesempatan tetapi kita lebih suka untuk menyebarkan perkara yang tidak betul.
“Saya amat berharap perkara ini dapat dihentikan kerana banyak implikasi buruk yang berlaku. Saya juga telah membuat laporan polis berkenaan isu ini bagi meredakan keadaan,” katanya.
Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya tetap melakukan rondaan keselamatan di kawasan kampung.
“Kami juga akan mengadakan bacaan Yasin pada setiap minggu untuk mengembalikan keyakinan penduduk kampung.
“Sebenarnya isu ini tidaklah besar namun menjadi hangat disebabkan penyebaran melalui internet sehinggakan perkara yang tidak benar juga turut tersebar,” katanya.
Nampak bayang wanita
Penduduk Kampung Balun Bidai di sini nyata terkejut dengan berita penemuan hantu pocong sehingga menakutkan penduduk untuk keluar rumah pada waktu malam.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zara, 22, mendakwa, dia pernah terlihat bayang-bayang menyerupai wanita namun tidak dapat mengagak sama ada ia bayang manusia atau sebaliknya ketika berjaga sehingga jam 1 pagi menguruskan premis kafe sibernya.
“Pernah satu ketika saya terlihat kelibat bayang-bayang di sebalik pokok pisang yang menyerupai wanita namun saya sendiri tidak pasti sama ada ia makhluk halus atau bayang-bayang biasa sahaja.
“Keadaan pada waktu itu pula gelap dan pelbagai kemungkinan boleh ditafsirkan berkenaan bayang-bayang itu,” katanya.
Katanya, dia amat terkejut apabila penduduk kampung mula heboh memperkatakan penemuan pocong bermata merah sedang bergolek-golek dan melompat-lompat.
“Saya sendiri terkejut bagaimana cerita itu boleh timbul kerana saya tidak melihat keadaan seumpama itu dan hanya melihat bayang-bayang sahaja,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Reen, 22, berkata, rumahnya paling hampir dengan kawasan yang dikatakan pocong ditemui.
“Kami sekeluarga tidak pernah terjumpa atau terlihat sebarang kelibat bayang-bayang atau sebagainya sepanjang tinggal di sini dan berulang-alik ke masjid.
“Ayah saya bilal di masjid ini dan setiap pagi akan keluar ke masjid untuk azan subuh tetapi tidak pula berjumpa dengan pocong.
“Begitu juga dengan abang saya yang kadang-kala balik pada jam satu atau dua pagi tidak pernah bertembung dengan sebarang kelibat yang mencurigakan,” katanya.
Katanya, dia sendiri mengetahui berkenaan cerita itu melalui lama sosial yang hangat memperkatakan mengenai isu itu.
“Saya merasakan ada pihak yang cuba membesarkan isu ini untuk menakutkan penduduk bagi tujuan-tujuan tertentu sedangkan ada penduduk kampung yang langsung tidak mengetahuinya,” katanya.
Jangan mudah percaya
Umat Islam di negeri digesa menjauhi perbuatan menyebarkan maklumat palsu di laman sosial sehingga menimbulkan kegelisahan orang ramai.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, masyarakat perlu memastikan sumber berita tersebut.
“Macam kes pocong di Kampung Balun Bidai, saya harap masyarakat tidak terlalu taksub kepada perkara itu agar tidak menjadi ‘kepercayaan’ pula.
“Jika dia nampak sekalipun, tidak perlu dia menceritakan kepada orang lain bagi tujuan menyampai. Perkara ini boleh menimbulkan ketakutan, pergaduhan dan lain-lain lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mohd Nizar menambah, masyarakat dinasihatkan tidak mudah terpengaruh atau bersemangat untuk berceritakan tentang kewujudan pocong sehingga menakut-nakutkan orang ramai.
“Adalah lebih baik ia diisi dengan pelbagai aktiviti ilmu seperti mengadakan bacaan Yasin atau solat hajat agar memohon kepada ALLAH SWT supaya dijauhkan daripada gangguan jin dan syaitan.
“Apabila kita dah dapat berita kita perlu pastikan daripada mana datangnya sumber berita tersebut sebelum terus menyebarkannya, jadi saya harap janganlah besar-besarkan lagi berita seperti ini,” katanya.
http://malaysiagazette.com/sites/default/files/styles/inode/public/field/image/chinapress_3.jpg?itok=ppxxqbPp
Penduduk Kampung Tersusun Balun Bidai di Teluk Intan, Perak tidak lagi berani keluar rumah pada waktu malam selepas pertempatan tersebut dikejutkan dengan insiden pocong bergolek.
China Press melaporkan, beberapa penduduk kampung mendakwa telah terserempak dengan pocong yang bergolek atau melompat-lompat pada larut malam.
Seorang penduduk berumur 22 tahun memberitahu akhbar itu, dia terserempak dengan pocong ketika mahu ke tandas di belakang kedai pada pukul 2.30 pagi pada suatu hari.
"Pocong itu turut mengeluarkan kepala dan matanya yang kemerahan, ia memang menakutkan.
"Pada masa itu terdapat beberapa pelanggan dalam kedai, saya segera menutup kedai dan meninggalkan kedai bersama dengan mereka," katanya.
Seorang lagi penduduk berumur 25 tahun memberitahu bahawa dirinya terserempak dengan pocong ketika menunggang motosikal secara berseorangan pada kira-kira pukul 9 malam.
"Pocong tersebut melompat ke arah saya dan saya pula memecut meninggalkan tempat itu," katanya.
Dalam pada itu, ketua kampung enggan mengesahkan mengenai kejadian pocong bergolek yang menjadi perbualan hangat penduduk kampung, namun satu pasukan rondaan telah ditubuhkan untuk menenteramkan penduduk kampung.
No comments:
Post a Comment