MENU| Home | Facebook

Monday, 3 June 2013

HANTU PEREMPUAN

    
Assalamualaikum.... aku ada cerita nak kongsi ngan kengkorang semua... cerita nih dialami sendiri oleh abang angkat aku dan kawannya masa zaman sekolah dulu... (sekarang nih aku dah blaja kat U). Dulu aku blaja silat, begitu gak ngan abang angkat aku.. kitorang dulu sekolah asrama penuh, biasa la... famous ngan cerita-cerita hantu. Masa tu aku form 2, abang aku form 5. Kira senior la nih... dia la yang ganti cikgu ngajar bebudak junior silat. Satu malam tu... masa tengah buat latihan silat.. lebih kurang pukul 12 lebih.... dia nak buat latihan silat olahraga.. saja nak test power. Kebetulan cikgu kitorang ada... so apa salahnya mintak tunjuk ajar lebih sikit, lagipun kitorang ada pertandingan silat olahraga tak lama lagi. So dia dengan kawannya pun balik la ke hostel kejap nak ambik pad dan barang-barang lain. Masa dia balik tuh, tengah syok berborak ngan kawan dia.. ada la sorang budak pompuan pakai baju putih tak bertudung lalu menuju arah bertentangan.... kira macam budak ni dari hostel la kiranya....Diorang pelik la pehal lak ada budak pompuan jalan memalam, tak pakai tudung pulak tuh.... tau la budak sekolah sains kan... korang pepaham je la. Bila budak pompuan tuh dah jauh sikit diorang bercakap la pasal budak pompuan tu.. pect apa-apa pun. Then tetiba dua-dua tersenyap...
Budak pompuan yang sama lalu untuk kali kedua dari arah hostel... terkujat diorang.... tapi diorang tak lari mencicit la.. kira berani la jugak.. budak silat... yang part seram sikit tuh, budak pompuan tu siap senyum pulak kat diorang, macam tau2 je yang diorang cakap pasal budak pompuan tuh tadi. Daripada hostel tuh diorang paksa lagi 2-3 orang kawan
diorang ikut sekali gi latihan silat. Takut jumpa lagi budak pompuan tuh gamaknya. Degar cerita yang selalu kena kacau ngan hantu budak pompuam nih bebudak laki jek. Ntah kenapa....
READ MORE- HANTU PEREMPUAN

Sunday, 2 June 2013

cerita seram:langsuir

Salam sejahtera. Manusia merupakan sebaik-baik makhluk ciptaan tuhan di alam maya ini. Firman Allah s.w.t. dalam al-Quran bermaksud: "Sesungguhnya kami telah jadikan manusia sebaik-baik ciptaan". Manusia juga dikurniakan sesuatu yang tidak ada pada sebarang makhluk lain... sesuatu yang disebut sebagai akal. Namun seringkali manusia sendiri tidak tahu menghargai pemberian tersebut, lalu mempersia-siakannya.

Hari sudah melangkah ke petang. Sebaik selesai menunaikan fardhu zohor, aku bergegas ke belakang rumah. Persediaan belum aku buat, sedangkan bila-bila masa dari sekarang bapa saudaraku akan sampai. Kami sudah sepakat untuk pergi memancing di Pulau Indah. Cuti persekolahanku kali ini dimulakan dengan aktiviti yang memang aku minat semenjak kecil lagi, memancing.

"Assalamualaikum...! Lan!." Ahh.. pakcikku dah sampai. "Dah siap ke belum?", laungnya lagi.

"Waalaikumussalam. Sini pakcik! Dah siap dah."

Setelah memeriksa semua keperluan, kami berangkat meninggalkan perkarangan rumah. Empat batang joran bersama keperluannya seperti mata kail, batu ladung dan sebagainya ada kami bawa bersama.

"Kita cari umpan dalam perjalanan nanti", kata pakcik.

"Okey", kataku sepatah. "Cantekkkkk," hatiku pula bersuara.

Perjalanan melalui lebuhraya agak membosankan. Aku menghidupkan radio bagi menghilangkan suasana sunyi. Pakcik terus memandu dengan tenang.

"Yeaaa... kita bersama lagi petang ini dengan lagu pembukaan yang digilai ramai sekarang, Isabella...".

Suara juruhebah kesukaan ramai, Jond, berkumandang di udara. Aku juga salah seorang peminat setianya. Persembahannya memang hebat.

