NAZRUL AZAT JAMIL, 30, ada masalah dengan lori. Apabila mendengar
sahaja bunyi lori dan bas bergerak, hatinya menjadi tidak tenang.
Jantungnya mulai berdegup pantas.
Ketakutannya terhadap kenderaan-kenderaan berat bukan main-main.
Segala-galanya bermula ketika dia mengambil ujian memandu buat kali
pertamanya empat tahun lalu.
Menaruh harapan untuk lulus, Nazrul bagaimanapun gagal dalam ujian
tersebut. Semuanya gara-gara dia terserempak dengan sebuah lori ketika
memandu.
"Waktu itu, kereta saya nyaris-nyaris bergesel dengan lori. Jarak
lori itu pun sangat dekat... kira-kira sejengkal sahaja. Saya jadi takut
dan memandu pun tak betul.
"Lagipun, saya pandu kereta Kancil. Jadi, lori di tepi rasa macam nak
hempap saya. Terus instruktor suruh saya berhenti tepi jalan dan dia
ambil alih," katanya kepada
Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.
Dicengkam perasaan takut yang berlebihan, Nazrul hanya berani
mengambil semula ujian memandu enam bulan kemudian. Malah, sehingga ke
hari ini, perasaan takut itu belum lenyap.
Rasa takut
Pantang nampak kelibat kenderaan besar dan tinggi di lebuh raya, dia
pasti akan memperlahankan keretanya. Alasannya cukup mudah. Semoga lori
dan bas itu boleh meluncur pergi, membawa bersama-sama perasaan
takutnya.
DALAM kebanyakan kes, fobia berlaku kerana rasa takut jika diri dicederakan.
Setiap kali memandu, anak kedua daripada enam beradik itu akan
menggenggam erat dan merapatkan dadanya di stereng. Bagi pustakawan itu,
tindakan tersebut disifatkan selamat andainya berlaku apa-apa
kecelakaan.
Sebelum memiliki kereta, Nazrul gemar menumpang kereta kawannya untuk
pergi balik ke pejabat. Lima bulan kemudian, dia membeli sebuah kereta
Proton Gen-2.
Malangnya, saiz kereta sedan itu tidak sedikit pun membantu
menyingkirkan perasaan takutnya. Lebih teruk lagi, jadualnya ke tempat
kerja kini sudah berubah.
"Sepatutnya saya masuk kerja pukul 9 pagi. Tetapi, 6.30 pagi saya
sudah keluar rumah. Balik pun lewat. Semata-mata nak guna jalan raya
yang lengang. Tak nak bertembung dengan lori," tambahnya sambil
tersipu-sipu.
Sedangkan jarak dari rumah Nazrul ke pejabat hanya memakan masa 10 minit!
Lelaki bertubuh gempal itu rupa-rupanya mempunyai lebih daripada satu
jenis fobia. Dengar, sebut, tengok dan terbau darah, tubuhnya akan
menggeletar, selain berpeluh meskipun dalam bilik berhawa dingin.
Penglihatannya boleh jadi kabur dan dia seperti hendak pengsan.
Ironinya, ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah
Alam, dia terpaksa mengharungi satu sesi pendidikan Persatuan Bulan
Sabit Merah (PBSM) yang memeritkan. Duduk di depan kelas, sepanjang
tempoh penjelasan bab pendarahan berlangsung, perasaan Nazrul bagaikan
air yang berkocak tidak menentu.
"Saya tak sabar-sabar nak keluar dari kelas. Nasib baik hanya satu
kelas PBSM," ujar penghidap hemofobia yang juga mempunyai fobia terhadap
ketinggian.
Seingatnya, pernah sekali Nazrul cuba menderma darah. Atas niat untuk
beramal, dia tidak sama sekali menyangka diri terpaksa mengalah kepada
fobia hanya setelah satu suku pin darah diambil.

|
|
INDIVIDU yang mengakibatkan fobia boleh menjalani terapi pelaku kognitif.
|
Berkongsi fobia yang sama dengan Nazrul ialah Nor Zaileen Kamar, 27.
