Pada mulanya dia menyangka objek bulat yang terawang-awang di dalam
semak, di atas bukit belakang rumah orang tuanya itu, hanya sehelai daun
terap kering yang tersangkut pada sawang labah-labah.
Sebab itu, dia terus melangkah ke depan bersama dua rakannya, tanpa
berfikir apa-apa yang pelik akan dihadapinya hari itu. Bagaimanapun
apabila objek bulat itu didekatinya, peluh di badannya terus saja
tersimbah.
Matanya tidak berkelip dan jantungnya pula bagaikan mahu gugur apabila
terpandang objek bulat berwarna coklat kehitaman itu adalah tengkorak
manusia. Paling mengerikan tengkorak itu pula terbang ke kiri ke kanan,
seperti mahu menghalang perjalanannya, sambil asap mula keluar
berkepul-kepul.
Ketika itu dia dan dua orang kawannya bercadang menyumpit monyet di atas
bukit, terpaksa membatalkan hasrat mereka. Dalam sesaat itu juga mereka
berlari susup-sasap pulang ke rumah.
Tidak cukup dengan gangguan tengkorak terbang, beberapa hari selepas itu
dia diganggu pula dengan kehadiran seorang perempuan berbaju putih yang
dilihatnya duduk di dahan pokok tinggi. Bukan dia saja yang melihatnya,
malah dua rakannya juga terpandang perempuan berbaju putih berkilat di
atas pokok itu.
Dua kisah itu adalah antara gangguan yang pernah berlaku di perkampungan
Orang Asli Bukit Cahaya Seri Alam, di Shah Alam beberapa tahun lalu,
sebelum berakhir apabila sebuah surau dibina di situ dan ramai pula
penduduknya memeluk agama islam.
Cerita menyeramkan mengenai gangguan tengkorak berterbangan dan langsuir
itu diceritakan sendiri oleh Ramli Hamid, 31, dalam kunjungan ke
pekampungan Orang Asli bersempadan dengan Taman Pertanian Bukit Cahaya
Seri Alam, baru-baru ini.
Ramli memberitahu, dia yakin tindakan sebahagian besar penduduk di situ
memeluk Islam adalah antara punca sehingga kini makhluk halus tidak lagi
muncul dan mengganggu.
“Walaupun kejadian itu berlaku beberapa tahun lalu, saya tetap ingat dan
apabila difikir-fikirkan,terasa betapa agung kebesaran Islam. Manakan
tidak, apabila ramai orang kami memeluk Islam dan surau pula dibina di
sini, gangguan itu tidak berlaku lagi !” katanya seperti lega.
Ketika menceritakan kejadian terserempak tengkorak manusia berterbangan
di atas bukit di belakang rumah orang tuanya, Ramli memberitahu ketika
itu dia bersama dua rakannya mendaki bukit pergi menyumpit.
“Kejadin itu berlaku ketika senja. Masa itu fikiran kami hanya ingatkan
monyet yang mahu disumpit. Sebagai anak Orang Asli yang biasa dengan
hutan, kami juga tidak pernah menyimpan rasa takut. Kalau takut pun
hanyalah untuk berhati-hati kalau-kalau terserempak binatang buas
seperti harimau,” beritahunya.
Bagaimanapun, hasrat menyumpit terbantut tiba-tiba apabila dia
terpandang satu objek bulat macam sehelai daun terap kering. Ia
bergantung-gantungan di atas bukit tempat dia dan kawan-kawannya
mendaki.
“Apabila semakin dekat, apa yang saya sangkakan tenyata meleset. Selepas
diamat-amati, barulah saya tahu objek bulat itu sememangnya tengkorak.
Sudah tentu kami tergamam !” katanya.
Menurut Ramli, tengkorak itu kelihatan mengacah-acah ke arah dia dan
kawan-kawannya beberapa kali seperti mahu menghalang mereka meneruskan
perjalanan ke atas bukit. Ketika itu hari memang sudah senja dan keadaan
pula mulai gelap.
Ramli pada mulanya merasakan dia seperti bermimpi, tetapi apabila dua
kawannya yang lain juga memberitahu nampak tengkorak yang sama, dia
terus berlari pulang. Dia diikuti kawan-kawannya. Mereka tidak menoleh
ke belakang lagi kerana terlalu terkejut terpandang tengkorak terbang.
“Selepas kejadian itu kami bertiga demam seminggu. Saya tak tahu
sebabnya. Bagaimanapun saya rasa mungkin juga sebab terkejut diganggu
tengkorak terbang yang kami nampak di atas bukit itu,” katanya.
Kejadian itu menurut Ramli memang dilihatnya sendiri dan bukan
diceritakan berdasarkan fantasi. Bagaimanapun, dua rakannya yang turut
sama melihat gangguan tengkorak itu tiada di perkampungan itu. Mereka
belum pulang bekerja.
Gangguan yang pernah berlaku, menurut Ramli lagi tidak berakhir di situ.
Tidak cukup dengan gangguan tengkorak terbang, beberapa hari selepas
itu Ramli mengalami gangguan yang lain pula.
Ketika itu, Ramli dan kawan-kawannya dalam perjalanan pulang dari kedai,
kira-kira pukul 11.00 malam. Mereka berjalan kaki, menyusur jalan
berbukit sebelum sampai ke perkampungan Orang Asli yang sebelum itu
dikenali dengan nama Kampung Orang Asli Air Kuning.
“Pada masa mula-mula mendaki jalan bukit yang di kelilingnya penuh
hutan, saya dah rasa hati berdebar-debar. Saya buat tak kisah, sambil
itu berjalan terus untuk pulang ke rumah.