Aku melayan perasaan sendiri. Pakcikku bersiul kecil mengikut rentak lagu yang sedang berkumandang. Aku ikut terhibur.

Selang beberapa minit, pakcikku menghentikan kereta di bahu jalan.

"Ada orang jual umpan tu. Mari kita tengok."

Sebaik selesai urusan membeli umpan, kami meneruskan perjalanan. Kami hanya memerlukan lebih kurang setengah jam sahaja untuk sampai ke tempat tujuan.

Kehijauan pepohon bakau melenyapkan terus keletihan. Alangkah cerianya beburung berterbangan bebas. Terlupa seketika bahawa aku akan menduduki peperiksaan PMR tak lama lagi.

"Meh sembahyang asar dulu."

Aku mengambil wudhuk dan kami berjamaah. Selesai berdoa, kami mengambil joran masing-masing dan mula memasang mata kail. Aku yang sudah biasa dengan joran dan kail, tidak berasa kekok lagi. Semuanya aku buat sendiri.

Kelihatan beberapa orang sedang leka dengan kail masing-masing. Ada juga yang sekadar menonton.

Zuuppppp... Aku melepaskan tali pancing. Kami mula menunggu, setelah semua joran dipasang. Moga-moga kami berjaya hari ini, insya Allah.

Matahari sudah mula terbenam, namun joran kami masih belum terusik. Sesudah beberapa kali memasang umpan, hanya riak halus air yang kelihatan. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu.


Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik. Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing.

"Isy... kenapa tak ada sekor pun naik ni?", bisik hati aku. "Belum rezeki agaknya..."

Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk. Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.

"Apa tu aaa...? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu." Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan.

Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan terbentuk suatu objek lain yang sesunggunya menyebabkan aku tergamam. Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai.

Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pakcikku yang tadi berada tidak jauh dariku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut. Lembaga tersebut menggebang-gebangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arahku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut.

Tiba-tiba aku rasa seluarku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.

"Lan! Lan oii...! Kau tengok apa tu?"

Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur. Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekelilingku. Pakcikku terus memanggil-manggil namaku.

Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya aku pengsan.

Keesokannya, aku mula sedar. Aku berada di rumah dan ibuku berada di sebelah.

"Mana pakcik?" spontan aku bersuara.

"Pakcik ada kat luar tu...", ibuku menjawab.

Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah.

Pakcikku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.

"Kau kena sampuk semalam agaknya". Pakcikku bersuara sambil tergelak kecil.

Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya. Dia terus mengangkat semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.

Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut. Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam. Mungkin aku dah kena fobia agaknya.
READ MORE- cerita seram:langsuir

GUNUNG STONG



Kisah ini berlaku kira-kira setahun yang lalu semasa aku mengikuti ekspedisi Rakan Muda ke Gunung Stong. Gunung ini terletak di hutan Jelawang di negeri Kelantan.

Kami sampai ke tapak perkhemahan jam 8:00 malam. Setelah selesai mendirikan khemah, masing-masing membersihkan diri. Ada yang mandi di bilik air yang disediakan, dan ada yang mandi di sungai yang berdekatan. Ketika itu aku sudah merasa seram-sejuk seolah-olah ada sesuatu yang memerhati gerak-geri kami. Aku tidak berani turun ke sungai kerana keadaan cuaca yang gelap. Selepas makan malam, masing-masing membuat aktiviti bebas. Aku mengambil kesempatan ini untuk berkenalan dengan ahli-ahli ekspedisi yang lain. Kami bercerita sehingga lewat malam. Ketika hendak memasuki khemah untuk berehat, aku terkejut kerana aku ternampak kelibat sesuatu didalam khemah. Rakan sekhemah ku sudah lama hanyut dibuai mimpi. Sepanjang malam, aku tidak nyenyak tidur kerana terdengar bunyi-bunyi haiwan hutan yang kadangkala mengerikan.

Kira-kira jam 6:00 pagi kami telah dikejutkan untuk bersiap-siap mendaki Gunung Stong. Masing-masing agak keletihan, maklumlah semalam kami menaiki bas untuk ke kawasan ini selama lebih lapan jam (dari Johor Bahru). Selepas sarapan, masing-masing bersiap untuk mendaki. Setibanya dikaki Gunung Stong, salah seorang peserta tiba-tiba menarik diri kerana kakinya bengkak. Tidak tahu apakah puncanya. Yang lainnya meneruskan perjalanan. Kami merentasi berbagai halangan seperti anak sungai, air terjun dan hutan belukar. Masing-masing kelihatan letih tetapi penuh semangat untuk meneruskan perjalanan.