Penganalisis di sebuah syarikat pembekal gas dan minyak gergasi itu
menyedari diri mempunyai hemofobia sejak di sekolah menengah lagi.
Menggelikan
Bercita-cita menjadi doktor tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan oleh
Nor Zaileen. Bagaimana hendak membedah pesakit kalau mendengar tentang
fungsi jantung mengepam darah pun sudah cukup menggelikannya.
Klimaks fobianya berlaku ketika dia dan keluarga bercuti di Amerika
Syarikat (AS) tidak lama dahulu. Tiba-tiba ayahnya diserang sakit
jantung.
"Di hospital, hanya ada saya dan emak. Kami perlu memberi kebenaran
untuk ayah menjalani pemindahan darah. Saya diberi risalah untuk dibaca.
"Malangnya, saya tidak mampu membacanya. Pihak hospital terpaksa
menghubungi adik perempuan saya untuk dibacakan isi kandungan risalah
itu dan membuat keputusan," tambahnya.
Zaileen juga takut kepada kotoran dan kuman (misofobia). Ingin
memastikan diri sentiasa bersih, sebotol sanitizer pasti menemaninya ke
mana sahaja dia pergi.
Menurut Persatuan Psikiatri Amerika, fobia boleh ditafsirkan sebagai
satu perasaan takut yang melampau dan tidak rasional terhadap sesuatu
situasi mahupun objek.
Dalam kebanyakan kes, fobia berlaku kerana rasa takut jika diri
dicederakan. Ambil contoh agorafobia. Penghidapnya besar kemungkinan
takut terperangkap di dalam tempat yang sukar untuk melepaskan diri.
Rasa loya, pening-pening, takut untuk mati dan sukar bernafas merupakan antara simptom umum fobia.
Bantuan psikologi
Sementara itu, pakar psikiatri dan psikoterapi, Dr. Stephen Jambunathan ketika dihubungi
Kosmo!
berkata, tiada salahnya seseorang itu mempunyai fobia. Lagipun, ia
bukan satu penyakit. Masalah perilaku itu boleh diatasi dengan mudah
jika bantuan psikologi diperoleh seawal mungkin.
Malah, sepanjang kerjayanya dalam bidang psikologi sejak lebih
sedekad lalu, kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan telah sembuh
seratus-peratus.
FOBIA dipercayai satu situasi yang tidak menimbulkan kesan serius.
"Fobia sebenarnya satu bentuk kebimbangan. Lazimnya, dalam situasi yang umum tidak akan ada sebarang kesan serius.
"Kalau ada paling serius pun, pesakit cenderung untuk mengurung diri
di dalam rumah sepenuhnya. Pada tahap ini, pesakit perlu dirawat
menggunakan Terapi Perilaku Kognitif (CBT)," katanya.
Kadar kelaziman fobia biasanya sama tanpa mengira gender, bangsa dan
negara. Walaupun begitu, fobia boleh berlaku atas pengaruh pelbagai
faktor - sistem kepercayaan, pengaruh budaya, didikan, tradisi dan
evolusi.
Misalnya, penduduk luar bandar yang biasa 'bekerja' dengan binatang
liar tidak mempunyai rasa takut terhadap ular. Tetapi, situasinya
mungkin berbeza dengan penduduk bandar.
Biar apa pun puncanya, fobia adalah satu kondisi yang boleh dirawat.
Namun, tempoh pemulihan pesakit banyak bergantung kepada tahap
keseriusan dan kestabilan psikologi mereka.
Jambunathan menambah, kadangkala preskripsi perubatan sementara
diperlukan oleh pesakit dan pengambilan ubat-ubatan ini adalah efektif
dan selamat.
Apa yang lebih mustahak ialah pesakit tidak patut menghiraukannya.
Sebaliknya belajar mengatasinya. Selepas itu fobia bukan lagi satu isu
besar.
sumber:cosmo