“Tapi ketika tiba berdekatan tangki air, bulu roma saya tiba-tiba
menegak sebaik saja hidung mula terhidu bau wangi pada sebelah malam
kata orang tua-tua, biasanya menandakan ada makhluk halus tidak jauh
dari kawasan itu.
“Saya kuatkan hati supaya tidak takut. Tapi kawan-kawan saya di sebelah
mula saling berpandangan. Mungkin mereka juga terhidu bau wangi itu.
Belum sempat kami bertanya atau bercakap apa-apa, saya terpandang satu
lembaga wanita berbaju putih labuh di atas pucuk pokok yang tinggi,”
katanya.
Serentak itu, tambah Ramli,kawan-kawannya mencuit tangan masing-masing.
Ramli memang nampak wanita itu duduk sambil tubuhnya terhayun-hayun
setiap kali dahan pokok itu ditiup angin.
“Tidak lama selepas itu kami terdengar bunyi perempuan ketawa dan
mengilai. Memang bunyi itu datangnya dari arah wanita di dahan pokok
yang tinggi itu. Kami tercegat ketakutan. Tapi masih juga melihat wanita
berbaju putih di atas pokok itu,” katanya.
Pada masa itu, kata Ramli, dia teringat kata-kata orang tua-tua di
perkampungan Orang Asli itu. Wanita berbaju putih yang sering duduk di
dahan pokok tinggi dan mengilai itu adalah langsuir.
“Dalam gelap malam, kami berlari laju mahu sampai segera ke rumah
masing-masing. Teringat pada perempuan berbaju putih itu, kami teringat
pula pada tengkorak terbang di kampung kami sebelumnya,” kata Ramli
lagi.
Apabila tiba di rumah, badannya terus sahaja menggigil dan beberapa hari pula dia diserang demam lagi kerana terkejut.
Menurut Ramli, dia terdengar orang tua-tua kampung itu berpendapat,
gangguan yang berlaku mungkin berpunca daripada kuasa halus yang meracau
dan bebas lepas, terutama apabila ada kubur lama di perkampungan itu
dikatakan diceroboh pihak tertentu sebelum itu.
Selepas itu, dua tiga kali lagi dia dan kawan-kawannya terserempak
dengan gangguan yang sama, terutama daripada tengkorak yang dilihatnya
sering terbang di kawasan berbukit tidak jauh di belakang rumahnya.
Hanya apabila ramai Orang Asli di kampung itu memeluk agama Islam
beberapa tahun lalu, barulah Ramli dan kawan-kawannya perasan gangguan
langsuir dan terngkorak berterbangan itu tidak lagi berlaku.
“Apabila surau mula dibina di sini, saya dan kawan-kawan rasa banyak
sangat perubahan yang berlaku. Gangguan yang pelik-pelik semakin tiada.
Kami tidak lagi melihat tengkorak berterbangan ataupun langsuir duduk di
dahan pokok tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, satu hal yang Ramli percaya hingga kini ialah dengan
pembinaan surau di kampung itu memberi rahmat yang cukup besar kepada
penduduk Orang Asli di situ.
“Setiap kali azan kedengaran dari surau, kami rasa kampung ini nyaman
dan tidak diganggu makhluk halus lagi. Saya percaya makhluk halus tidak
berani mengganggu lagi kerana perkampungan ini ada surau dan sering
kedengaran azan setiap kali masuk waktu sembahyang,” tambahnya.
Tuk Batin perkampungan itu, Mat Shah Abdullah, juga mengesahkan ada anak
buahnya memberitahu gangguan yang dihadapi termasuk gangguan tengkorak
berterbangan seperti dialami Ramli.
“Saya belum pernah terserempak, tapi memang anak buah saya ada mengadu
mereka melihat sendiri tengkorak dan langsuir yang diceritakan itu. Apa
yang diceritakan Ramli itu pernah juga diceritakan kepada saya,”
katanya.
Bagaimanapun, seperti Ramli, Mat Shah juga percaya gangguan makhluk
halus itu mula hilang apabila penduduk di situ semakin ramai memeluk
Islam dan selepas sebuah surau dibina untuk kegunaan mereka beibadat.
Kini Mat Shah dan Ramli yang berkerja sebagai Pembantu Am di Masjid
Negeri Shah Alam, bersyukur kerana kampung mereka semakin aman.
Namun Mat Shah sentiasa memastikan anak-anak buahnya tidak bercakap
besar selepas beberapa tahun tidak lagi terserempak gangguan tengkorak
dan langsuir yang menakutkan itu.
“Sebagai orang Islam kita kena percaya pada Allah Taala. Bagaimanapun,
jangan sampai lupa diri dan sering pula bercakap besar kerana Allah
Taala boleh menguji kita bila-bila masa sahaja,” katanya.
Mat Shah yakin perkampungan yang mereka duduki itu bukan sahaja akan
lenyap daripada segala gangguan atau cerita-cerita misteri makhluk
halus, tetapi turut akan terus maju tidak lama lagi.
Malah beliau tidak segan-segan bercerita mengenai cadangan kerajaan
untuk memajukan tanah perkampungan Orang Asli itu tidak lama lagi.
Dengan cadangan pembangunan yang telah dirancang kesemua penduduk Orang
Asli di situ akan memiliki rumah yang dikatakan setaraf reka bentuk dan
nilainya dengan rumah banglo, milik orang berada.
“Saya dengar rumah yang akan diberikan kepada kami itu bernilai lebih
RM200,000,” kata Mat Shah sambil tersenyum memberi makna berterima kasih
kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi perhatian pada nasib Orang
Asli Selangor (HAK)
No comments:
Post a Comment