Kami sampai di pertengahan gunung lewat petang dan bersiap untuk bermalam di situ selepas turun dari puncak gunung nanti. Waktu itu ada di antara kami yang sudah tidak berdaya melangkah dan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan ke puncak. Mereka hanya menunggu kami di khemah. Aku bersama peserta yang lain meneruskan perjalanan kami. Cahaya matahari semakin kelam dan suasana semakin sejuk. Akhirnya kami tiba di puncak hampir waktu Maghrib. Kami sempat bergambar. Waktu itu aku merasa tersangat letih dan lapar. Nasib baik aku ada membawa sedikit bekalan. Kami berkongsi makanan.

Dalam perjalanan turun, aku adalah di antara yang akhir. Hari semakin gelap. Apabila sampai disuatu kawasan, kami terdengar suara siamang bersahut-sahutan seolah-olah ingin memberitahu sesuatu. Ada di antara peserta wanita yang kecut perut kerana bunyi itu rasanya betul-betul di atas kepala kami. Dengan hanya berpandukan lampu suluh dan panduan dari peserta yang berpengalaman mendaki gunung, kami menuruni gunung sambil berpegangan tangan. Ada di antara kami yang sudah terlalu lemah dan jatuh pengsan. Ini menyebabkan perjalanan kami terhenti beberapa kali. Aku merasa aneh kerana kami masih belum sampai ke kawasan perkhemahan kami walaupun sudah lebih dua jam kami berjalan. Aku rasa aku telah melalui satu kawasan yang sama di mana terdapat pokok yang besar-besar entah berapa kali. Akhirnya guru pandu kami mengakui yang dia tidak berjumpa jalan asal yang kami lalui semasa mendaki ke puncak tadi. Kami menjadi risau, tetapi nasib baik semua berjaya mengawal perasaan. Salah seorang dari kami mencadangkan agar kami meneruskan perjalanan, tetapi masing-masing merasa bimbang kalau-kalau kami semakin jauh tersesat di dalam hutan.

Entah macam mana tiba-tiba muncul sekumpulan pemuda. Masing-masing memakai serban dan jubah putih. Mereka memberi salam. Kami menjawab salam mereka dan menceritakan masalah kami. Menurut mereka, kejadian seperti ini memang selalu berlaku. Mereka menasihatkan kami agar teruskan perjalanan menuruni gunung sambil menunjuk ke satu arah. Masing-masing melihat ke arah yang  di tunjukkan. Kumpulan pemuda tadi hilang entah ke mana. Masing-masing terdiam. Kami meneruskan perjalanan ke arah yang di tunjukkan dan tidak lama kemudian kami ternampak cahaya kelam yang datangnya dari kawasan perkhemahan kami. Sampai sahaja di khemah, kami terus dihujani dengan berbagai pertanyaan. Kami tersesat lebih dari satu jam. Nasib baik ada kumpulan yang berjubah tadi membantu kami. Yang menghairankan kami, untuk apa mereka menuju arah ke puncak sedangkan di sana tidak terdapat sebarang perkampungan pun.

Entah kenapa, walaupun letih, aku merasa susah untuk tidur. Di luar hujan turun dengan lebatnya. Aku merasa risau kerana khemah kami didirikan di atas tanah yang tidak berapa rata. Takut nanti kami hanyut dibawa arus atau tanah runtuh.

Keesokkan harinya, kami berkhemas untuk turun ke tapak perkhemahan kami sebelum ini. Dalam perjalanan turun, masing-masing sibuk menceritakan pengalaman masing-masing. Di samping itu kami terpaksa berhati-hati kerana jalan licin. Ada juga di antara kami yang tersungkur entah berapa kali. Yang menggelikan hati, ada yang terjatuh ke dalam lopak air yang agak dalam gagal untuk naik semula walaupun di tolong oleh beberapa orang.

Kami sampai di satu tempat rehat yang dinamakan Baha Camp. Di situ masing-masing melepaskan penat lelah dengan mandi dan memasak makanan. Hari pun sudah tengahari. Sedang kami leka mandi, tiba-tiba ketua kumpulan ekspedisi menyuruh kami cepat bersiap untuk bertolak turun. Kami terpinga-pinga. Letihpun belum hilang rasanya. Dia kata sesuatu yang buruk telah berlaku dan menyuruh kami cepat meninggalkan kawasan itu. Aku segera naik ke darat dan mengambil barang-barang aku. Aku mendapat tahu yang salah seorang peserta wanita telah dirasuk makhluk halus. Dia tidak suka kami berada dikawasannya dan mengugut untuk merasuk lebih ramai lagi sekiranya kami terus berasa di situ. Walaupun takut, masing-masing masih dapat mengawal perasaan. Kami berkumpul dan berjalan bersama-sama menuruni gunung. Yang tinggal hanyalah ketua kumpulan, peserta yang di rasuk serta beberapa orang trecker yang bekerja di Baha Camp. Dalam perjalanan masing-masing masih tertanya-tanya apakah yang sebenarnya berlaku.

Kami sampai ditapak perkhemahan lewat petang. Selepas mendirikan khemah dan mandi kami bersiap untuk memasak. Dalam waktu itu kami melihat peserta yang di rasuk tadi turun bersama-sama yang lain. Dia kelihatan normal. Sebelum masuk ke kawasan khemah, Abang Baha (Ketua Baha Camp) membaca sesuatu lalu dihembus ke peserta tadi. Tiba-tiba dia menjadi lemah dan terus di sambut dan di papah kekawasan khemah. Dia dibaringkan di tengah-tengah padang dan abang Baha terus membaca jampi serapahnya. Kami tidak dibenarkan mendekati peserta tadi kerana menurut abang Baha makhluk yang merasuknya masih berada di kawasan itu bersama dengan kawan-kawannya. Walaupun kami tidak nampak makhluk dan kawan-kawannya itu, kami patuh pada arahan abang Baha.

Selepas makan malam, semua mengerumuni abang Baha untuk mengetahui cerita yang sebenarnya. Menurutnya makhluk halus yang tinggal di kawasan gunung itu marah pada peserta berkenaan kerana memetik sekuntum bunga dari pokok yang hanya menghasilkan bau setiap tujuh tahun. Katanya lagi jika kami masih berada di Baha Camp, mungkin lebih ramai lagi yang akan dirasuk. Walaupun makhluk itu berjaya diusir dari badan peserta berkenaan semasa di Baha Camp lagi, abang Baha terpaksa membenarkannya merasuk semula peserta itu untuk menolong mambawa peserta itu turun sehingga ke kawasan khemah. Jika tidak mereka menghadapi masalah untuk membawanya turun dengan keadaan badannya yang lemah. Dan banyak lagi yang diceritakan oleh abang Baha mengenai hutan disitu.

Malam itu kami berkumpul dalam beberapa kumpulan. Masing-masing menceritakan kisah petang tadi dan ada juga yang menceritakan pengalaman yang serupa. Aku merasa seolah-olah seperti berada di Cineplex. Bila sudah jemu mendengar cerita satu kumpulan, aku beralih kekumpulan yang lain. Walaupun topik perbualan hampir sama, aku masih tetap mahu mendengarnya. Ada yang tidak tidur sehingga keesokan hari kerana asyik bercerita dan mendengar cerita.

Dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru, ketua ekspedisi memberi peluang pada setiap peserta untuk meluahkan isi hati masing-masing berkenaan ekspedisi kami ini termasuklah peserta yang dirasuk semalam. Walaupun dia tidak ingat setiap kejadian, tetapi dia memberitahu kami yang dia beberapa kali terserempak dengan beberapa orang yang bukan peserta ekspedisi semasa menaiki puncak Gunung Stong. Daripada kejadian yang aku alami, aku sedar betapa kita semua perlu menghormati harta benda orang lain dan jangan bersikap angkoh apabila memasuki sesuatu kawasan yang kita belum kenal sepenuhnya. Kita juga perlu menjaga flora dan fauna. Buat kawan-kawan yang sama-sama menyertai Ekspedisi Gunung Stong, aku ucapkan selamat berjaya. Semoga kita bertemu diekspedisi yang lainnya.

Sekian.
READ MORE- GUNUNG STONG